Masalah sampah yang dibuang dari tingkat atas sememangnya menjadi masalah besar buat penduduk di kawasan flat mahupun kondominium. Bukan sahaja menjejaskan kawasan persekitaran, malah pernah ada satu kes mengakibatkan kematian seorang anak kecil dek kerana kecuaian individu tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, tular kisah penduduk di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur yang meluahkan rasa kesal terhadap sikap pengotor segelintir penghuni di kawasan perumahan mereka.
Perkara itu dikongsikan di laman Twitter, yang mengatakan terdapat penghuni yang membuang tuala wanita dengan kesan tompokan darah yang jelas kelihatan.
Geli dengan kejadian itu, ramai menyuarakan rasa tidak selesa kerana tuala wanita yang telah digunakan telah dicampak ke kawasan perumahan mereka.
Lebih menjijikkan lagi, lampin bayi dan kondom terpakai turut dibuang di merata lantai kondominium berkenaan.
“Kenapa masih wujud orang yang macam ini di keliling kita? Ini hal kebersihan, bukan adab semata-mata!
“Walaupun sudah lebih setahun isu tersebut berlaku, pelakunya masihi lagi belum dapat dikesan oleh pihak pengurusan kondominium terbabit,” tulis akaun twitter tersebut.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan jijik itu dan menyifatkan pelaku seorang mentaliti low-class walaupun menetap di kondominium mewah yang terletak di ibu negara.
Tidak kurang juga, ada netizen yang mengingatkan orang ramai agar tidak terikut dengan perbuatan tidak senonoh kerana kehidupan berjiran memerlukan sikap kerjasama.
Sumber: Twitter