“Pengorbanan Tidak Terbalas.” Tak Sanggup Lihat Adik Derita, Kakak Derma Buah Pinggang, Tapi Ini Jadinya… Kisah Yang Sangat Berinspirasi!

Share

Kisah kegigihan lelaki yang berasal dari kampung Raja Besut, Terengganu ini sememangnya harus dijadikan contoh dan inspirasi  buat bakal graduan di luar sana untuk menempa kecemerlangan biarpun dibebani dengan masalah kesihatan diri.

Menghidap penyakit buah pinggang tahap empat bagaimana pun tidak menghalang Muhammad Khairuzzaman Abdul Manan @ Abdul Munin, 24, menggenggam segulung ijazah dengan keputusan cemerlang pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-16 yang lalu.

 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) ini mula dikesan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat pada 2013 iaitu setahun sebelum dia mendaftar diri di UMT.

“Peringkat awal disahkan menghidap penyakit tersebut ia bagaikan satu tamparan buat saya dan keluarga. Seolah-olah dunia ini sudah gelap dan tiada ertinya lagi.Namun, berkat kekuatan yang diberikan ibu bapa serta keluarga menyebabkan saya terus bangkit dan berazam untuk belajar dengan tekun dan menghabiskan pembelajarannya di UMT dengan cemerlang.

Pengobanan tidak terbalas

Ditanya mengenai pengorbanan kakaknya, Nor Fadhila yang sanggup mendermakan buah pinggang, jelas Khairul itu adalah pengorbanan yang tidak terbalas.

“Kalau diikutkan semuanya ok, sebab saya dan kakak  memang serasi, mungkin bukan rezeki saya. Sebab workout transplant kami buat hampir 2 tahun semuanya ok. Namun, rezeki tidak berpihak kepada kami apabila pemindahan tersebut gagal selepas tiga hari,” imbasnya.

Berbekalkan semangat dan dorongan keluarga serta bantuan pensyarah dan rakan-rakan, dia kembali menyambung pengajian dalam keadaan yang sangat mencabar. Memandangkan kesihatannya sentiasa berubah-ubah serta terpaksa menjalani dialisis 10 jam setiap malam dengan mesin yang disewa khas di rumah sewanya bersama rakan di sekitar UMT. Kos sewaan peralatan dialisis mencecah RM3,200 sebulan itu ditanggung oleh ibu, ayah dan dibantu adik beradiknya.

“Saya terpaksa menangguhkan pengajian pada semester empat kerana perlu menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Selama hampir 3 tahun (2013-2016) saya bertahan tanpa dialisis, tapi banyak jaga makan dan ubat yang doktor bagi. Apabila dekat dengan operation tranplant tahun 2016 saya baru on dialisis.

“Sebelum dialisis saya memang sangat penat, rasa tak boleh fokus pun ada. Memang tak dinafikan memang awal-awal tahun selalu rasa give up. Tapi sokongan keluarga buatkan saya kuat balik. Bila tranplant saya gagal, saya on dialisis APD, iaitu cucian air melalui perut. Saya kena sewa mesin APD RM3200 sebulan. Bila dah start dialisis pelajaran saya sangat terganggu, masa saya terhad sebab kena dialisis 10 jam pada setiap malam,” jelas Khairul lagi.

 Anugerah Dekan

Dengan keadaan kewangan dan kesihatan yang terhad beliau telah berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang. Amat membanggakan keputusan pada semester akhir pengajiannya di UMT adalah dengan memperoleh Anugerah Dekan.

Dia yang mengakui tiada cara tertentu dalam belajar, sebaliknya masa yang ada digunakan sebaik-baiknya untuk belajar, banyakkan tanya pensyarah, kawan-kawan kalau tak faham.

“Yang penting selalu dekatkan diri dengan Allah, banyak lakukan solat sunat dan buat kebajikan. Bagi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran di UMT sudah menjadi nikmat besar, sebab mungkin ramai lagi yang mahu belajar di sini tapi tak dapat. Ini juga menjadi penguat saya untuk sentiasa bersyukur walaupun sakit ketika di universiti,”ujarnya sebelum menutup perbualan bersama penulis.