Apabila menjadi seorang isteri, selain perlu pandai menjaga perihal makan, minum dan pakaian suami serta anak-anak. Bab petua nak simpan barang-barang dapur agar kekal lama juga perlu ambil tahu.
Memandangkan bila kita tinggal di kawasan perumahan yang mana tanah untuk bercucuk tanam adalah terhad. Jadi agak sukar untuk kita mendapatkan bahan-bahan masakan seperti serai, kunyit, lengkuas dan sebagainya dalam keadaan segar setiap kali hendak menggunakannya. Lainlah jika di kampung, begitu mudah mendapatkan bahan-bahan tersebut yang sedia ditanam di halaman rumah!
Oleh itu, kenalah mencari alternatif dan bolehlah amalkan petua yang dikongsi oleh Ain Hamid ini. Apa yang pasti, cara yang digunakan tidak sukar untuk dibuat dan diharapkan selepas ini, bahan-bahan masakan yang kita gunakan untuk menyediakan hidangan untuk keluarga adalah daripada bahan-bahan yang segar dan terbaik. Selamat mencuba.
“Ain nak kongsikan dengan korang semua cara simpan Halia , Kunyit , Serai , Cili dan Ikan Bilis agar ia tahan lebih lama. Mungkin ramai dah mengetahui petua ini. Malam ni Ain nak share dengan korang semua beberapa petua yang memang Ain amalkan.”
Bagi halia dan kunyit yang belum dikupas, korang boleh simpan dalam bekas berisi air. Tapi, pastikan airnya ditukar setiap 3-4 hari. Jangan dibiarkan berlendir ya. Dengan cara ini, ia akan kekal segar selama lebih 2 bulan. Lengkuas juga boleh disimpan dengan cara ini tau.
Serai juga lebih kurang sama cara penyimpanannya dengan bahan (1).
Caranya sangat mudah. Cuci bersih serai dan masukkannya dalam bekas yang diisi air. Kemudian simpan dalam peti ais. Pastikan airnya ditukar setiap 3-4 hari.
Bagi cili pula, caranya ialah dengan membuang tangkai dari badan cili. Masukkan dalam satu bekas dan alas dengan tisu. Kemudian letakkan seulas bawang putih yang sudah siap dikupas.
Cara terbaik menyimpan ikan bilis ialah dengan memasukkan dalam bekas kedap udara atau di dalam plastik yang kering. Kemudian ia simpan di dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. Insyaallah tahan setahun.
Sumber : Ain Hamid