
Pandemik yang melanda seluruh dunia, menyebabkan ibadat umrah dan haji turut tertangguh.
Hanya baru-baru ini kerajaan Arab Saudi kembali membuka ruang untuk umat Islam berkunjung ke tanah suci.
Bagi pengacara Nana Mahazan yang bakal ke sana buat kali pertama berharap impian membawa dua anaknya menunaikan ibadah umrah tahun depan dipermudahkan.
Dia yang sudah berurusan dengan beberapa agensi pelancongan umrah, bagaimanapun dimaklumkan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk menunaikan umrah.
“Saya bercadang untuk membawa kedua ibu bapa, suami dan anak-anak menunaikan umrah pada Februari tahun depan. Tapi malangnya pihak agensi pelancongan memberitahu yang saya tidak boleh membawa anak-anak bersama kali ini kerana itu adalah prosedur baharu untuk ke Tanah Suci.
“Kalau anak-anak tak boleh dibawa, saya tak tahu nak minta siapa jaga mereka sepanjang saya dan suami tunaikan umrah. Setidaknya kalau mereka boleh dibawa, saya boleh minta mereka duduk saja di bilik hotel,” katanya.
Menurut Nana, itu bakal menjadi umrah pertamanya jika segala perancangan untuk ke sana dipermudahkan.
“Saya memang teruja nak jejakkan kaki ke Tanah Suci. Ia bakal menjadi pengalaman pertama saya dan suami.
“Saya anggap apa yang berlaku ini adalah dugaan yang Allah berikan. Saya percaya pasti ada jalan terbaik untuk bawa anak-anak ke sana.
“Doakan semoga urusan saya dipermudahkan. Saya memang sudah berhajat untuk tunaikan umrah tahun depan,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Gajet Pilihan Terakhir, Praktis Mengaji Sebelum Tidur. Ini Cara Ustaz Don Didik Isteri Dan Anak-anak.

Melihat karekter Ustaz Don di dalam kaca TV yang begitu sempoi, nyata demikian juga ketika bersama keluarga. Lebih-lebih lagi aura sang ayah yang tampak begitu mesra dan tidak kekok dalam menguruskan Don Mustofa dan Don Ibrahim.Kedua-dua hero pasangan ini cukup manja dengan Ustaz Don yang dipanggil Abati manakala Husna dipanggil Ibu.
Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid adalah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sejak 2010-201. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pengajian Sepanjang Hayat sebagai pengurus Besar di KuisCell. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Mohabbaten Travel & Tour Sdn Bhd di bawah anak syarikat Andalusia.
Hidup perlu bermasyarakat dan bermuafakat
Melihatkan kesibukan urusan kerja, jujur mengakui masa yang ada cukup terhad. Urusan menguruskan anak-anak di ambil alih seketika oleh ibu bapanya yang tinggal bersama. Namun tidak bermakna kedua-duanya lepas tangan.
“Saya bukanlah orang yang hebat, pasti akan berlaku ralat. Jadi, dalam pembahagian masa dengan keluarga dan pengurusan kerja, kami cukup beruntung kerana ada ibu bapa yang tinggal bersama. Jadi mereka bantu melihat anak-anak sementara kami keluar bekerja. Namun sebelum itu, saya pernah minta pandangan orang yang lebih arif iaitu Dato’ Dr Fadhilah Kamsah tentang ibu bapa yang duduk bersama kami.
“Waktu itu kami dalam satu penerbangan ke Terengganu ketika itu. Saya tanya adakah boleh ibu bapa boleh duduk dengan anak-anak macam mana kita mahu letak kayu aras tentang hal ini. Jadi Dr Fadhilah tanya siapa yang minta untuk duduk bersama , ibu bapa atau anak yang minta. Menurut Dr, kalau boleh anak-anak jangan minta untuk ibu bapa datang tinggal bersama kerana mereka sendiri mempunyai ‘life’ mereka. Apabila diberitahu yang ibu bapa yang nak jadi Dr cakap boleh kerana mereka sendiri yang duduk bersama. Jadi mereka tahu kapasiti diri mereka.
“Tempoh sampai bila mereka nak duduk bersama terpulang kepada ibu bapa sendiri kerana ia tidak akan menjadi masalah pada masa hadapan. Saya dan isteri sangat bersyukur kerana selain ibu bapa ada juga adik-beradik kami juga tinggal berdekatan. Jika ada sebarang masalah, mereka sangat membantu.
“Itulah yang saya sebut ralat tadi. Disebabkan kami di ‘cover’ oleh orang sekeliling di samping pihak KuisCell yang sangat fleksibel dalam membantu menyusun jadual saya. Kerana itu, hidup perlu bermasyarakat dan bermuafakat. Kita takkan boleh hidup sendirian.
“Teringat saya pada kata-kata Ustaz Guru Hadi Awang hidup ini ibarat seikat penyapu lidi, ada yang panjang ada yang pendek. Walaupun nampak lidi-lidi yang pendek tidak kena ketika menyapu tetapi apabila dibuang maka longgarlah ikatan penyapu tadi. Begitulah ibaratnya kita dengan orang sekeliling,”ujar Ustaz Don sambil mengakui lima hari adalah masa untuk bekerja manakala dua hari bersama keluarga.
Gajet pilihan terakhir
Tambah ustaz Don lagi, sebagai ibu bapa yang berkerjaya dia dan isteri cukup sibuk dengan urusan kerja. Justeru tambahnya, sebagai orang yang berkerjaya, pertama sekali kena mengaku yang diri sibuk.
“Jangan menafikan kerana kita tidak akan jumpa jalan penyelesaian. Kita kena terima situasi tersebut dan cari alternatif terbaik. Jadi salah satunya adalah penggunaan gajet pada anak-anak. Saya dan isteri memang sudah mendedahkan pada anak-anak kami.
“Zaman sekarang anak-anak kena terlibat dengan gajet supaya tidak ketinggalan. Cuma sejauh mana kita kawal supaya tidak keterlaluan sehinggakan makan minum tidur dengan benda tersebut. Bahkan, penggunaan gajet pada anak-anak adalah pilihan terakhir,”ulas Ustaz Don yang mempraktikkan mereka sekeluarga mengaji bersama sebelum tidur.
Luangkan masa dengan masyarakat
Dek kesibukan urusan kerja membatasi Ustaz Don untuk menerima tawaran untuk berceramah seperti sebelum ini. Sementelah dia mahu memberi fokus penuh pada kerja dan keluarga.
“Dalam kesempatan ini untuk memohon maaf pada masyarakat yang mungkin mengharapkan saya mempunyai ruang masa seperti sebelum ini. Mujurlah pihak Kuiscell bijak menyusun jadual dan kesempatan turun padang untuk urusan kerja, jadi dapat diselitkan untuk tawaran mengadakan ceramah jika berkesempatan. Misalnya seminggu 3 hari untuk 3-4 program dan berpeluang meluangkan masa yang lama dengan masyarakat.
Mahu 7 anak
“Kami berdua lahir dalam keluarga yang ramai jadi kalau diikutkan kami memang mahu anak ramai dalam 7 orang. Cuma sekarang masing-masing sibuk dengan kerja dan dua hero kami masih kecil. Walaupun ada keluarga yang sangat ‘supportive’ dan membantu menjaga anak kami tetapi tanggungjawab sebagai ibu tidak diabaikan.
“Sesibuk mana pun di hospital tetapi saya pastikan ada di rumah. Kerana itu saya berulang alik dari rumah di Bangi ke Seremban walaupun ada rumah yang disediakan di sana tetapi saya lebih rela berada di samping anak-anak.
Sumber: Majalah Keluarga Sep-Okt 2017
Temui Karnival Pendidikan Sinar Bestari September Ini! Kenali Dunia Pendidikan Berasas Digital

Karnival Pendidikan Sinar Bestari merupakan karnival pendidikan terbesar di Selangor bakal berlangsung bermula 8 hingga 10 September 2023 bermula pukul 9 pagi hingga 7 petang di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Karnival yang mengetengahkan konsep memacu pendidikan generasi digital itu memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar dan guru mengenai pembelajaran luar bilik darjah.
Menurut Pengarah Projek, Meen Tahrin, karnival julung kali yang diadakan itu merupakan Karnival Pendidikan terbesar di negeri Selangor yang pernah dianjurkan. Tambah beliau, karnival tersebut diadakan dengan kerjasama antara Sinar Harian, Sinar Bestari; dan juga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
“Karnival ini terbuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Para pengunjung terutama pelajar sekolah boleh menyertai pelbagai pertandingan yang telah kami aturkan dan mereka akan menyertainya melalui penglibatan sekolah masing-masing.
“Pada masa yang sama, penglibatan pelbagai agensi kerajaan pastinya memberi kelainan
dalam karnival pendidikan ini kerana kita dapat melihat dengan lebih dekat peranan masing-masing,” ujarnya yang juga merupakan Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian.
Tambah Meen, karnival tersebut turut dilihat menjadi platform kepada ibu bapa dan juga Masyarakat dalam mengenali lebih dekat dunia pendidikan yang berasaskan digital pada hari ini.
Dalam pada itu, Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung. Antaranya demo Unit Beruniform daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bomba; Pameran Digital Skil dan Kerjaya serta 60 pempamer yang lain seperti Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains, Les’ Copaque dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Selain itu, turut berlangsung SinarPlus Makan Fest, rumah hantu, uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) serta zoo mini dan kereta kuda yang disediakan kepada orang ramai yang hadir.
Turut diadakan juga 17 pertandingan untuk pelajar sekolah seperti robotik, Sinar Bestari Got Talent, bola keranjang, dikir barat, crossword puzzle dan banyak lagi. Tidak ketinggalan persembahan silat dan program kids Quran Hour daripada pelajar-pelajar sekolah sekitar negeri Selangor.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bakal merasmikan Karnival Pendidikan
Sinar Bestari pada Jumaat, 8 September 2023, pukul 3 petang.
“Selain guru dan pelajar, karnival ini juga memberi peluang kepada ibu bapa dan orang ramai untuk membawa anak mereka sekali gus menyaksikan pelbagai pameran menarik secara percuma,” katanya.
Maklumat lanjut, orang ramai boleh layari sinarbestari.sinarharian.com.my
Deep Perkongsian Imam Muda Ni. Betapa Penting En Suami ‘Tadah’ Telinga Untuk Isteri!

Membina keluarga bahagia berpanjangan hingga hujung nyawa sebenarnya memerlukan tolak ansur dan persefahaman antara suami isteri.
Menyentuh tentang persefahaman itu pula, antara resipi utamanya adalah bila mana pasangan sedia menjadi pendengar setia.
Ini dijelaskan oleh Imam Muda Hassan yang turun dikongsikan di akaun Instagram miliknya berkenaan pentingnya suami memberi tumpuan untuk mendengar luahan isteri.
Ini perkongsiannya.
Apa yang membezakan rumahtangga zaman atok nenek kita dengan rumahtangga zaman sekarang?
Zaman-zaman dulu memang, masalah yang dihadapi wanita ni memang tak timbul sangat.
Zaman tu hubungan antara jiran tetangga amat rapat, duduk dekat-dekat dan biasanya ada pertalian darah.
Mereka mudah bersembang, luah perasaan sambil basuh baju disungai, atas tangga dan mana sahaja mereka berkumpul.
Mereka tak harapkan pun suami mereka dengar dan lebih rasa ceria sebab dapat luahkan perasaan sesama mereka.
Berbeza dengan zaman kita sekarang dimana kebanyakan kita tinggal di rumah teres, rumah flat, kondominium yang sibuk dengan urusan masing-masing.
Jadi peluang ibu-ibu, isteri-isteri, wanita-wanita ni nak kongsi perasaan macam orang dulu dah tak ada.
Isteri zaman sekarang ramai bekerja dan perasaan stress tu memang akan ada.
Apabila mereka pulang dari kerja, mereka nak kongsikan perasaan dengan suami sebab ini yang paling dekat.
Kalau suami buat tak layan, apa sahaja suami buat akan jadi tak kena dimata isteri.
Jadi kepada si suami, teman nak bagitau, jika isteri kome bekerja dan dia nak cakap sesuatu tentang apa yang berlaku, dengar sahaja luahan perasaan dia walaupun kome sendiri penat balik dari kerja.
Isteri akan rasa lega, hilang penat selepas dapat ceritakan sesuatu kepada suami.
Isteri nak suami dengar sahaja. -Imam Muda Hassan-
“Ustaz KRT anda”
sumber : Ig Imam Muda Hassan