Berkongsi pengalaman pernah diistiharkan muflis mungkin tidak ramai yang terbuka hati bercerita hal ini kepada umum. Sebolehnya ingin disimpan rapi menjadi rahsia, agar tiada siapa yang tahu.
Pun begitu, berbeza dengan Puan Nurwahidah yang dengan ikhlas berkongsi pengalamannya itu, agar apa yang diceritakan dapat memberi motivasi dan inspirasi buat yang sedang lalui saat sukar ini.
Cerita Tauladan dan Iktibar
Sebelum ini saya ada berjanji untuk menulis berkaitan pengalaman saya sebagai seorang BANKRUP. Malu? Ramai orang tipikal tentang perkara ini. Menjadi Bankrup seperti mati tak hidup semula…
Inilah kisah yang saya dapat kongsikan untuk dijadikan pedoman buat sesiapa yang senasib dengan saya, yang tidak tahu apa nak buat bila dah Bankrup, dan yang masih larut dengan kesedihan kerana Bankrup.
Saya mula membuat pinjaman kali pertama pada Tahun 2010, selepas 5 tahun bergelar usahawan tani. Dengan pinjaman RM70,000 saya mula membesarkan kawasan projek dari 5 ekar kepada 15 ekar. Projek berjalan dengan baik selama beberapa tahun dan saya dapat membayar bayaran bulanan tanpa cuai sehinggalah saya terpaksa menutup kesemua 15 ekar ladang pada Tahun 2015, selepas hampir 11 tahun beroperasi. Pada yang follow saya sejak 8 tahun dulu tahu kenapa saya menutup ladang pada tahun 2015.
2016, saya berhijrah ke Selatan tanah air dan membuka 100 ekar projek tanaman ubi dan jagung, projek berjalan dengan baik dan saya masih dapat membayar bayaran bulanan tanpa cuai sehingga tahun 2017.
Tetapi jodoh saya dengan projek tidak panjang. Dan saya tidak mahu mengimbau semula punca kejatuhan saya dalam perniagaan ketika itu. Saya kerugian ratusan ribu dan kembali ke Selangor meneruskan Bengkel Baja Sri Organik. Hanya itu sahaja yang kekal dan bertahan.
2017 -2018 Saya kembali aktif bersama partner baru dan membuka kedai menjual input pertanian dan masih dapat membayar ansuran bulanan. Sakit ketika jatuh masih terasa, dan komitmen yang sangat tinggi serta keadaan ekonomi yang mula terasa lembab, saya mula culas membayar ansuran bulanan dan akhirnya saya mula tidak membayar sehingga 9 bulan berturut-turut.
Diisytihar Muflis
Dan saya tahu saya dibankrupkan ketika kali ke dua ke negara Brunei pada September 2018. Saya sangkut di Imigresen dan dengan bantuan sahabat dr Brunei menyediakan surat sokongan saya melepasi sempadan dan dapat memberi kursus pada ketika itu.
Sekali lagi saya dapat tawaran ke Brunei untuk memberi latihan. Kali ini saya beranikan diri google bagaimana untuk mengatasi masalah bankrup untuk ke luar negara. Saya rujuk dengan Jabatan Insolvelsi Selangor sebulan sebelum saya ke luar negara.
Akhirnya dengan pelbagai prosedur dan temuduga yang sangat dipermudahkan, saya selamat keluar negara dengan mendapat surat kelulusan dan pelepasan ke luar negara selama 7 hari dan membayar sejumlah bon jaminan yang mencecah ribuan ringgit. Dan bayaran bulanan untuk menyelesaikan baki pinjaman sebanyak RM500/bulan. Satu satunya aset yang saya ada iaitu kereta akan dilelong oleh pihak insolvelsi untuk membayar tunggakan hutang. Saya redha dan melepaskan apa yang ada janji saya dapat selesaikan masalah hutang.
Hari ini saya melaporkan diri ke Jabatan Insolvelsi untuk menghantar pasport dan membuat permohonan kedua keluar negara untuk bekerja pertengahan April 2019 selama 4 tahun. Alhamdulillah permohonan telah diproses dan saya hanya menunggu surat pelepasan sahaja pada bila-bila masa.
Kekal positif
Saya lega walaupun jatuh berkali-kali, Allah tetap memberi saya peluang berkali-kali, dan peluang kali ini saya akan gunakan sebaik mungkin dan pastinya saya ada impian untuk terus berjaya dalam bidang pertanian yang sangat saya cintai ini.
Buat rakan-rakan di luar sana, jangan takut jika anda jatuh, jangan takut bila dah bankrup. Bankrup bukan penamat jalan hidup kita. Bangkit dan terus bangkit serta terus berdoa dan berdoa untuk keluar dari semua masalah dan kesulitan.
Selagi kita ada nafas, gunakan segala peluang yang diberikan. Anggap semua kegagalan dan kesilapan kita sebagai cikgu paling bermakna. Saya tidak pernah menyesal dengan semua keputusan saya dalam perniagaan. Saya anggap setiap kali jatuh saya akan dapat satu ilmu baru yang dapat memantapkan perniagaan saya pada masa depan. Kita tak tau bila nak guna ilmu itu..sampai masa baru kita sedar dengan semua ujian dan kegagalan itu akan menjadi sandaran kepada sebuah kejayaan di masa hadapan..
Hargai sebuah peluang itu. Hargai apa yang Allah SWT berikan. Hargai kehidupan yang cemerlang. Hargai juga insan yang menyayangi kita dan paling penting hargai anugerah terindah yang Allah berikan sepanjang kita hidup iaitu “Rumah” kita…
sumber : Norwahida Hambali