Penerima vaksin Sinovac yang belum mengambil dos penggalak berisiko hilang status lengkap vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera bermula 1 April ini.
Terdapat kira-kira dua juta penerima dua dos vaksin COVID-19 keluaran Sinovac di Malaysia yang masih belum mengambil suntikan penggalak.
Justeru itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa semua penerima vaksin Sinovac untuk segera mendapatkan dos penggalak dalam tempoh masa yang berbaki lagi seminggu menjelang 1 April bagi mengekalkan status lengkap vaksinasi masing-masing.
“Berdasarkan data terkini, seramai 2.09 juta penerma dos primer vaksin Sinovac belum menerima dos penggalak.
“Untuk tempoh seminggu lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan mungkin akan ada dua juta penerima vaksin primer Sinovac yang berisiko untuk hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika ditanya unjuran KKM mengenai jumlah penerima dua dos vaksin Sinovac yang bakal kehilangan status lengkap vaksinasi kerana enggan mendapatkan dos penggalak.
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan keperluan untuk penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bukan sahaja untuk memudahkan urusan seharian di Malaysia, sebaliknya ia turut menjadi keperluan beberapa negara luar seperti Singapura.
“Saya ada bincang perkara ini dengan Menteri Kesihatan Singapura, dan Singapura juga menetapkan status lengkap vaksinasi untuk penerima Sinovac adalah tiga dos,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, Khairy dilaporkan berkata, semua individu berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.
Bagaimanapun, Khairy kemudian mengumumkan tempoh itu dilanjutkan sehingga 31 Mac.
Sumber: Berita Harian
Keluarga Gader adalah komuniti yang menghimpunkan semua ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh keluarga. Join Telegram Keluarga Gader Club (https://t.me/keluargagaderclub)