Penama KWSP Bukan Penerima Mutlak, Jadi Ambil Tahu Untuk Elak Dinafikan Hak Menerima Bahagian Tersebut!

Share

Umumnya pasti ramai sedia maklum saranan KWSP agar pencarum mengemas kini maklumat peribadi dengan mengistiharkan penama. Hal ini penting bagi memudahkan urusan tuntutan caruman andai pencarum meninggal dunia.

Pun begitu, tidak dinafikan acapkali juga kita terkeliru atau salah faham tentang peranan dan fungsi penama KWSP ini. Malah disebabkan itu juga bukan sesuatu yang pelik bila seorang isteri terumatanya yang mempunyai anak akan meletakkan nama anak sebagai penama berbanding suami. Pelbagai alasan diberikan dan adakah tindakan itu wajar atau sebaliknya?

Memahami lebih ringkas tentang penama KWSP ini, ayuh kita baca perkongsian Farizal Radzali ini  untuk info bersama.

Penama KWSP bukan penerima mutlak wang peninggalan simati. Wang tersebut perlu diagihkan mengikut faraid. Jangan salah faham. Melainkan simati ada membuat wasiat/hibah lain.

Penamaan KWSP bertujuan untuk memudahkan proses penyerahan wang KWSP setelah pencarum meninggal dunia. Namun demikian, penama perlu mengagihkan wang yang didapatinya sebagai penama kepada waris yang berkenaan mengikut hukum faraid.

Ramai yang salah faham. Ramai yang mengambil wang tersebut untuk kegunaan sendiri kerana pada pemahaman mereka, penamaan mereka adalah wasiat simati.

Mak ambil KWSP anak sebab anak letak namanya sebagai penama. Sampai lupa nak agihkan kepada isteri anak (menantu) atau cucu. Adik beradik ambil KWSP adik beradik lain sebagai penama tapi gunakan duit sepenuhnya untuk kepentingan sendiri tanpa peduli kesusahan anak isteri simati. Allah…

Atas sebab itu juga, seorang pencarum boleh meletakkan lebih dari satu penama mengikut peratusan yang diingini. Dan setiap penama perlu mengagihkannya mengikut hukum faraid selagi simati tidak membuat apa-apa wasiat/hibah.

Lagi satu, ada segelintir para isteri risau untuk meletakkan suami sebagai penama, atas alasan nanti suami kahwin lain dan enjoy dengan duit KWSP peninggalan isteri. Sanggup letak nama anak yang masih baby atau bersekolah rendah sebab tak nak letak nama suami.

Maka, duit itu nanti hanya akan boleh dikeluarkan/diguna setelah si anak cukup umur/18 tahun. Bayangkan andai anak perlukan duit semasa dia di alam persekolahan, duit KWSP emak tak boleh diguna sebab belum cukup umur. Ayah nak ambil pun tak boleh sebab dia bukan penama.

Ingat satu je, walau suami ambil duit KWSP kita, dia cuma pemegang amanah. Kita ada faraid, In Shaa Allah, segalanya akan ok. Kalau suami salahguna duit KWSP kita, itu urusan dia dengan Allah.

Pesanan saya, buatlah penamaan, untuk mudahkan masa depan orang-orang yang kita kasihi.

sumber : Farizal Radzali