Pemergian Juruterbang MH17 Terus Dirindui. Hanya Gambar Dan Baju Arwah Menjadi Pengubat Duka Keluarga

Share

Bicaranya tentang arwah ada kalanya tersekat, sebak dan cuba mencari kekuatan untuk bercerita kerana kehilangan insan tersayang, pedihnya masih dirasai sehingga kini.

Julai 2014 menjadi detik hitam buat keluarga ini bila mana tarikh tersebut mereka kehilangan insan tersayang buat selamanya. Insiden nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) mengubah haluan hidup keluarga ini. Namun bagi keluarga Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, juruterbang pesawat tersebut, segala kenangan bersamanya tetap utuh di hati dan mana mungkin hilang ditelan dek masa.

Wan Amran, 50, antara 298 penumpang dan kru yang maut apabila MH17 ditembak jatuh di wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Dalam nahas tersebut, seramai 43 rakyat Malaysia terbunuh dalam tragedi itu, selain warganegara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Mengimbas kembali kenangan lalu, nyata emosi sang isteri sedikit terusik. Sendu di wajahnya menceritakan segala-galanya.Kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata cukup memedihkan.

“Kami baru saja bersahur bersama dan berehat. Arwah kemudiannya mengajak anak-anak bermain satu ‘game’ Papan Susun Suai dan entah kenapa arwah beria-ia mahukan kami menghabiskannya dengan cepat. Saya masih ingat dia mengambil pita pelekat untuk ditampal di belakang papan susun suai itu agar ia tidak tercerai. Kemudian dia bersiap untuk ke lapangan terbang.

“Tiada sebarang perubahan pada arwah ketika itu. Cuma yang ralatnya ketika itu, anak sulung kami Wan Yunus Uzair, tidak sempat bersalaman dengan arwah. Biasanya dia berbuat demikian sebelum ayahnya berangkat ke tempat kerja, tetapi pagi itu tidak sempat kerana dia menyambung tidur, tetapi arwah ada menghubungi anak kami setibanya di sana.

“Biarpun kejadian tersebuh sudah berlalu, namun sehingga kini saya masih merasakan arwah tetap ada di sisi.

Bicaranya tentang arwah ada kalanya tersekat, sebak dan cuba mencari kekuatan untuk bercerita kerana kehilangan insan tersayang, pedihnya masih dirasai sehingga kini.

“Rindunya hanya Tuhan yang tahu. Sehingga kini, saya terasa dia sentiasa ada dengan kami. Kalau rindu saya akan buka almari sambil pegang dan cium baju seolah-olah itulah arwah. Tengok gambar arwah di telefon dan sehingga kini saya masih merasakan kehadiran arwah. Mungkin kami berpisah di dunia yang nyata namun kenangan bersama tetap bersemadi di jiwa dan itu yang menjadi pengubat hati tatkala rindukannya.

“Begitu juga dengan anak-anak, saya selalu pesan jika rindukan ayah sedekahkan Al-Fatihah. rutin harian anak-anak setiap kali masuk dalam kereta akan sedekahkan Al-Fatihah dan baca 3 surah Qul. Itulah ajaran yang arwah tetapkan kepada anak-anak sejak dahulu lagi. Awal-awal dahulu, setiap kali berbuat demikian, pasti saya akan menitiskan air mata teringatkan pada arwah. Namun lama-kelamaan saya sudah mampu bertenang dan menerima hakikat.

“Saya cuba cari kekuatan dan move forward kerana tidak mahu anak-anak lihat saya bersedih. Kerana itu juga, saya tidak suka bersendiri supaya dapat elakkan diri dari menangis. Jadi, saya akan menyibukkan diri dengan pelbagai urusan termasuklah menanam sayur. Boleh dikatakan sekarang saya tidak perlu beli sayur lagi kerana sudah ada di rumah.

“Sebelum ini saya ada menjual biskut tetapi arwah kemudiannya meminta saya berhenti dan memberi fokus kepada dirinya dan anak-anak sahaja. Selepas arwah meninggal, memang segalanya sudah berubah. Tetapi rezeki itu Allah sudah tetapkan dan sebagai umatNya kita kena usaha dan tawakal untuk meneruskan kehidupan selepas pemergian suami. Sebelum ini, saya pernah menyambung kembali membuat kuih tetapi berhenti seketika.

“Selepas pemergian arwah, memang susah kerana kerja dua orang sudah menjadi satu. Segalanya di atas bahu saya sendiri sehinggakan tiada masa untuk diri sendiri. Waktu arwah ada, segala kerja dia yang uruskan. Arwah tidak benarkan saya memasak setiap kali dia ada di rumah. Sebaliknya masa tersebut digunakan sepenuhnya untuk bersama sama ada keluar.

Akui Mariam juga, selepas peristiwa tersebut, anak-anaknya menjadi sensitif setiap kali bercerita mengenai arwah ayahnya kerana tidak mahu melihat ibu mereka bersedih. Emosi anak-anak masih terusik awal-awal pemergian arwah. Tidak boleh ditanya tentang ayah mereka.

“Anak-anak tidak suka menunjukkan emosi di hadapan saya. Mungkin juga mereka tidak mahu lihat saya bersedih. Cuma pernah sekali di sekolah ada satu program yang memerlukan anak-anak menghubungi ibu bapa. Waktu itu anak saya Irfan menangis. Itulah pertama kali dia menunjukkan emosinya selepas pemergian arwah ayahnya.

“Pernah juga saya bertanyakan sama ada dia rindukan arwah ayahnya. Sebaliknya dia marah dan kenapa bertanyakan soalan sedemikian. Kemudian, saya cakap kalau rindu kena sedekahkan Al-Fatihah. Cuma, ada sekali Irfan cakap seronok kan kalau ayah ada, mesti ayah bawa kita jalan-jalan. Sememangnya sejak dulu lagi, arwah ayah suka memanjakan anak-anak dan selalu bawa kami beriadah. Anak-anak ada mengajak saya tetapi saya tidak mahir bab berjalan seperti mana arwah.

“Kalau dulu nak ke mana sekalipun saya akan tunggu arwah cuti. Sekarang ini terpaksalah saya berdikari dan belajar memandangkan tiada tempat untuk bergantung harap. Saya pun kasihan dengan anak-anak kerana pergerakan mereka terbatas.

“Tetapi saya selalu cakap jangan fikirkan tentang saya sebaliknya dia kena fikirkan masa depan. Memang dia sangat mengikut perangai arwah ayahnya yang sangat mengambil berat, baik sangat dan selalu membantu. Malah, dia juga sangat menjaga barangannya. Dia cukup cermat dan tidak suka orang usik barang-barangnya. Sama seperti arwah ayahnya.

 

Sumber: Majalah Keluarga Edisi Jun 2017