Pemandu Lori Tayang Sijil Dekan 4 Semester, Ubah Pemikiran Orang Ramai Pandang Rendah Pada Kerjayanya

Share

Dalam zaman serba maju kini, masih ada lagi yang memandang seseorang mengikut jenis  pekerjaan mereka. Misalnya pemuda yang bekerjaya sebagai pemandu lori ini dipandang enteng oleh masyarakat rupa-rupanya adalah seorang pelajar cemerlang bagi kelulusan Ijazah Sarjana Muda Persembahan (Teater) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Berkongsi di akaun Tiktok miliknya, pemilik akaun @Amirul_daus98 turut mendapat empat kali dekan berturut-turut dengan menunjukkan empat keping sijil anugerah dekan yang diterimanya sewaktu pengajian dahulu.

Dipetik dari laporan mStar, tujuan utama dia bertindak sedemikian adalah untuk mengubah cara pemikiran orang di sekelilingnya yang memandang rendah mengenai kerjaya sebagai seorang pemandu lori.

Katanya, segelintir masyarakat beranggapan bahawa individu yang bekerja sebagai pemandu lori ini adalah seorang yang tidak mempunyai pelajaran serta dilabel sebagai seorang pemalas.

“Jadi saya hasilkan video ini sebab terkesan dengan mentaliti masyarakat. Malah ada artikel dikeluarkan dengan meletakkan topik ‘Lori pembunuh nombor satu lebuh raya’ yang membuatkan masyarakat lebih memandang buruk terhadap kami seolah-olah kemalangan yang melibatkan kenderaan berat sengaja dilakukan,” ujarnya.

@amirul_daus98 Betul lah tu, cukup2 makan je ni #fyp #fypシ #upsi #konvokesyenupsi #abanglori #peskonupsi23 #teater ♬ original sound – 1%

Tambah pemuda kelahiran Teluk Intan, Perak itu lagi, keadaan ekonomi yang melanda pada masa kini menyebabkan sesetengah graduan cemerlang tidak boleh memilih apa-apa bidang pekerjaan untuk menjana pendapatan.

Meskipun Amirul menerima pelbagai kata negatif yang dilontarkan oleh masyarakat, itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pemandu lori.

Jelasnya lagi, sudah menjadi kebiasaan terdedah dengan pekerjaan sebagai pemandu lori kerana dia telah mengikuti saudaranya memandu lori selama empat tahun.

Namun begitu, dia sangat berharap masyarakat tidak mengkritik kerjaya seseorang dengan cepat dan bersikap lebih terbuka dalam menilai pekerjaan orang lain.

“Saya dah faham dengan persekitaran kerja dan mahir dengan banyak jalan. Saya pun dah lama teringin melancong ke seluruh Malaysia. Dengan jadi pemandu lori, secara tak langsung meluaskan pemandangan dan pengalaman tanpa perlu memikirkan kos minyak dan tol kerana semuanya ditanggung syarikat,” katanya lagi.

Meninjau di ruangan komen Tiktoknya, rata-rata netizen memuji sikap yang ditunjukkan oleh amirul yang tidak memilih dalam pekerjaan walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat cemerlang.

Dalam pada itu, Amirul turut memberikan pesanan kepada umum supaya tidak menghukum atau meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pemandu lori di luar sana sebagai asbab berlakunya kemalangan jalan raya.

Sumber: mStar, TikTok @amirul_daus98