“Pelamin Hanyut Dibawa Arus. Kami Berlapang Dada.” Uyaina Arsyad & Raja Syahiran Selamat Bernikah

Share

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arsyad, 29,  sah bergelar isteri lelaki penyanyi, Raja Syahiran, dengan sekali kali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Colony by KLCC pada jam 9.03 pagi tadi. Pasangan ini dinikahkan oleh abang kandung kepada Uyaina, Mohd Attaful Uzair Arsyad.

Dalam majlis itu, Syahiran atau nama sebenarnya, Syahiran Raja Azhanrianshah, 28, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat suri hatinya.

Bagaimanapun, tiada pertukaran dulang hantaran yang dibuat diantara kedua belah pihak dan jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas persetujuan kedua belah keluarga.

Majlis akad nikah pasangan ini turut dihadiri 100 orang  yang terdiri daripada keluarga dan rakan saudara terdekat. Pasangan ini juga belum ada perancangan tarikh Untuk majlis resepsi.

Usai majlis, Uyaina melahirkan rasa syukur kerana segalanya berjalan lancar biarpun pelbagai dugaan yang perlu ditempuh.

“Alhamdulillah… majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pada hari ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.

“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami.

“Asalnya pelamin yang ditempah adalah berbeza namun sehari sebelum majlisnya berlangsung pihak perancang perkahwinan terbabit memaklumkan gudang penyimpanan kelengkapannya yang terletak di Puchong, Selangor telah musnah akibat banjir.

“Sepatutnya malam berinai diadakan pada malam tadi dengan tema ‘Arabian Night’ tapi terpaksa dibatalkan. Bukan itu sahaja, pelamin saya juga musnah.

“Pelamin asal yang sepatutnya dipasang pada pagi ini tidak dihantar gara-gara hanyut dibawa arus banjir pada Ahad lalu.

“Kami terpaksa berlapang dada.Mujurlah ada perancang perkahwinan lain yang jadi bidan terjun walaupun pada saat-saat akhir.

“Sejujurnya kami tidak berasa terkilan pun sebab yang penting ijab qabul dan dikelilingi keluarga dan rakan terdekat,” katanya.

Selain itu, kata Uyaina, dia dan suaminya sangat tenang dalam berdepan dengan ujian yang melanda meski sedar hari bahagia mereka seharusnya berlangsung dalam keadaan sebagaimana yang dirancang.

“Sebenarnya rumah Syahiran di Subang pun terjejas akibat banjir. Kami berdua saling ketawa apabila mengenangkan pelbagai ‘drama’ yang berlaku sebelum majlis ini dapat dijalankan.

“Saya tidak menangis langsung apabila keadaan begini terjadi. Sebab sepanjang proses Syahiran sentiasa ada bersama. Kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan,” ujarnya.

Sebelum ini, mereka memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu. Namun,  hasrat tersebut terpaksa ditangguhkn ekoran Varian baharu Covid-19.

“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” ujarnya.

Pasangan selebriti ini mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai tahun lalu.

Sumber: Utusan Online