Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, pelajar terbabit, Muhammad Haziq Uzayr Hairuddin, 16, dikatakan telah berjaya menamatkan acara sejauh enam kilometer itu sebelum rebah tidak sedarkan diri sebaik melepasi garisan penamat di sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelajar itu menyertai acara merentas desa peringkat sekolah bersama pelajar lain.
“Sebaik tiba di garisan penamat di padang sekolah, pelajar terbabit yang dikenali sebagai seorang yang aktif bersukan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
“Guru bertugas bersama pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) kemudian telah membawa pelajar itu ke khemah di situ dan memberikan bantuan pertolongan cemas, namun pelajar itu tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya di sini hari ini.
Katanya, guru terbabit terus menghubungi ambulans Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan ketika dibawa untuk mendapatkan rawatan ke HSAH, pelajar itu meninggal dunia.
“Hasil temu bual pihak kita dengan bapa mangsa mendapati anak mereka itu sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit dan merupakan pelajar aktif bersukan.
“Semakan pihak kita juga mendapati bapa mangsa memberi kebenaran bertulis membenarkan anaknya menyertai acara sukan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan awal pihak polis ke atas mayat pelajar berkenaan tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.
Kredit: Kosmo Online