Pelajar Melayu menyerlah, ‘sapu’ lima anugerah dalam majlis graduasi SMJK. Ahmad Khidir Ahmad Nazri berjaya membuktikan kemampuan dirinya apabila menerima lima anugerah dalam majlis graduasi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee di Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Pelajar Melayu Menyerlah
Majlis itu menyaksikan Ahmad Khidir, 17, membawa pulang Anugerah Tokoh Pelajar, Timbalan Ketua Pengawas, tempat pertama dalam kelas, tempat pertama dalam tingkatan aliran sastera serta markah tertinggi Bahasa Melayu dan juga Pendidikan Islam.
Kejayaan itu menjadikan Ahmad Khidir sebagai salah seorang daripada tiga pelajar Melayu di sekolah berkenaan berpeluang menaiki pentas bagi menerima anugerah kerana kecemerlangan dalam akademik.
Menurut Ahmad Khidir, dia amat bersyukur dengan penghargaan diterima daripada pihak sekolah dan mengakui bukan mudah untuk meraih kejayaan itu.
“Memang susah nak berada di tahap ini kerana pelajar Melayu di sekolah ini cuma 30 orang saja dan kami perlu bersaing dengan rakan lain.
“Tapi, saya bersyukur kerana mendapat 7A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek BM (A+) BI (A), Pendidikan Islam (A+) Sejarah (A-) Matematik (A-) Sains (A) dan Ekonomi (A), manakala B untuk Akaun serta Mandarin. Sasaran saya tentunya 9A+ dalam SPM nanti,” katanya.
Bercerita lanjut, Ahmad Khidir berkata, dia tidak mempunyai asas dalam bahasa Mandarin namun ibunya, Fudla Yusof, 55, bersungguh-sungguh apabila menghantarnya ke tadika dan sekolah aliran Cina kerana mahu kelainan berbanding adik-beradik lain.
‘Sapu’ Lima Anugerah Dalam Majlis Graduasi SMJK
“Saya anak bongsu daripada enam beradik dan satu-satunya yang dihantar ke sekolah aliran Cina.
Ads
“Susah awalnya sebab tak ada asas dan dulu malu nak bercakap dengan jiran dalam bahasa Mandarin, tapi lama-kelamaan bertambah yakin.
“Alhamdulillah, saya dapat nombor satu dalam kelas ketika tahun empat. Kemudian cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sampai dapat masuk sekolah sekarang yang tersenarai antara sekolah terkemuka dan pernah lima kali juga dapat tempat pertama dalam kelas sewaktu di tingkatan tiga, empat serta lima,” katanya.
Berkongsi tip pembelajarannya, Ahmad Khidir berkata, dia menyediakan jadual belajar dengan memperuntukkan mengulangkaji dua subjek dalam sehari.
“Tempoh ulangkaji bagi satu subjek adalah dua jam 30 minit dengan 15 minit waktu rehat bagi setiap sesi.
Ads
“Saya cuba fleksibelkan masa kerana tak nak tertekan dan ada juga belajar secara berkumpulan, yang mana saya ajar mereka (pelajar Cina) Bahasa Melayu dengan Sejarah.
“Manakala, rakan ajar saya bahasa Mandarin, jadi kami saling membantu dengan belajar serta bersaing secara sihat tanpa ada isu pun,” katanya yang turut aktif dalam kokurikulum dengan menyandang jawatan Naib Pengerusi Kadet Polis, Kelab Pencegahan Jenayah, Lembaga Pengawas dan kumpulan koir selain aktif olahraga.
Menurut Ahmad Khidir, kejayaan baru-baru ini bukan kerana usahanya saja, tetapi berkat sokongan keluarga khususnya ibu bapa, pentadbir sekolah, guru dan rakan yang banyak membantunya.
“Terima kasih kepada mama yang menjaga, papa (Ahmad Nazri Noordin, 55) yang tak jemu tanya khabar saya, adik-beradik kerana kuatkan semangat, juga rakan sebab sentiasa teman sewaktu belajar.
“Tak ketinggalan juga buat pengetua, penolong kanan, guru dan ustaz yang mendidik dari sekolah rendah, menengah selain netizen kerana bagi ucapan tahniah juga semangat selepas video dimuat naik kakak (Siti Fatimah Azzahra, 22) mendapat tontonan ramai di TikTok.
Ads
“Terharu rasanya kerana ramai yang mendoakan dan saya doakan juga kejayaan semua terutama calon SPM lain. Jangan putus asa, sentiasa mencuba, ingat mereka yang bagi sokongan dan terus kuat,” katanya.
Menjaga kesihatan diri adalah kunci kepada kehidupan yang lebih berkualiti. Pemakanan seimbang, rehat yang cukup, dan amalan senaman yang konsisten membantu tubuh kekal cergas serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit.
Senaman bukan sekadar untuk kecantikan fizikal, tetapi ia juga penting untuk kesihatan mental, meningkatkan tenaga, dan memperbaiki mood. Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bergerak – sama ada berjalan, berlari, atau bersenam ringan. Ingat, badan yang sihat membolehkan kita menjalani kehidupan dengan lebih bertenaga dan bahagia
Nak tahu lebih lanjut ikuti perkongsian Dr Zubaidi mengenai brisk walking yang membantu kita menjaga kesihatan diri.
BRISK WALKING AMALAN TERBAIK INDIVIDU BERUSIA 50 TAHUN KE ATAS
Ramai yang beranggapan bahawa berjalan kaki adalah suatu aktiviti yang biasa, tidak boleh dikategorikan sebagai senaman.
Tetapi banyak kajian menunjukkan berjalan kaki dapat memberikan banyak manfaat jika dilakukan dengan betul. Berjalan laju (brisk walking) 2.5 jam setiap minggu dapat merendahkan risiko untuk mati lebih awal akibat serangan sakit jantung dan stroke. Risiko mendapat kanser tertentu juga menjadi rendah.
Brisk walking membantu kesihatan otak dan minda. Pemeriksaan MRI selepas melakukan aktiviti anaerobic akan meningkatkan pengaliran darah ke otak dan mengembangkan saluran darah di leher.
Jadi saya mencadangkan pengamalan berjalan kaki laju (brisk walking) 30 minit setiap hari untuk 5 hari dalam seminggu pada individu berusia 50 tahun ke atas.
Lakukan secara bersederhana dan jangan gopoh. Yang penting sabar dan istiqamah. Lakukan di awal pagi.
Bagi yang ada penyakit kronik dapat pemeriksaan dari doktor sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal.
Tahap kebahagiaan sesebuah negara sering menjadi ukuran kesejahteraan rakyatnya. Baru-baru ini, laporan Laporan Kebahagiaan Dunia 2025 yang disediakan oleh firma penyelidik Gallup menunjukkan bahawa Malaysia jatuh lima anak tangga, di kedudukan ke-64 berbanding ke-59 sebelum ini.
Gallup berkata, laporan itu dibuat hasil kerjasama antara pihaknya bersama Oxford Wellbeing Research Centre dan UN Sustainable Development Solutions Network yang menganalisis tempoh antara 2022 hingga 2024 melibatkan kira-kira 1,000 responden dari 147 negara.
Menurutnya, penyelidik mengenal pasti beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk antaranya sokongan sosial, pendapatan, kebebasan kesihatan dan persepsi terhadap rasuah.
“Malaysia menduduki tempat ke-4 dalam kalangan anggota ASEAN, malah menjadi antara empat negara teratas di dunia di mana rakyatnya paling kerap berkongsi makanan bersama.
“Rakyat Malaysia berkongsi kira-kira 11 hidangan seminggu dengan orang lain,” katanya pada Khamis.
Gallup memberitahu, dalam kalangan negara ASEAN, Singapura menduduki tempat pertama iaitu di tangga ke-34, diikuti Vietnam di tempat ke-46 dan Thailand di kedudukan ke-49.
Tambahnya, Indonesia pula berada di tangga ke-83, disusuli Laos (93), Kemboja (124) dan Myanmar (126).
Sementara itu, katanya, negara-negara Nordik sekali lagi mendominasi kedudukan apabila Finland dilaporkan berada di tangga teratas untuk lapan tahun berturut-turut dengan markah 7.736 dalam Indeks Penilaian Hidup.
“Denmark, Iceland dan Sweden masing-masing di tempat kedua, ketiga dan keempat, sama seperti tahun sebelumnya. Belanda juga kembali berada di kelompok lima teratas manakala Costa Rica (6) dan Mexico (10) buat pertama kali tersenarai dalam kedudukan 10 negara paling bahagia.
“Jerman turut mencatatkan peningkatan dari tempat ke-24 ke-22, manakala Amerika Syarikat (AS) jatuh satu anak tangga iaitu kedudukan ke-24, rekod terburuknya setakat ini.
“Lubnan (141), Sierra Leone (142) dan Afghanistan (143) disenaraikan sebagai negara paling tidak bahagia,“ ujar laporan tersebut.
Rayuan bapa kanak-kanak tercekik ‘gummy mata,’ – “Mohon doakan anak saya.” Bapa kepada kanak-kanak yang dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata memohon untuk mendoakan anak sulungnya.
“Mohon doakan kesejahteraan anak sulung saya, dia sedang tenat. Semoga ada keajaiban untuknya.”
Begitu rayuan Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, bapa kepada kanak-kanak lelaki Mohamad Fahmi, 10, yang kritikal sejak kelmarin dipercayai tercekik gula-gula ‘gummy’ mata.
Mohamad Fakhruddin berkata, kali terakhir dia dan isteri dapat melihat anaknya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 8.30 pagi tadi dan sudah berjumpa dengan doktor.
Menurutnya, Muhamad Fahmi masih tidak menunjukkan perkembangan dan doktor sedang berusaha merawatnya.
“Doktor beritahu pasukannya sedang berusaha merawat dan jika tiada perkembangan, mereka akan hentikan pemberian ubat bagi melihat perkembangan seterusnya.
“Luluh hati saya, seorang anak yang ceria tiba-tiba dalam keadaan begini. Pada masa ini, kami sekeluarga hanya mampu berdoa dan berserah kepada kuasa Allah SWT.
“Tragedi yang menimpa anak sulung kami amat mengejutkan, kami tiada daya menghalangnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HPP bersama isteri, Noraini Mohamad Isa, 37 dan adiknya, Siti Farhanim, 33, hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, sejak anaknya dipindahkan ke PICU HPP dari Hospital Seberang Jaya, dia tidak pulang ke rumah dan tidak berganjak dari ruang menunggu bagi menantikan khabar gembira.
Menurutnya, dia cuba lelap seketika, namun terjaga apabila terdengar seolah-olah Muhamad Fahmi memanggilnya.
“Betul dan jelas kedengaran Muhamad Fahmi panggil saya, ‘baba’, seketika kemudian barulah tersedar ia hanya mimpi atau perasaan saya.
“Kelmarin, Muhamad Fahmi beritahu tidak mahu ke Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kerana keletihan. Saya sangka itu hanya perkara biasa tambahan sesi persekolahan baharu sahaja bermula.
“Sebelum ini, ibunya yang menghantar dia ke kelas dan tidak sangka semalam menjadi pertemuan akhir kami. Sebelum masuk ke kelas, dia paling muka melihat saya dan pandangan matanya buat saya teringat sampai sekarang,” katanya.
Katanya, dia tidak mahu keadaan itu menjadi kenangan terakhir sekali gus berharap anaknya terus kuat kerana ramai yang menanti.
“Kami akan bawa anak kedua (Nufa Fakhira, 4) datang melawat Muhamad Fahmi, sekurang-kurangnya dia boleh dapat rasakan kehadiran adiknya,” katanya.
Menurut Muhamad Fakhruddin, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak di atas tragedi yang menimpa anaknya.
“Namun, saya sedikit kesal apabila ada sesetengah individu menyalahkan anak kerana membeli gula-gula berkenaan.
“Kami sudah menderita menanggung semua ini, cukuplah beri ulasan negatif, malah ada yang menyalahkan anak saya. Muhamad Fahmi tidak tahu apa-apa dan tidak tahu perkara ini akan berlaku,” katanya.
Semalam, media melaporkan Muhamad Fahmi kritikal dipercayai tercekik gula-gula berkenaan ketika berada di kelas.
Walaupun anak sudah semakin membesar, namun kita sentiasa perlu beringat. Usah dilupakan senarai ubat-ubatan bila memilih untuk bercuti atau travel dengan anak-anak, terutamanya ketika bercuti ke luar negara.