Pelajar cemerlang perakaunan dari TYMBA Education, Aysar Zahran Bin Saiful Alimin, 20, telah meninggal dunia dalam satu kemalangan tragis melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat , Ampang pada Ahad.
Memetik laporan Sinar Bestari, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kemalangan yang berlaku pada jam 4.45 petang melibatkan empat buah motosikal dan sebuah kereta dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.
“Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, akibat dari kemalangan itu, mangsa dikenal pasti sebagai Aysar Zahran yang menunggang sebuah motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, lima penunggang dan pembonceng motosikal lain yang cedera dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.
Katanya, pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, khabar duka ini dikongsi menerusi facebook Tymba Edu yang berduka dengan kehilangan pelajar yang cemerlang.
Dengan hati yang berat dan reda atas ketentuan Ilahi, kami ingin menyampaikan berita sedih pemergian Aysar Zahran Bin Saiful Alimin, seorang pelajar cemerlang di bawah biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA.
Aysar telah mengharumkan nama apabila berjaya meraih tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia dalam peperiksaan Management Information 1 (MA1) bagi sesi FIA pada Disember 2023. Kejayaan luar biasa ini adalah bukti komitmen dan kecemerlangannya yang akan terus dikenang dalam hati kami.
Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga beliau serta mentor dan tutor kesayangan kami, Madam Fatimah (Alumni MyPAC). Semoga Allah SWT mengurniakan mereka ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini. Kami berdoa agar roh Aysar ditempatkan dalam Jannah di sisi orang-orang yang beriman.
Mohon sedekahkan doa buat Aysar dan insan-insan yang menyayanginya. Pemergiannya satu kehilangan besar, namun kenangan bersamanya akan terus hidup dalam ingatan kami.
“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un” – Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada-Nya kita kembali. Ikhlas, TYMBA
Salam takziah buat keluarga Aysar Zahran Bin Saiful Alimin atas pemergian beliau. Kehilangannya satu kehilangan besar, terutama sebagai seorang pelajar cemerlang yang pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebaikannya, dan menempatkannya di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Semoga keluarga dan insan tersayang diberi ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah.
Sumber: Tymba Edu dan Sinar Bestari