Berita

Pelajar Cemerlang Meninggal Dunia Akibat Sakit Kepala, Koma Sehari Sebelum SPM

Share

Seorang pelajar cemerlang yang penuh harapan untuk masa depan telah meninggal dunia selepas koma sehari sebelum menduduki ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tragedi ini amat menyayat hati, lebih-lebih lagi apabila pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, Batu Pahat Johor ini disahkan mengalami cerebrovascular accident (CVA) yang membawa kepada strok pada Ahad lalu.

Kehilangannya bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, malah seluruh komuniti sekolah yang selama ini menjadi saksi usaha gigih dan kecemerlangannya.


Pelajar perempuan tersebut, Sim Hui Yi, 17 tahun, dilaporkan mengalami pendarahan otak yang membawa kepada pemergian secara tiba-tiba dan di luar jangkaan.

Menurut bapanya, Shen Kang Xiang, Hui Yi mengadu sakit kepala yang teruk ketika berada di rumah pada malam Ahad, 2 Disember, sebelum tiba-tiba pengsan tidak lama kemudian.

Beliau segera membawa anaknya ke sebuah klinik berhampiran di mana keadaannya masih stabil, sebelum dipindahkan ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, doktor mendapati saluran darah ke otak mangsa pecah menyebabkan remaja itu mengalami pendarahan dalaman yang teruk dan berada dalam keadaan koma.

“Anak saya mengejutkan saya dan isteri pada jam 4 pagi, menangis kesakitan dan menggeliat di atas katilnya.

“Dari riak wajahnya, saya dapat melihat dia berada dalam kesakitan dan tidak mampu bercakap,” kata Kang Xiang.

Kang Xiang menjelaskan bahawa pada mulanya beliau menyangka sakit kepala yang dialami anaknya hanyalah akibat tekanan menjelang peperiksaan SPM yang semakin dekat.

Namun, hasil imbasan perubatan menunjukkan bahawa anaknya sebenarnya mengalami pendarahan otak.

Beliau turut dimaklumkan oleh guru sekolah bahawa Hui Yi kelihatan pucat sepanjang minggu sebelum kejadian, meskipun anaknya tidak pernah mengadu tentang sebarang masalah kesihatan.

Dengan hati yang pilu, Kang Xiang menggambarkan anak perempuannya sebagai seorang yang taat, berakhlak mulia, dan sentiasa menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.

Hui Yi baru sahaja mencapai kejayaan gemilang dalam peperiksaan percubaan SPM dengan keputusan 10A dan 1B, membuktikan dedikasi serta usahanya dalam pelajaran.

Smk Yong Peng – Pibg & Harian Metro