PCOS, Gangguan Hormon Wanita Penyebab Sukar Hamil. Kenali Tanda & Gejala Yang Tidak Boleh Diabaikan

Share

Sindrom polycystic ovari (PCOS) adalah masalah akibat ketidakseimbangan hormon. Ia biasa terjadi pada wanita dalam jangka umur reproduktif iaitu di antara umur 12 – 49 tahun. Ia melibatkan kira-kira 10% wanita dalam kumpulan umur ini.

Ia juga merupakan satu masalah kesihatan yang tidak boleh sembuh sepenuhnya. Ia boleh memudaratkan wanita dalam jangka masa panjang kerana ia bukan hanya melibatkan masalah ginekologi tetapi juga boleh mendatangkan penyakit lain secara keseluruhan jika tidak dirawat dengan baik.

Sebab sebenar mengapa seseorang wanita tersebut menghidapi PCOS tidak dapat dikenalpasti dengan tepat. Faktor-faktor yang mungkin menyumbang kepada sindrom ini termasuklah :

Kelalian badan terhadap insulin 

Insulin adalah sejenis hormon yang dirembeskan oleh pankreas, berfungsi menurunkan paras gula di dalam badan. Seseorang yang mengalami PCOS  mempunyai kandungan insulin di dalam badan yang tinggi, namun begitu sel dalam badannya tidak sensitif pada insulin ini dan menyebabkan paras gula di dalam badan sentiasa tinggi. Ini mengakibatkan penghidap PCOS mudah mendapat masalah kencing manis.

Insulin yang berlebihan ini juga berupaya meningkatkan paras hormon lelaki (androgen) dalam badan wanita itu seterusnya menyebabkan wanita tersebut mengalami pertumbuhan bulu atau rambut yang berlebihan dan juga menghadapi masalah kesukaran ovulasi (yang akan mengurangkan tahap kesuburan wanita berkenaan).

Berlebihan hormon androgen

Dr Wan Norizah Binti Wan Musa, Doktor Pakar Perbidanan & Sakit Puan dari hospital Pakar Annur berkata, sejarah keluarga boleh memainkan peranan menyebabkan seseorang itu menghidap PCOS.

“Tanda-tanda seseorang itu menghidapi PCOS mula dikesan secara kebiasaanya apabila kitaran haidnya mula menjadi tidak teratur. Bagi sesetengah wanita, mungkin tiada mandated PCOS pada mulanya, sehinggalah ia timbul kemudian apabila berat badannya bertambah secara mendadak dan berlebihan.

“Ia semakin serius sekiranya wanita tersebut mempunyai masalah obesiti. PCOS boleh dikenal pasti apabila terdapat simptom berkaitan PCOS, melalui pemeriksaan tahap hormon di dalam darah dan juga dengan melakukan imbasan ultrasonik.

“Kitaran haid yang normal adalah di antara 21 – 35 hari. Bagi wanita yang menghidap PCOS kitaran haid menjadi tidak teratur kebiasaannya melebihi 35 hari setiap kitaran atau tiada haid langsung dalam jangkamasa yang panjang.

“Tempoh datangnya haid juga tidak teratur boleh jadi terlalu pendek atau terlalu panjang dan dengan lelehan yang banyak sehingga boleh menyebabkan wanita tersebut kehilangan darah dan kelihatan pucat. Kitaran haid yang tidak normal ini boleh menyebabkan seseorang wanita itu agak sukar untuk mengandung,”jelasnya.

Selain itu, Menurut Dr Wan Norizah lagi, terdapat juga tanda fizikal berkaitan hormon kelelakian (androgen) pada tubuh seseorang wanita itu yang menyumbang kepada PCOS.

“Setiap wanita mempunyai hormon androgen di dalam badan mereka tetapi dalam jumlah yang sedikit. Bagi wanita yang menghidapi PCOS, hormon androgen dalam badan mereka adalah lebih daripada kebiasaan.

“Di antara tanda yang menunjukkan hormon ini berlebihan adalah wanita tersebut mempunyai rambut atau bulu di badan yang tebal, kelihatan seperti misai yang nipis (hirsutism), jerawat di muka dan mungkin masalah keguguran rambut menyebabkan kebotakan. Masalah berlebihan hormon androgen ini melibatkan 70% wanita PCOS.

“Imbasan ultrasonik yang menunjukkan saiz ovari yang besar dan mempunyai banyak folikel yang tidak matang sepenuhnya. Selain itu, tanda seperti kulit gelap dan tebal di sebahagian badan seperti di leher, celah kelangkang dan di bawah buah dada,” ujar Dr Wan Norizah sambil memberitahu kesan PCOS boleh menyebabkan kesukaran untuk mengandung.

Mengalami keguguran berulang.

80% daripada wanita yang menghidapi PCOS mengalami masalah berlebihan berat badan. Wanita-wanita ini kebiasaannya mengalami simptom PCOS yang lebih teruk dan kadang-kadang amat sukar untuk dirawat. Mereka juga mempunyai risiko mendapat komplikasi yang lebih tinggi.

“Masalah perubatan kepada wanita seperti sindrom metabolic, terdiri daripada kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi yang boleh mengakibatkan mudahnya mendapat masalah serangan jantung atau angin ahmar.

“Selain itu, kanser pada dinding rahim (endometrial cancer). Apabila masalah haid berterusan dan tidak dirawat sebaiknya, ia akan mengakibatkan dinding rahim semakin tebal (endometrial hyperplasia) dan berisiko bertukar menjadi kanser.

“PCOS adalah satu dari penyebab utama kanser dinding rahim bagi wanita muda,” jelas DR Wan Norizah  Sambil memberitahu ada antara pesakit PCOS yang mengalami pernafasan berhenti sewaktu tidur (sleep apnoea) selain kemurungan disebabkan oleh masalah yang dihadapi dan obesiti.

Begitu pun, Dr Wan tidak menafikan sebahagian daripada wanita yang menghidapi PCOS adalah bertubuh kecil.

“Mereka juga mungkin mengalami masalah haid atau kesukaran untuk menimang cahaya mata. Bagi kumpulan wanita ini, penurunan berat badan adalah tidak perlu tetapi mereka masih perlu mengamalkan pemakanan yang betul. Mereka juga perlu sentiasa melakukan senaman supaya berat badan tidak bertambah.

“Ianya bertujuan mengawal keberkesanan tindakan insulin di dalam badan. Rawatan ubat-ubatan mungkin diperlukan untuk menangani simtom-simtom lain berkaitan PCOS seperti masalah kitaran haid, kesukaran mengandung dan berlebihan hormon androgen dalam badan.

“Menurunkan berat badan adalah cara rawatan yang paling berkesan bagi wanita bertubuh besar yang menghadapi PCOS sekiranya ingin menimang cahaya mata. Penurunan berat badan sebanyak 5% sahaja dapat membantu mengurangkan masalah PCOS.

“Ia boleh dilakukan dengan cara senaman serta mengamalkan diet yang mengandungi karbohidrat yang rendah. Disamping itu, pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijian sempurna perlulah diutamakan. Ubat-ubatan yang dapat mengurangkan kelalian insulin dalam badan seperti Metformin juga boleh digunakan bagi wanita yang menghidapi PCOS.

“Kedua-dua kaedah ini dapat mengurangkan masalah kelalian badan terhadap insulin, dan dengan itu mengurangkan hormon androgen di dalam badan, mengawal kitaran haid dengan lebih baik dan menambahkan peluang ovulasi seseorang wanita.

“Ia juga dapat mengurangkan komplikasi sewaktu mengandung seperti risiko keguguran berulang serta mengurangkan risiko komplikasi lain seperti sindrom metabolik dan kanser dinding rahim.

Terdapat juga wanita yang memerlukan rawatan tambahan seperti pil atau suntikan kesuburan bagi menghasilkan ovulasi dan akhirnya memerlukan prosedur permanian berhadas (IUI) atau persenyawaan in-vitro (IVF). Pembedahan seperti `ovarian drilling’ adalah satu lagi rawatan sekiranya kaedah ubat-ubatan untuk menghasilkan kandungan tidak berkesan.