“Patutlah Rasa Berdebar-Debar, Tak Sangka Petanda Anak & Menantu Akan Pergi Selamanya.” Suami Isteri Maut Rempuh Motosikal, Dua Beradik Yatim Piatu Sekelip Mata

Share

Sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila orang yang disayangi pergi buat selama-lamanya. Lebih memilukan apabila melihat wajah anak-anak yang masih kecil yang tidak mengetahui apa yang berlaku.

Namun siapa kita yang mampu menolak takdirNya. Demikian juga yang berlaku apabila pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, Muhammad Hamadi Zakaria dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini, masing-masing berusia 31 tahun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 500R dinaiki pasangan ini tidak sempat mengelak dua motosikal bergesel di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

Mangsa gagal mengelak dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Suzuki Axelo yang bergesel di tengah jalan lorong motosikal berkenaan. Dua lagi penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.  Mereka yang parah dikenali sebagai Mohd Saad Ismail, 45, dan Sainuddin Sukur, 51.

Menurut Fatimah Mohd Yatim, 60  ibu kepada Nur Syuhadah Zaini, pasangan ini juga telah mengambil cuti untuk menghantar ibu bapa mentua mereka mengerjakan haji.

“DIA dan suami mengambil cuti esok untuk menghantar ibu bapa mentuanya ke Kompleks TH (Tabung Haji) di Sepang, tak sangka hajat mereka itu tak kesampaian,” kata Fatimah Mohd Yatim,60.

“Saya terkejut apabila dihubungi polis menggunakan nombor telefon Hamadi mengatakan bahawa anak dan menantunya maut dalam kemalangan.

“Kali terakhir saya bertemu dengan Syuhadah adalah semalam ketika bersarapan pagi bersama dengannya, namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya semalam.

Menurutnya lagi, pasangan  itu tinggal di Seksyen 19 bersama dua anak perempuan mereka iaitu Hana Safiyyah, 6, dan Hani Safina, 2.

“Anak mereka seolah-olah faham dengan apa yang berlaku, namun masih dalam keadaan kebingungan.

“Patutlah perasaan saya berdebar-debar sejak daripada semalam dan tidak sangka sebenarnya itu adalah petanda dia dan menantu akan pergi selamanya,” katanya.

Sementara itu, Ibu kepada Muhammad Hamadi, Halimah Mohd Isa, 60-an, kelihatan sugul dan menitiskan air mata di surau manakala suaminya Zakaria Tajudin, 60-an, sesekali dilihat mengesat air mata.

Zakaria ketika ditemui berkata, segala yang terjadi itu adalah ketentuan Yang Maha Esa. Jelasnya, anak dan menantunya menaiki motosikal setiap hari ke tempat kerja.

“Terlalu sedih namun saya sekeluarga reda dengan kemalangan yang mengorbankan nyawa anak dan menantu.

“Saya dan isteri akan berangkat mengerjakan ibadah haji, esok (hari ini) dan kedua-dua mereka sudah merancang untuk menghantar kami ke Kompleks Tabung Haji (TH), namun takdir Allah SWT mengatasi segalanya,” katanya.

Jenazah pasangan ini dikebumikan bersebelahan di antara satu sama lain. Kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara serta kenalan kedua-dua pasangan berkenaan menghadiri upacara pengebumian itu.

Lebih menyayat hati, kedua-dua cahaya mata pasangan itu, Hana Safiyyah, 6 dan Hana Safina, turut hadir mengiringi jenazah kedua-dua insan tersayang mereka ke tanah perkuburan.

Anak kecil itu dipangku datuk serta ahli keluarga lain dan reaksi wajah mereka seolah-oleh mengerti bahawa tiada lagi tempat mengadu serta bermanja.

Sumber: Harian Metro