Penjagaan kesihatan gigi mesti dimulakan sejak kecil lagi. Sudah pastinya kita sebagai ibu bapa merancang untuk mengajar anak bagaimana untuk mengekalkan gigi yang cantik dengan baik.
Moga perkongsian Dr Iqbal Rosali dapat memberikan manfaat bersama dalam menjaga kebersihan gigi anak-anak.
Pagi tadi, saya berkongsi tentang penjagaan gigi kanak-kanak. Point utama yang banyak kali saya tekankan:
a) Mak atau ayah mesti bantu anak-anak gosokkan gigi sampai umur 6 tahun. Kita memang rasa anak kita pandai cepat dan senang belajar buat itu ini sendiri termasuk memberus gigi.
Yang kita risaukan, kalau anak dibiarkan gosok gigi sendiri, tanpa pantauan, mereka akan gosok gigi depan sahaja. Gigi geraham dan permukaan mengunyah mereka tak gosok atau mungkin terlupa. Selebihnya, ubat gigi ditelan. Itu yang saya ulang banyak kali. Mak ayah mesti tolong gosokkan atau gosok gigi bersama-sama.
b) Penggunaan ubat gigi. Gunakan yamg berflourida. Ada dijual ubat gigi kanak-kanak berflourida. Jangan risau. Kandungan flourida ini cuma separuh sahaja daripada orang dewasa punya.
Tapi WAJIB dibantu ibu atau ayah. Jangan biar anak sendirian. Barulah tak ada isu tertelan ke atau susah anak nak meludah.
c) Kita juga buat sesi latihan memberus gigi. Saya tunjukkan kuantiti ubat gigi yang diperlukan. Bawah 3 tahun, sebiji beras. Lebih 3 tahun, sebiji kacang pea. Lepas itu, jangan terus gosok. Sapukan ubat gigi tadi ke atas semua berus gigi.
Mak ayah sendiri boleh lihat tak ada ubat gigi membazir, tak ada buih-buih yang comot dan senang untuk dibersihkan.
d) Lepas habis latihan memberus gigi, anak-anak pun buat pemeriksaan gigi. Ada sesetengah yang sudah berani atau biasa duduk di kerusi rawatan. Ini bagus. Ada yang masih takut-takut. Kena biasakan. Mak ayah kena main peranan, duduk dan teman sekali dengan anak masa pemeriksaan.
Ada juga yang gigi sudah rosak. Mak ayah pun mula sedar bila doktor gigi membebel tentang kepentingan gigi susu dan jangan biar rosak teruk.
Sumber: FB Iqbal Rosali