Tidak dinafikan, tipikal budaya masyarakat kita, menganggap bahawa tugas orang perempuan ini di dapur manakala tugas orang lelaki mencari rezeki.
Hakikatnya ia tidak relevan diguna pakai begitu lantaran dalam Islam pun menyentuh bahawa lelaki melakukan tugasan dalam rumah.
Jadi, seharusnya kita buka minda bahawa lelaki harus didedahkan dengan kerja-kerja rumah.
Sebagaimana perkongsian yang diberikan oleh Najmi Nawawi.
TUGAS ANAK LELAKI DI RUMAH
Kita pastinya mahu anak lelaki kita membesar dalam didikan yang baik. Kerana kita tahu, satu hari nanti dia akan berkahwin dan berkeluarga, mempunyai isteri dan anak-anak mereka sendiri.
Zaman sekarang dah tak sama dengan zaman dulu. Dulu orang lelaki hanya pergi kerja, selebihnya orang perempuan uruskan segalanya di rumah. Sekarang zaman berbeza, kebanyakan pasangan suami isteri, dua-dua kena bekerja atau mahu bekerja.
Kalau kita masih nak ikut cara dulu, pengurusan rumah tangga memang tak akan baik. Masa yang suntuk di rumah ditambah lagi dengan kepenatan yang amat sangat kedua-dua pasangan.
Jika masih dengan norma lama, kesian kepada isteri yang pastinya sangat kepenatan untuk uruskan segalanya. Emosi yang tak baik akan cenderung kepada pergaduhan yang kemudiannya menyumbang kepada asbab keruntuhan rumah tangga.
Jika anak-anak lelaki kita tidak diajar dan dibiasakan dari kecil dengan kerja-kerja rumah. Bagaimana mungkin kita nak harapkan keajaiban berlaku. Kerana dalam kepalanya sudah tertanam bahawa ini kerja perempuan.
Silapnya kita, jika kita lebih suka untuk minta anak perempuan kita bantu buat kerja rumah.
Sikit-sikit panggil kakak atau adik perempuan untuk uruskan dapur, tolong basuh baju dan sebagainya. Kerana kita masih berpendapat ini semua kerja perempuan. Sementara anak lelaki tidak dipanggil untuk membantu.
1.minta anak lelaki cuci pinggan
2. suruh anak lelaki buang sampah
3. ajar anak lelaki sidai kain
4.tegas dan pastikan mereka mengemas
5.biasakan anak lelaki memasak
Beritahu dan ajar anak lelaki kita yang kerja rumah bukannya kerja orang perempuan, tapi ia sebenarnya tanggungjawab bersama.
Sumber: Najmi Nawawi
*Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Bisnes Tak Laku, Rumah 4 Bulan Tertunggak. Pasangan Ini Terpaksa Jual Kereta Kancil Sebagai Ikhtihar Terakhir
Sepasang suami isteri tekad untuk menjual sebuah kenderaan yang merupakan pengangkutan utama keluarganya kerana berdepan dengan masalah kewangan yang rumit dan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Ini merupakan ikhtihar terakhir bagi mereka demi untuk menyelamatkan tempat tinggal mereka yang sudah 3 bulan tertunggak.
“Bayaran rumah sewa sebanyak RM400 sebulan sudah tertunggak tiga bulan. Itu belum lagi nak menampung makan minum kami sekeluarga.
Menurut isteri pasangan berkenaan, Safiyah Abdullah bahawa kereta Kancil terpakai itu dibeli pada 2021 untuk kegunaan berniaga dan menghantar anak-anak ke sekolah.
Walaupun berat hati untuk melepaskan kereta yang banyak membantu mereka sekeluarga dalam mencari rezeki, namun wanita berusia 30 tahun ini bersama suaminya terpaksa melepaskannya.
“Saya dan suami berniaga asam pedas tetal sejak 1 Ramadan lalu, tapi tak balik modal. Ada hari hanya terjual sebungkus RM5 sahaja.”
Perniagaannya hanya bertahan selama enam hari, Safiyah terpaksa akur bisnes berkenaan lebih mendatangkan kerugian sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Sebelum ni okay, tapi masuk bulan puasa bisnes makin ‘sakit’. Mungkin antara sebab adalah gerai kami di Duyong Bestari, Melaka terlalu dekat dengan bazar Ramadan, jadi orang ramai lebih tertumpu ke sana membeli juadah.
“Kami pula tak mampu nak sewa tapak bazar. Jadi berniaga apa yang boleh, tapi kami struggle nak bayar tunggakan sewa rumah dan tanggung anak-anak.
“Itu sebab kami buat video di TikTok untuk cuba jual kereta kancil tu pada harga RM3,000,” ujarnya yang mempunyai 5 orang anak.
Selain masalah tunggakan sewa rumah dan sara hidup keluarga, dia yang menetap di Melaka Tengah, Melaka itu juga perlu menanggung kos penjagaan anak bongsunya yang berusia dua tahun kerana menghidap laryngomalacia yang berkaitan dengan masalah saluran pernafasan.
“Kami lebih risau hilang tempat tinggal. Kat mana kami sekeluarga nanti? Itu belum lagi kos ulang-alik bawa anak ke hospital setiap minggu selain cari duit untuk baiki seandainya kereta tu rosak lagi.
Apabila ditanya mengenai bantuan kewangan daripada NGo ataupun zakat, wanita ini memaklumkan bahawa dia cuba ikhtihar sedaya-upaya sebelum mendapatkannya.
“Bukan tak pernah terfikir nak mohon bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tapi kami rasa masih mampu berusaha dan berikhtiar sedaya-upaya.
“Bantuan kewangan tu seeloknya untuk mereka yang lebih susah, fakir miskin. Buat apa ambil hak orang, jadi kami ikhtiar dengan jual kereta untuk selesaikan segala hutang yang ada,” ujarnya lagi.
Kisah Safiyah dan keluarganya ini yang tular di media sosial telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang kemudiannya segera membuat lawatan bersama JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) ke rumah keluarga tersebut, pada Isnin lalu.
“Hasil perbincangan Safiyah tak pernah mohon JKM dan Maim untuk bantuan yang berkala. Kita tunggu Safiyah lengkapkan borang untuk hantar kepada JKM dan Maim.
“Untuk rekod juga, Maim sebenarnya banyak kali dah bantu Safiyah dalam bentuk one-off (sekali) yang mana dia datang apabila mengadu masalah dan Maim bantu secara tunai.
“Jadi, untuk langkah seterusnya kita perlukan dokumen-dokumen daripada Safiyah untuk kita bantu dari segi bantuan lain.
Pasangan ini turut mengatakan bahawa, mereka tidak menyangka kisah mereka mendapat perhatian ramai di media sosial.
“Alhamdulillah syukur. Kami juga mencuba nasib, kembali berniaga nasi goreng ayam kunyit dengan menu rahmah berharga RM5 sebungkus.
“Buat masa ini, kami buka tempahan dan kebanyakan pelanggan melakukannya untuk infaq Ramadan, sama ada disumbangkan ke masjid, rumah anak-anak yatim atau orang awam.
“Jika ada permintaan, kami akan menjual di gerai seperti biasa. Terima kasih kerana ramai yang prihatin dan teruskan mendoakan kami,” katanya.
[TIPS]
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
Tular Gambar Safiey Ilias Berpakaian Wanita, Mufti WP Tulis Surat Terbuka Ajak ‘Mengeteh’ Sambil Berkongsi Rasa Hati
Usahawan kosmetik, Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias baru-baru ini dihambat kontroversi apabila berpenampilan seksi ketika bercuti di Pulau Langkawi. Belau memuat naik beberapa gambar berbikini dan pakaian wanita tanpa segan silu sehingga menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.
Perkongsian itu juga turut menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis surat terbuka buat usahawan muda itu.
“Kami menerima beberapa keping gambar saudara yang ditularkan beberapa hari lepas. Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada ianya benar ataupun tidak. Apapun, anggaplah surat terbuka ini sebagai satu luahan yang jujur, penuh kasih sayang daripada seorang saudara Muslim kepada saudaranya yang lain.
“Hati saya terdetik untuk menyampaikan surat terbuka kepada saudara Safiey Ilias walaupun sebelum ini sudah ada niat untuk berjumpa tetapi saya merasakan perlunya sebuah perkongsian dengan saudara dalam memahami haqiqat al-hayah,” kata mufti menerusi catatan Qalam Mufti: Safiey, Jom Mengeteh!, pada Jumaat.
Safiey yang sebelum ini pernah menjadi sebutan kerana keputusannya untuk berhijrah daripada seorang mak nyah untuk kembali kepada fitrah, disifatkan oleh mufti sebagai satu perkhabaran yang gembira.
“Semasa saudara mengumumkan untuk ‘berubah’, saya antara individu yang amat gembira dengan keputusan tersebut. Apa yang pasti, sudah tentu ia juga menggembirakan ibu bapa saudara.
“Namun, laut tidak selalunya tenang. Saya faham dan mengikuti siri-siri tekanan yang saudara terima dalam usaha untuk kekal dengan ‘imej baharu’. Dan, saya tahu yang ianya amat-amat sukar untuk dilalui dan pahit untuk ditelan.
Menurut Zulkifli, beliau melihat Safiey benar-benar berusaha untuk keluar dari segala permasalahan tersebut namun Allah SWT lebih mengetahui apa yang telah diaturkan-Nya.
“Sejujurnya, saya katakan saudara adalah antara insan yang istimewa dengan pelbagai kurniaan nikmat yang Allah anugerahkan kepada anda. Alangkah baiknya anugerah tersebut disyukuri mengikut neraca syariat seperti ajaran Nabi SAW,” katanya.
Terdahulu, Safiey dilaporkan pernah membuang implan payu dara selain menunaikan umrah, sebagai usahanya untuk kembali ke pangkal jalan.
Usahawan berusia 25 tahun itu bagaimanapun kembali tampil berpakaian wanita, sekali gus mengejutkan banyak pihak.
Zulkifli berkata, Safiey dijemput ke pejabat beliau untuk berkongsi pandangan dan luahan bagi membolehkannya membantu usahwan muda itu untuk kebaikan bersama.
“Saya tidak pasti samada ruang yang tersedia ini sesuai atau tidak. Namun, saya dengan rendah hati menjemput saudara ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk kita bertukar-tukar pandangan, berkongsi rasa hati dan mungkin ada sudut yang boleh saya bantu untuk kebaikan bersama.
“Pada dasarnya, saya cuba memahami perasaan dan kehendak saudara. Mungkin boleh sama-sama kita duduk mengeteh dan berbincang secara santai untuk kebaikan kita semua,” katanya.
QALAM MUFTI #22: SAFIEY, JOM MENGETEH!
Pautan: http://www.muftiwp.gov.my/…/2983-qalam-mufti-22-safiey-jom-…
Assalamualaikum WBT
Saya menerima beberapa keping gambar saudara yang ditularkan beberapa hari lepas. Sejujurnya, saya tidak pasti samada ianya benar ataupun tidak. Apapun, anggaplah surat terbuka ini sebagai satu luahan yang jujur, penuh kasih sayang daripada seorang saudara Muslim kepada saudaranya yang lain.
Saudara Safiey,
Entah mengapa pada petang Jumaat yang mulia ini selepas Asar, hati saya terdetik untuk menyampaikan surat terbuka kepada saudara Safiey Ilias walaupun sebelum ini sudah ada niat untuk berjumpa tetapi saya merasakan perlunya sebuah perkongsian dengan saudara dalam memahami haqiqat al-hayah.
Saya berharap saudara dalam keadaan yang sihat sejahtera, berbahagia di samping keluarga yang tercinta. Semasa saudara mengumumkan untuk “berubah”, saya antara individu yang amat gembira dengan keputusan tersebut. Apa yang pasti, sudah tentu ia juga menggembirakan ibu bapa saudara.
Namun, laut tidak selalunya tenang. Saya faham dan mengikuti siri-siri tekanan yang saudara terima dalam usaha untuk kekal dengan “imej baru”. Dan, saya tahu yang ianya amat-amat sukar untuk dilalui dan pahit untuk ditelan. Saya nampak saudara betul-betul berusaha untuk keluar daripada segala permasalahan tersebut namun Allah SWT lebih mengetahui apa yang telah diaturkan-Nya.
Saudara Safiey,
Sejujurnya, saya katakan saudara adalah antara insan yang istimewa dengan pelbagai kurniaan nikmat yang Allah anugerahkan kepada anda. Alangkah baiknya anugerah tersebut disyukuri mengikut neraca syariat seperti ajaran Nabi SAW.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ
Maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku. sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki. Riwayat al-Bukhari (7507)
Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini jelas pada sisi pendalilannya, bahawa walaupun dosa walaupun terulang seratus malah seribu atau lebih, dan dia bertaubat setiap kali daripadanya, maka taubatnya diterima dan gugur dosanya. Meskipun dia bertaubat dari semua (dosa) dengan sekali taubat setelah semua (dosa), maka taubatnya sah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/128)
Saudara Safiey,
Saya tidak pasti samada ruang yang tersedia ini sesuai atau tidak. Namun, saya dengan rendah hati menjemput saudara ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk kita bertukar-tukar pandangan, berkongsi rasa hati dan mungkin ada sudut yang boleh saya bantu untuk kebaikan bersama.
Pada dasarnya, saya cuba memahami perasaan dan kehendak saudara. Mungkin boleh sama-sama kita duduk mengeteh dan berbincang secara santai untuk kebaikan kita semua. Saya tunggu jawapan saudara.
Akhukum fillah,
S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Sumber: Mstar
“Kalau Saya Sakiti Isteri, Dia Suruh Lupakan Dia Sebagai Bapa Saya”-Mark Adam
Bila dua hati dah bersatu dan mengikat janji dalam satu perkahwinan, pastinya mereka mengharapkan hubungan yang terjalin akan berkekalan selamanya. Bukan hanya antara pasangan itu, malah orang di sekelilingnya juga turut mengharapkan yang sama.
Misalnya seperti yang diperkatakan oleh ayah kepada penyanyi yang berasal dari Filipina, Mark Adam, di mana pesan bapanya dia mahu putuskan hubungan dengannya jika dia menyakiti isterinya Norazah Redzuan, atau Ezan, 42.
Memetik laporan Harian Metro, pesanan itulaj yang menjadi ikrar cinta Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam Abdullah yang memilih untuk mencintai Ezan seorang saja sejak berkahwin pada 2003.
“Masa saya pergi masjid nikah, kita kan berjanji depan imam dengan Tuhan. Jadi, saya kena pegang janji itu.
“Satu lagi kerana bapa saya. Saya tak tahu apa yang isteri cakap kerana pertama kali dia ke Filipina, dia pergi seorang. Saya tak boleh keluar (Malaysia) kerana nak dapat status bermastautin tetap.
“Jadi, bila keluarga ajak balik, dia pergi seorang. Masa dia di sana, bapa hubungi saya. Dia cakap, kalau saya sakiti isteri saya, dia suruh lupakan dia sebagai bapa saya,” katanya.
Pelantun lagu Marry Me itu juga menjadikan bapanya sebagai contoh terdekat apabila menyentuh mengenai sebuah perkahwinan yang cukup kukuh.
“Bapa saya pun pilih seorang wanita saja dalam hidupnya iaitu ibu saya. Ini pilihan masing-masing, saya pilih seorang. Apa-apapun terjadi, kita sudah janji untuk bersama, dan kena pegang kuat-kuat. Nak bergaduh, bergusti, atau apa pun terjadi, kami sudah berjanji,” katanya.
Sumber : Harian Metro
Nak beli hadiahhadiah untuk suami? Barang ni cantik, harga pun murah! Beli kat sinisini