Setiap perkahwinan ada pasang surutnya, ada bahagia ada masanya berselesihan pendapat namun itu lumrah dalam sesebuah rumah tangga.
Oleh sebab itu, sebuah rumahtangga yang bahagia, pasangan harus saling melengkapi dan sentiasa memberi sokongan kepada apa yang dilakukan.
Malah sikap saling memberi serta menerima antara satu sama lain. Barulah rumah tangga aman bahagia.
Begitulah yang dikongsi oleh wanita ini yang menjadi peringatan bersama dengan pasangan untuk menuju bahagia.
SALING MELENGKAPI MENUJU KEBAHAGIAAN
Bila saya tengok orang-orang hebat yang berjaya dengan sesuatu yang dia buat…
Selain suka lihat dia punya kejayaan, yang lebih saya suka lihat ialah dia punya pasangan.
Non toxic.
Cuba kita bayangkan begini je. Kalau Ustaz Ebit Lew punya isteri asyik nak merajuk. Nak mengamuk. Saya tak rasa begitu senang dan tenang Ustaz Ebit Lew boleh pergi merata bagi bantuan. Tak balik berhari-hari.
“Asyik tolong orang je, saya tak tolong”.
Cukup isterinya cakap begitu saja. Dah tentu susah hati Ustaz nak keluar merata.
Saya ingat ada sekali Cikgu Mohd Fadli Salleh pernah berkongsi kisah isteri beliau bagi semangat. Untuk teruskan apa yang cikgu buat. Tak merungut bila cikgu sampai pagi-pagi baru boleh balik berehat. Sibuk menguruskan Dana Kita.
Sekarang ditambah pula dengan kelas online percuma untuk satu Malaysia. Bukan sikit-sikit pastinya tenaga dan waktu yang nak dikorbankan di situ.
Perempuan pun ada ramai yang hebat juga. Macam Prof Muhaya, Ustaz Asma’ Harun, Ustazah Norhafizah Musa, Bonda Nor.
Wanita hebat yang mencipta nama dan kredibiliti dalam membuat sesuatu yang memberi makna untuk diri mereka sendiri. Tinggalkan legasi sebelum mati.
Saya ada terbaca sekali Ustazah Asma’ Harun pernah tulis bagaimana beliau mampu kekal untuk berkongsi ilmu merata-rata walaupun ada juga rasa sedih dan putus asa bila ada peristiwa yang melemahkan jiwa. Suami beliaulah orangnya.
Suruh Ustazah teruskan. Malah bantu juga jaga anak-anak yang masih kecil-kecil lagi semuanya.
Kalaulah punya nya jenis suami yang asyik nak minta isteri kena taat suami. Kena berbakti pada suami. Kena buat kerja rumah. Kena jaga anak. Saya tak pasti kita boleh kenal atau tidak nama-nama ini.
Tak cukup dengan ceramah dan aktiviti, mereka ni semuanya ada buku masing-masing. Nak buat buku ni pun bukan benda mudah. Banyak sekali perlu guna tenaga dan masa. Air mata pun ada kadangkala.
Nampak macam tak berhenti-henti dan nampak macam banyaknya masa mereka mampu nak kejar semua. Tapi percayalah, semua ini tak semudah yang kita sangka.
Ada pasangan yang kuat di belakang. Yang tak penting diri. Yang tak kisah perasaan peribadi. Yang tak larut dalam emosi. Yang teguh menyokong pasangan dalam apa pun situasi.
Mereka sedar kalau suami isteri mereka buat sesuatu yang baik untuk diri sendiri, mereka pasti akan dapat sahamnya sekali.
Lebih kurang kita berfikir cuma tentang ‘saya’, akan lebih banyaklah ruang untuk kita berfikir tentang ‘kita’.
Begitulah.
Terima kasih suami,
Sumber: Siti Suryani Yaakob