Pasangan Ni Catat Sejarah Pengantin Pertama Akad Nikah Secara ‘Online’. Selamat Bergelar Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz!

Share

Pertama kali dalam sejarah negara, apabila majlis pernikahan dilaksanakan secara online.

Itulah situasi yang dikongsikan semalam bila mana Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan Majlis Akad Nikah satu pasangan pengantin secara atas talian (online), ekoran kekangan pergerakan akibat wabak COVID-19.

Majlis pernikahan pertama secara online melalui sidang video itu membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, disempurnakan dalam sekali lafaz.
Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi tadi. Menariknya, majlis itu hanya mengambil masa 15 minit sahaja.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.

Majlis bersejarah yang turut disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Majlis nikah online itu selaras dengan ketetapan terbaru JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi Kebenaran Berkahwin daripada JAWI untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Antara negara melaksanakan nikah online ekoran penularan wabak COVID-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE). Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 28 April depan bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Sumber : Alhijrah Online