Pakaikan Samping Raya Pada Anak Yang Positif Covid-19. Kurangnya Pemahaman & Akhirnya Terjangkit Virus!

Share

Jika ada ahli keluarga yang disahkan postif covid-19 dan terpaksa kuarantin di rumah sebelum mereka dimasukkan ke hospital atau pusat kuarantin, maka sewajarnya sama ada anda sebagai pesakit, penjaga atau kontak rapat perlu waspada dan jangan ambil mudah. Bimbang nanti terjangkit dan rantaian virus tidak dapat diputuskan.

Ini sebagaimana apa yang terjadi pada seorang ibu ini yang dijangkiti virus Covid-19 berpunca daripada memakaikan samping kepada anak lelakinya yang positif Covid-19.

Menurut laporan di Harian Metro, bagi Siti Noraisah Mohd Nazri, 38, pemahamannya mengenai Covid-19 ketika itu masih lemah dan menganggap virus itu tidak menular semudah dan secepat itu.

“Anak lelaki saya berusia 11 tahun disahkan positif Covid-19 selepas mendapat jangkitan di sekolah dan menjalani kuarantin di rumah.

“Bagaimanapun, satu hari saya mendekati anak saya yang positif dan membantunya mencuba samping untuk Hari Raya Aidilfitri.

“Mungkin ketika anak saya bercakap dan air liurnya terkena saya menyebabkan saya positif manakala suami dan empat anak lain negatif,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, pemahamannya yang salah mengenai Covid-19 ketika itu menyebabkan dia positif dan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) Serdang.

“Anggapan saya ketika itu, anak saya tiada sebarang gejala dan pasti tidak berjangkit dengan mudah. Tidak sangka selepas ujian swab kedua, saya positif manakala suami dan empat anak lagi negatif. “Apabila saya fikir balik, mungkin ketika memakaikan samping untuk anak, saya dijangkiti Covid-19,” katanya yang dimasukkan ke Maeps pada 2 Syawal lalu.

Guru sekolah menengah itu berkata, selepas dijangkiti Covid-19, pemahaman dan kepercayaan dia terhadap virus itu mula berubah.

“Sebelum ini saya ragu-ragu dengan Covid-19, tetapi apabila anak dan saya positif serta saya dihantar ke Maeps, ini bukan propaganda pihak tertentu untuk menakutkan orang ramai,” katanya.

Manakala bagi Norsuhaila Mahdi, 40, dia mendapat jangkitan ketika hadir majlis berbuka puasa dengan ahli keluarga menyebabkan 10 anggota keluarganya positif virus itu.

“Puncanya kami berkumpul di rumah abang untuk berbuka puasa pada 1 Mei lalu, kebetulan salah seorang ahli keluarga sudah demam tetapi dia tidak hadir, hanya emak yang tinggal dengan abang hadir.

“Mungkin kami dapat jangkitan dari situ selepas saya mulai demam dan hilang deria bau serta rasa. Selepas melakukan ujian swab, saya, suami dan dua anak, emak yang berusia 72 tahun, abang dan lima beranak serta seorang kakak ipar disahkan positif,” katanya.

Menurutnya, selepas dijangkiti Covid-19, dia percaya virus itu memang wujud dan hanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi saja cara terbaik untuk tidak dijangkiti.

Sumber : H.Metro 

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club