“Pagi Makan Nasi Bungkus, Petang & Malam Ikat Perut.” Bekas Reban Ayam Jadi ‘Syurga’ Ibu Tunggal & Tiga Anak Kecil Ini. Sebaknya Baca!

Share

Berat mata yang memandang, berat lagi bahu ibu tabah ini memikulnya. Tidak tergambar akan kehidupan mereka yang terpaksa bersempit di dalam bekas reban ayam sebagai ‘syurga’ mereka anak-beranak.

Cukup memilukan dan tersentuh hati tatkala membaca kisah ibu muda beranak empat ini. dek kerana kesempitan hidup dia memilih untuk tinggal di bekas reban ayam milik ibunya.

Rabiatul Adawiyah Ayub, 32, bersama anaknya, Wan Nurdhiya Irdina Wan Rubuan, 7; Wan Mohd Aniq Anaqi, 6; dan Wan Mohd Firas Irfan, 3, tinggal di ruang sempit itu sejak sebulan yang lalu. Namun anak bongsunya berusia setahun, Wan Mohd Harraz Naufal diserahkan dibawah jagaan seorang kakaknya yang bersimpati dengan nasib mereka anak-beranak.

Kisah Rabiatul dan anak-anak yang tinggal di reban ayam tersebut tular sehingga netizen mengeluarkan pelbagai andaian. Namun, ibu tunggal ini menafikan dia sengaja mahu memalukan keluarga.

“Saya bukan berniat menarik perhatian orang atau memalukan keluarga apabila tinggal di tempat ini tetapi kerana tidak mahu menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan mereka, segalanya berubah selepas dia berpisah dengan suaminya, tahun lalu.

Lebih teruk katanya, bekas suaminya tidak mampu untuk menampung keperluan anak-anak apabila mengalami cedera parah susulan terlibat dalam kemalangan.

Katanya, sebelum ini mereka tinggal di Machang, namun terpaksa pindah selepas gagal membayar sewaan rumah ditanggung bekas suami yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Saya berpisah dengan bekas suami pada November tahun lalu. Namun, bekas suami masih memberi nafkah dan membayar sewa rumah kami sekeluarga. Bagaimanapun pada Januari lalu, bekas suami terbabit kemalangan dan sejak itu, kami tidak dapat membayar sewa.

“Bulan lalu, saya mengambil keputusan pulang ke rumah ibu dan tinggal di sana selama seminggu. Namun, saya kasihan melihat ibu terpaksa melayan kerenah anak saya yang sedang membesar.

“Oleh itu, saya meminta izin tinggal di bekas reban ayam di belakang rumah ibu. Bagaimanapun, saya sedih kerana selepas kisah tular, banyak cerita tidak betul ditokok tambah sehingga memalukan ibu sedangkan beliau banyak membantu.

“Malah, saya difitnah mahukan perhatian dan meraih simpati orang. Saya tinggal di bekas reban ayam kerana ini sahaja pilihan yang ada. Saya memang tiada wang hendak menyewa rumah,” katanya.

Rabiatul Adawiyah berkata, mereka hanya menumpang tidur di bekas reban itu, manakala makan minum dan basuh pakaian banyak dibantu ibunya yang turut menanggung anak lain di rumah.

Beliau yang sebelum ini suri rumah, berusaha mencari pendapatan dengan menjaja barangan seperti pakaian kanak-kanak . Dalam masa yang sama , mereka hanya makan nasi sekali sehari untuk mengisi perut.

“Memandangkan anak-anak masih kecil, sukar untuk saya bekerja. Buat masa ini saya jual kain yang dibekalkan oleh kakak. Selepas hantar anak sulung ke sekolah, saya akan mula menjaja kain atau kutip duit jualan kain.

“Setiap hari pada waktu pagi atau tengah hari saya akan beli nasi bungkus untuk makan bersama anak-anak.

“Waktu petang dan malam, kami ikat perut atau makan makanan ringan,” katanya.

Ketika ini, katanya, beliau sedang berikhtiar melunaskan yuran persekolahan anak sulung dan wang proses dokumen perceraian bagi membolehkannya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jika ada pihak ingin membantu, saya berharap mendapat modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan supaya dapat memberi kehidupan lebih selesa kepada anak,” katanya yang juga anak keempat daripada 10 beradik.

Kisah hidup Rabiatul dan anak-anak mendapat perhatian sehinggakan ramai individu dan pihak yang datang menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai, barangan keperluan dan makanan. Malah bahan untuk membina rumah juga dihantar ke tempatnya.
“Hari ini ada orang parti politik datang jenguk, saya tak kenal. Ada orang lain daripada NGO, mereka ada bagi sumbangan bekalan makanan dan duit.
“Selain itu ada yang mula menghantar barang-barang untuk membina rumah. Katanya rumah akan dibina tidak lama lagi untuk menggantikan reban ayam ini,”katanya.
Rabiatul berterima kasih dengan keprihatinan masyarakat yang sudi membantu keluarganya itu. Kepada mereka yang mahu membantu, boleh menghubungi keluarga ini di talian 017-9689519.

Sumber: Berita Harian & MalaysiaKini