Dalam sesebuah perkahwinan bukan hanya didasari dengan wang ringgit semata-mata. Keikhlasan, keprihatinan, kasih sayang dan saling bertoleransi antara faktor penting dalam membuatkan tiang rumah tangga teguh berdiri. Biarpun hidup sederhana namun cukup bahagia.
Apa erti memiliki wang ringgit dan pangkat besar sedangkan rumah tangga hambar, hubungan suami isteri berantakan dek kerana ego dan sebagainya.
Apa yang dikongsikan saudara Syafiq Ridhwan cukup menyentuh hati. Satu contoh pengorbanan seorang isteri dan juga keprihatinan suami dalam melengkapi rumah tangga mereka.
“Bang, kalau saya nak beli handbag tu boleh?”
Saya pandang isteri, selepas itu saya kalihkan pandangan ke arah handbag yang tersusun rapi di atas rak. Handbag berjenama mahal ni semuanya kelihatan cantik.
“Tapi kan awak dah ada handbag” tanya saya semula.
“Oh aah ya, betul juga” isteri saya menjawab sambil tergelak kecil.
“So tak payahlah ya, duit ni ada banyak lagi nak guna” ujar saya semula. Namun, jauh di sudut hati, saya selalu memasang impian untuk beli. Saya tahu dia teringin sangat.
Sampai hari ini saya masih ingat momen tersebut. Momen ketika awal-awal kahwin dahulu. Bukan handbag, malah apa jua keinginan, semua kami bataskan. Bukan tak ada duit sangat, ada je. Cuma takut-takut duit tu diperlukan bilamana kecemasan.
Jadi, handbag bukanlah satu keutamaan. Asal ada sebenarnya sudah memadai.
Selepas hampir 4 tahun, bila saya tengok balik handbag yang isteri pakai, masih lagi handbag yang sama dulu-dulu. Handbag yang kami beli longgok depan satu butik ni. Lebih kurang puluhan ringgit sahaja harga.
Dan handbag itu juga menjadi saksi pernikahan kami, elok saja terletak di atas dulang. Tak lupa, handbag ini juga menjadi saksi bagaimana wanita ini melayan saya sebagai seorang suami dengan baik. Bangun pagi buatkan bekal sarapan, siapkan makan malam.
Menjaga anak kami dengan baik, berjaga malam untuk pastikan anak kami dapat tidur dengan lena. Berusaha sehabis baik memastikan anak kami dapat membesar dengan sihat.
Kadang-kadang saya terfikir kerja kuat, dapat duit, untuk apa duit tu dibelanjakan. Adakah hanya untuk membayar hutang. Walhal menggembirakan hati isteri dan keluarga juga salah satu daripada tuntutan agama.
“Awak tengah cari handbag kan? tanya saya satu hari.
Isteri saya mengangguk perlahan.
“Then carilah apa-apa handbag, nanti saya bayarkan”
Dan nyaris-nyaris sebenarnya saya terlupa. Tiba-tiba petang tadi,
“Bang, bukalah bungkusan ni” pinta isteri saya.
Bila saya buka sahaja bungkusan, rupanya handbag yang dia minat tu dia dah beli. Tersenyum gembira dia. Mana taknya, handbag jenama ni lah yang dia dok teringin sejak awal kahwin dulu. Handbag nilah yang dia pendamkan rasa sebab beralah untuk benda-benda lain.
“Nak bayarkan yang mahal-mahal belum mampu tau, tapi kalau ada rezeki lebih, kita cari yang lain pulak nanti” ujar saya bila melihat dia tengah tersenyum gembira.
Pada kita nampak kecil, tapi percayalah, walau sekecil-kecil perkara sekalipun ia sebenarnya cukup untuk menggembirakan hati seorang isteri.
Begitulah,
Kawan tetap kawan, tapi isteri dan keluarga tetap paling utama. Pada akhirnya, mereka inilah yang bersama dengan kita waktu susah dan senang.
Hargailah mereka yang setia bersama dengan kita. Nak gantikan semua kasih sayang dan kesetiaan yang diberi dengan harta benda, belum tentu dapat terganti.
Jadi selagi mana ada waktu,
Hargailah semampu yang Tuhan izinkan.
Sumber: Syafiq Ridhwan