“Orang Tengok Susah, Nak Hadapi Lagi Susah. Tapi Saya Kena Kuat.” Ibu Bayi Derita 7 Penyakit Luah Rasa Hati.

Share

Tabahnya ibu ini punya anak berusia dua tahun yang mempunyai 7 penyakit. Lebih menyedihkan anak ketiga ini merupakan anak bongsu perempuan tunggalnya. Kisah anak kecil ini yang bernama Siti Nurjannah Umaira  telah menarik perhatian ramai.

Ini kerana anak kecil ini terpaksa melalui pelbagai penderitaan dengan dibebani tujuh penyakit itu yang berlaku satu dalam 4,000 kelahiran yang dikenali sebagai sindrom ‘vacterl’  iaitu  mengalami masalah buah pinggang, jantung, paru-paru kecil, tulang tidak sempurna, sumbing lelangit, sukar menelan makanan dan bercakap.

Anak pasangan Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 45 dan Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 31, yang tinggal di Perumahan Banjir Kuala Teh itu mengidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan hingga kini.

Menurut laporan akhbar, Siti Norzurain Fatima hanya mengetahui anaknya menghadapi sindrom itu selepas dilahirkan di sebuah hospital.

“Doktor menempatkannya ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan dan dua bulan di wad biasa sebelum dibawa pulang.”

Siti Norzurain Fatima berkata, Siti Nurjannah Umaira yang juga anak bongsu daripada tiga beradik menjalani rawatan jantung dan buah pinggang di HOSHAS serta akan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiga bulan sekali untuk merawat tulang.

“Kini, anak saya tidak mampu berjalan dan duduk. Saya perlu mendukungnya. Dia juga tidak boleh makan makanan keras kecuali susu yang perlu dimasukkan melalui hidungnya.

“Dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga tin susu khas. Kami bernasib baik Klinik Desa Kuala Teh menyumbang dua tin susu sebulan.”

Bukan itu sahaja cabarannya, anak sulungnya Adi Putra, 10, turut mempunyai masalah jantung berlubang tetapi semakin pulih selepas dua kali membuat pembedahan. Juga bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, wanita ini juga menjadi ketua keluarga menyara keluarga setelah suaminya terpaksa berhenti kerja tahun lepas ekoran penyakit saraf.

Untuk mengetahui lanjut wartawan Majalah Keluarga, menghubungi wanita ini untuk perkongsian hidupnya. Namun apa yang dikongsi sungguh inspirasi. Sesungguhnya wanita ini redha dengan dugaan yang dihadapinya dan kuat demi untuk keluarganya.

Kini beliau menggalas tugas sebagai ketua keluarga setelah suaminya tidak mampu lagi menyara keluarga masalah saraf. Ikuti kisah wanita tabah ini.

“Saya redha dengan masalah kesihatan yang dihadapi oleh Nurjannah. Tambahan pula, sebelum ini, anak sulung saya pun pernah disahkan sakit jantung. Namun saya kena kuat demi keluarga saya.”

PERKEMBANGAN ANAK

“Saya bersyukur, Nurjannah anak yang tidak banyak meragam, walaupun tidak boleh berjalan, tidak boleh duduk seperti anak-anak normal lain. tetapi untuk saya menjaganya. Jika tidur malam, esok paginya dia akan bangun dalam kul 6 pagi. Memang tak meragam macam anak normal lain.”

“Buat masa ni anak saya hanya boleh menyebut, ‘mama’ sahaja. Mungkin masalah sumbing yang dihadapinya.

Harapan saya, anak saya dapat menjalani pembedahan sumbing lelangit. Saya harap selepas pembedahan, anak saya boleh bercakap dengan normal.

“Harapan saya, semoga Nurjannah dapat sihat selalu dan moga menjadi anak yang normal lain.”

ADA REZEKI BUAT ANAK

Mengakui kos perubatan dan keperluan Nurjannah mencecah sehingga RM1 hingga RM2K, termasuk susu khas, ubatan dan lampin pakai buang, namun wanita ini percaya kepada rahmat rezeki. Jauh di sudut hatinya, melahirkan syukur, pihak hospital turut memberi bantuan susu khas dan bantuan sumber kewangan oleh Majlis Agama Islam Pahang turut membantu.

Namun ini tidak bermakna, dirinya tidak berusaha, masih perlu mencari pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga dengan tiga anaknya dan suami yang menghidapi penyakit saraf.

“Memang orang tengok susah. Nak hadapinya lagi susah. Tapi saya kena kuat demi keluarga.

“Jika kita sedih, anak-anak pun akan sedih. Saya kena sihat untuk membantu menyara keluarga.”

KASIH SEORANG IBU / ISTERI

“Saya akui pada awalnya rasa susah setelah suami terpaksa berhenti kerja awal tahun ni akibat penyakit saraf yang menyerang diri suami. Sebelum ini suami bertahan walaupun dah lama sakit saraf. Tetapi tidak mampu lagi untuk meneruskan kerjanya. Memang sedih. Tetapi suami terima seadanya suratan takdir.

“Sejak itu, saya sepenuh masa menyara keluarga dengan menjual kuih dan nasi. Sebelum ini, hanya sekadar membantu suami tambah pendapatan sahaja. Tetapi selepas suami berhenti kerja, saya jadikan jualan itu sepenuh masa untuk menyara keluarga.

BANGUN 2.00 PAGI NAK MASAK BAHAN JUALAN

“Sejak berniaga sepenuh masa ini, setiap hari saya bangun seawal 2 pagi untuk memasak juadah makanan jualan saya. Biasanya saya akan tidur dalam jam 10 malam. Suami ada juga membantu di rumah sekadar yang dia mampu.

“Jam 6 pagi saya akan uruskan dua anak, sulung dan kedua untuk menghantarnya ke sekolah yang berdekatan dengan rumah.

“Pada masa yang sama, saya akan menghantar kuih muih dan nasi jenis berlauk di kedai makanan disekitar kawasan ni.

“Tetapi biasalah berniaga ni, kadang ada jualan yang tak habis. Memang kadang sedih. Tetapi saya percaya, jika hari ni tak ada rezeki, esok ada rezeki. Moga ada rezeki untuk anak-anak.

Dalam pada itu, keluarga sebelah suami juga turut membantu apa yang perlu. Wanita ini yang merupakan anak tunggal yang kematian bapanya sejak 16 tahun dan ibunya sejak 5 tahun lalu, menetap di rumah pusaka arwah ayahnya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu Siti Nurjannah Umaira boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 0605502 0344689 atas nama Siti Norzurain Fatima Ab Razak.