Orang Pro Tanam Cili Ada Teknik. Bila Mak-mak Follow, Pasti Super Wow Hasilnya!

Share

Kata orang menuntut ilmu carilah cikgunya atau orang yang pakar dalam bidangnya.  Begitu jugalah bila bab menanam cili walaupun sekadar untuk suka-suka.

Umumnya,  kita sebagai mak-mak ni antara yang sering kita cuba untuk tanam adalah menanaman pokok cili.

Mungkin sebab kita rasa mudah,  campak saja biji cili,  selang beberapa hari nampak tunas.

Persoalannya,  begituke cara orang pro tanam? Pasti bukan,  jadi itu sebablah pokok cili kita tanam biasanya nampak tak subur, buah cili pun tak berapa menjadi.

Perkongsian dari nursery ni bolehlah jadikan panduan.  Barulah orang kata, walaupun tanam cili tepi rumah tapi gaya dan skil macam profesional.


Cara Mudah Tanam Cili Di Rumah.

1. Pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak di rumah.

2. Pilih kawasan yang redup akan menyebabkan pokok menjadi tinggi daripada biasa dan saiz buah menjadi kecil.

3. Cara pemilihan medium penanaman bergantung kepada kaedah penanaman yang dipilih sama ada tanaman dalam pasu atau terus dalam tanah.

4. Medium penanaman untuk pasu yang sesuai adalah tanah campuran tiga bahagian tanah merah, dua bahagian tanah hitam dan satu bahagian pasir.

5. Saiz pasu yang sesuai adalah 16 inci x 20 inci bagi musim penanaman enam bulan.

6. Sekiranya bercadang untuk musim penanaman yang lebih panjang dari enam bulan, sila guna saiz pasu yang lebih besar seperti 30 inci x 50 inci.

7. Kaedah penanaman secara terus di tanah bagi kawasan rumah teres adalah tidak digalakkan kerana tanah tidak subur.

8. Sekiranya ingin meneruskan hasrat menanam di tanah kawasan rumah teres, tanah perlu diganti dengan tanah yang baru.

9. Pastikan tiada pokok buah-buahan seperti mangga, belimbing dan jambu berdekatan dengan kawasan tanaman. Ini bagi mengelakkan serangan lalat buah.

10. Umur paling sesuai untuk memindah tanam anak pokok atau tanah adalah ketika anak pokok sudah berusia tiga ke empat minggu.

11. Kelewatan memindah tanam anak pokok yang sudah cukup umur boleh menyebabkan pokok terbantut.

12. Waktu yang sesuai pindah tanam adalah pada waktu lewat petang.

13. Jangan pindah tanam anak pokok pada waktu tengah hari kerana pokok boleh terkena kejutan haba dan layu seterusnya mati.

14. Waktu yang sesuai untuk menyiram pokok adalah pada waktu awal pagi dan lewat petang.

15. Pokok cili harus disiram dua kali sehari, sekiranya waktu hujan tidak perlu disiram.

16. Pastikan kawasan penanaman tidak menyebabkan air bertakung. Air bertakung boleh menyebabkan lembap dan menggalakkan pertumbuhan kulat.

17. Kayu pancang perlu dipasang ketika peringkat awal selepas pindah tanam untuk mengelakkan kerosakan pada akar sekiranya dipasang pada umur matang.

18. Jenis kayu pancang yang sesuai adalah seperti buluh yang boleh bertahan sehingga lebih enam bulan.

19. Pemasangan kayu pancang bertujuan untuk mengelakkan pokok rebah apabila sudah berbuah lebat.

20. Baja organik seperti baja tahi ayam amat sesuai diberikan kepada pokok untuk menggalakkan tumbesarannya.

21. Sekiranya menggunakan baja kimia, pastikan mengikut kuantiti yang disarankan.

22. Pemberian baja kimia secara berlebihan boleh menyebabkan pokok mati kepanasan daripada baja.

23. Tempoh pemberian baja yang sesuai adalah setiap 10 hingga 14 hari.

24. Kehadiran semut yang banyak pada pokok cili adalah disebabkan ia menghurungi aphid atau bena putih yang terdapat di bahagian bawah daun.

25. Gunakan larutan pencegah serangga yang dirumus daripada bahan semula jadi seperti ekstrak semambu dan bawang putih.

26. Larutan mencegah serangga daripada bahan semula jadi mudah hilang apabila hujan.

27. Selepas hujan berhenti, larutan haruslah disembur semula.

28. Waktu paling sesuai untuk menyembur larutan pencegah serangga adalah pada waktu petang menghampiri Maghrib.

29. Tahap umur cili paling sesuai untuk dituai adalah apabila 80 peratus daripada cili yang matang sudah mencapai warna kirau (warna hijau bertukar sedikit merah).

30. Waktu paling sesuai untuk menuai adalah pada jam 9 pagi ke atas iaitu ketika embun sudah kering.

31. Sekiranya cili ingin disimpan lama, jangan basuh hasil tuaian cili. Sekiranya perlu dibasuh, harus dikeringkan segera.

32. Selepas cili dituai, baja perlu segera diberikan pada waktu petang yang sama atau keesokan harinya bagi mengelakkan pokok tertekan.

sumber :Ara Haniey