Anak merengek, emak asyik menekan-nekan gaget, tidak penat-penat jari-jemari. Kemudian tersenyum dan ketawa seorang diri. Saya pasti dia sedang membawang menerusi media sosial. Kesian anak itu!
Maaf cakap, wanita pada hemat saya, lebih bersosial-sosial berbanding lelaki. Maksud saya media sosial.Penampilan – dan penonjolan – kaum Hawa selalu mendahului Adam dalam mana-mana media sosial.
Baik Facebook, Whatsapp, Instagram, Twitter, hatta SMS, orang perempuan yang lebih aktif menceriakan semuanya, tidak kira siang atau malam.
Maka bukanlah luar biasa apabila ada suami mengadu balik dari pejabat makan malam belum disiapkan, oleh sebab isteri leka bersosial menerusi FB. Malah, sesetengah wanita sendiri mengakui perihal ikan goreng di kuali hangus, atau nasi dalam periuk hangit dan garam serta serbuk perasa dimasukkan dalam pengat pisang, semua gara-gara terlajak membawang menerusi Whatsapp.
Telah beberapa kali saya coretkan di ruangan ini gelagat sesetengah kita – termasuk wanita – di tempat makan awam atau di restoran, tidak menghiraukan hidangan tetapi lebih menumpukan perhatian pada gajet di tangan.
Selalu saya berhenti di R&R lebuh raya, melihat anak-anak merengek meminta makanan sedangkan emaknya buat ‘dhek’ kerana sibuk dengan set canggih di tangan. Anak merengek, emak asyik menekan-nekan gaget, kemudian tersenyum dan ketawa seorang diri. Saya pasti dia sedang membawang menerusi media sosial. Kesian anak itu!
Secara peribadi saya bukanlah pencandu Facebook, walaupun mengakui media sosial itu menjadi salah satu keperluan harian untuk saya sebagai seorang wartawan. Saya menatap Facebook setiap pagi untuk melihat apa yang berlaku; sesetengah yang ditampal pada media maya itu boleh dijadikan tip untuk berita atau rencana. Macam-macam ada!
Tetapi saya jarang sekali menampal @ posting di laman tersebut. Seingat saya tahun ini – sudah pertengahan 2019 – baru dua posting saya buat, satu pada 28 Februari, hari jadi saya yang ke-65.
Maka saya kagum dan tabik spring pada mereka, khasnya wanita, yang setiap hari menampal hantaran – termasuk gambar-gambar – di laman Facebook, bukan satu tampalan tetapi empat lima setiap hari!
Mereka mesti banyak masa terluang, mungkin tidak ada kerja lain. Sebab itu apa sahaja yang berlaku setiap detik hendak dikongsi dalam media sosial.
Ads
Bertunang, kahwin, mengandung, melahirkan semuanya hendak diberitahu dalam Facebook dan Whatsapp. Kaki terseliuh, jari tersepit pintu pun hendak diberitahu. Solat dhuha, solat tahajjud, hafal surah al-Khafi, semua hendak diberitahu. Hatta, terkucil di tandas awam pun perlu dikongsi di alam maya.
Pagi sarapan di gerai, masuk dalam Facebook. Tengah hari makan mi rebus, masuk dalam Facebook. Malam makan tomyam pun ambil gambar dan masuk Facebook. Beli kasut baru, dapat hadiah beg tangan, set rambut di salun, hatta jari tercucuk jarum pun kena tampal juga di sosial media. Pendek kata bagi wanita, apa sahaja cerita – termasuk yang rahsia pun – elok dikongsi dalam media maya.
Jangan komplen. Itulah keistimewaan wanita! Saya ucapkan syabas kepada wanita yang setiap hari tanpa mengira waktu tidak penat dan lenguh jari, tidak jemu-jemu membuat coretan. Mereka telah menceriakan media sosial kita. Kalau mereka tidak aktif, media sosial kita akan mati!
Perlu lebih berhati-hati
Cuma suka juga saya mengingatkan pencandu media sosial, khasnya wanita, supaya jangan terlalu berjiwang-jiwang ketika bersosial di alam maya. Almaklumlah wanita cepat tergoda, dan itu bahaya. Almaklumlah di alam maya ada banyak penyangak, banyak penggoda. Dan telah terbukti ramai wanita kita terpikat dengan pujukan, tergoda dengan perasaan.
Mereka bukan sahaja mudah digula-gulakan dengan harta benda, malah boleh menyerah hanya dengan kata-kata dan pujuk rayu di alam maya. Ramai yang cair gara-gara cinta dalam media sosial.
Seperti yang dilaporkan baru-baru ini, semakin ramai gadis dan wanita kita termakan pujuk rayu di internet, dan akhirnya menjadi mangsa sekian banyak sindiket penipuan di atas talian @ online.Pihak polis mendedahkan bahawa wanita Malaysia terus tertipu dengan jerat cinta lelaki Afrika dalam apa yang dikenali sebagai Love Scam.
Ads
Akhbar melaporkan saban hari ada sahaja wanita dan gadis kita menjadi mangsa sindiket ini, terkulai dan syok sendiri di tempat tidur sambil membayangkan kekasihnya yang tidak pernah ditemui di alam nyata; hanya berkenalan di dalam internet.
Lebih teruk lagi, oleh sebab terlalu asyik masyuk dengan pujuk rayu di alam maya, sesetengah mangsa sanggup menyerahkan wang kepada sindiket konon atas dasar cinta sejati. Adusss!
Fakta polis merekodkan beratus-ratus wanita dilaporkan menjadi mangsa, dengan jumlah kerugian @ penipuan RM berjuta-juta. Menurut polis ada yang sanggup menyerahkan wang simpanan peribadi sehingga beratus ribu RM kerana terpedaya dengan pujuk rayu lelaki dalam talian.
Berdasarkan kajian, antara punca wanita kita menjadi mangsa ialah sikap cepat teruja dan mudah tergoda dengan lelaki warga asing, terutama dari Afrika, yang tidak dikenali menerusi laman sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya.
Walaupun pihak polis dan media sering menghebahkan mengenai kegiatan sindiket seumpama itu di media massa, masih ramai lagi yang mudah mempercayai. Ada yang kata mangsa telah terkena pukau menerusi atas talian. Pukau pun boleh online. Canggih!
Saya tidak pasti pukau atas talian. Tidak juga saya mudah percaya pada fakta bahawa wanita kita mudah dipujuk atau digoda. Pengalaman zaman remaja saya mendapati anak gadis Malaysia – terutama yang beragama Islam @ Melayu – tidak mudah dipujuk rayu.
Zaman berubah
Ads
Agaknya zaman saya muda dulu anak gadis masih amat terikat dengan undang-undang keluarga. Kalau keluar tidak boleh duduk berdua rapat-rapat, ada beg tangan atau payung yang menjadi pemisah ketika duduk berduaan. Sekiranya jejaka terlajak laku alamat beg tangan atau payung hinggap ke muka.
Kalau menonton tidak boleh pegang tangan. Ada kes gadis menjerit dalam pawagam bukan sebab terkejut atau takut adegan di skrin, tetapi kerana tangannya disentuh oleh pakwe sebelah. Demikian susahnya memikat gadis dulu-dulu.
Boleh menonton, boleh juga makan-makan di tempat terbuka, atau borak-borak sambil memuji bulan, awan, bintang. Tetapi jangan cuba pergi lebih jauh atau terlajak laku. Malah selalu terjadi baru sekali dua belanja makan rojak buah dan ais kacang @ ABC, si dara sudah bermadah: “Sampai bila kita harus begini, bang…”
Eekeleh! Lemah jantung dan paru-paru saya apabila mendengar kata-kata klise itu. Baru sekali dua duduk bersebelahan dalam bas Len Seng – atau bas Tong Foong dari Jalan Silang KL ke pejabat Utusan Melayu Sungai Besi – sudah kedengaran madah bernada amaran itu.
Zaman berubah, masa berlalu, sistem nilai pun tidak seperti dulu-dulu. Agaknya gadis dan wanita sekarang tidak belajar ilmu menangkis pujuk rayu lelaki, sebab itu mereka mudah cair dengan godaan kekasih di media sosial, lebih-lebih lagi jika yang mendakwa kekasih itu adalah jejaka luar negara.
Tetapi, tidak sahaja di dalam internet, wanita kita juga mudah tergoda di alam nyata. Kalau ada jurujual datang ke rumah menawarkan barangan, wanita akan cepat terpujuk. Dia cepat kesian pada tetamu tidak diundang dan mudah sahaja mengeluarkan duit untuk membeli apa yang dijual, walaupun benda itu sudah ada di rumah.
“Bukan apa, kesian tengok dia bercakap berbuih-buih di luar pagar di tengah panas. Apa salahnya beli, boleh juga dia minum cendol atau makan popia!” kata wanita suri rumah apabila dinasihatkan oleh suami supaya jangan mudah simpati terhadap mana-mana jurujual. Beli hanya jika betul-betul perlu.
Sebab mudah simpati dan lembut hati ada wanita didatangi lelaki yang mendakwa mempunyai batu ajaib yang boleh memulihkan segala penyakit – termasuk buatan orang – menawarkan pada harga hanya RM20,000. Wanita berkenaan termakan pujuk, pergi ke bank dan mengeluarkan duit, dan dengan rela menyerahkan kepada jurujual yang tidak dikenali itu.
Hanya setelah wang diserahkan baru disedari batu yang dikatakan geliga ajaib itu, sebenarnya batu biasa yang nilainya tidak sampai 50 sen! Akhbar pernah melaporkan kes ini, tetapi wanita kita tidak serik… ramai lagi yang tergoda, terpedaya dan tertipu. Baik di alam maya, mahu pun di alam nyata, wanita perlu lebih berhati-hati. Sebab pujukan dan godaan ada di mana-mana, bila-bila masa!
sumber : ABD JALIL ALI
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Setinggi pengorbanan dan sedalam kasih sayang daripada seorang ibu memang tidak ternilai. Begitulah yang diterjemahkan oleh wanita ini yang sanggup melakukan kerja-kerja mengutip botol, tin dan sebagainya demi memastikan pendidikan anak-anaknya sempurna.
Apa yang lebih membanggakan, usaha mencari rezeki yang halal dengan cara begitu telah memberi satu kepuasan bagi Puan Rahimah Dollah apabila ianya dibalas dengan kejayaan manis daripada 3 orang anaknya. Ini sebagaimana yang dilaporkan kisahnya di Sinar Harian dan ikuti perkongsian tersebut. Semoga kisah-kisah sebegini dapat menginsafkan dan sekali gus menyuntik semangat untuk terus berusaha memajukan diri.
Ini perkongsiannya.
Ketabahan seorang ibu tunggal menjalankan kerja mengutip sampah sehingga dipandang jijik segelintir masyarakat sekeliling membuatkannya nekad memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anaknya.
Rahimah Dollah, 54, yang bergelumang dengan sisa buangan dan barangan terpakai itu sejak 2003 bagi menyara kehidupannya bersama tiga anak masih belajar, sanggup memekakkan telinga mendengar kata-kata sinis pihak tertentu terhadap pekerjaannya itu.
Berkat kesabaran Rahimah itu, dua anaknya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi iaitu anak sulungnya, Zainal Abidin Che Hassan, 25, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang Mekatronik, manakala anak kedua, Siti Zaitun, 18, pula mengikuti pengajian A-Level di Kolej Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Nerang, Kedah selepas memperolehi 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Anak bongsunya, Zainal Asyraf Che Hassan, 16, memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan bulan lalu.
Rahimah berkata, dia melakukan kerja tersebut bagi membantu menambah pendapatan arwah suaminya yang hanya bekerja kampung.
"Ketika itu saya terdesak untuk membeli susu anak yang sedang kelaparan, hendak tunggu suami pula petang baru pulang dan belum tentu bawa wang.
"Dari situlah saya mula kutip sampah seperti botol, tin dan sebagainya di sekitar kejiranan. Dengan hasil jualan itu, saya memperoleh hampir RM50 dan dapat membeli susu anak serta makanan lain ketika itu," katanya.
Bagaimanapun pada 2010 katanya, dia dan anak-anaknya berdepan ujian cukup berat apabila suami, Che Hassan Mohamed, 61, yang merupakan tonggak keluarga meninggal dunia akibat kanser tiroid.
"Hasil jualan botol, kotak dan barangan kitar semula inilah saya menyara keluarga, selain menghantar anak ke sekolah," katanya.
Rahimah berkata, setiap hari dia akan berjalan kira-kira 30 kilometer sekitar Rantau Panjang untuk mengutip barangan terpakai menggunakan kereta sorong dan kadang-kala menaiki basikal disebabkan kudratnya tidak sekuat sebelum ini.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, dia tidak pernah malu dengan pekerjaan dilakukan ibunya itu. Malah katanya, dia cukup bangga dengan usaha tidak pernah jemu ibunya dalam mendapatkan rezeki halal.
"Jika ada masa terluang, saya akan bantu ibu kerana inilah rezeki buat kami sekeluarga," katanya.
Apabila bergelar ibu pastinya, akan memastikan rumahtangga diuruskan dengan baik termasuk hal penyediaan makanan. Jika dahulu, ramai kaum wanita bergelar surirumahtangga, tetapi kini ramai yang bekerjaya. Mereka ini mempunyai masa yang amat terhad.
Bayangkan untuk menyediakan makanan mengambil masa yang lama jika tiada perancangan yang betul. Jika sampai rumah masa tu lah nak kisar bawang, basuh dan potong sayur dan baru nak perah santan. Mahu tak kelam kabut jadinya. Sudahnya anak makan lewat malam. Pastinya tidak elok untuk sistem penghadaman anak. Oleh kerana tiada perancangan penyediaan bahan masakan, akhirnya ramai ibu-ibu yang bekerjaya memilih makan di kedai. Jika hari-hari pastinya bosan kan. Tambahan pula kos bajet akan meningkat.
Namun perkongsian tentang perancangan penyediaan bahan masakan secara mudah dan praktikal oleh Puan Khalida Mahsari Ummi Khadeejah memang amat berbaloi untuk dipraktikal. Semua bahan-bahan masakan di simpan dan dipotong dengan rapi. Ada yang sudah dimasak siap-siap untuk dibuat stok. Lebih kreatif, santan segar, dijadikan kuib bagi memudahkan urusan memasak. Jom semak!
Ummi bantu ibu-ibu yang bekerja jimat masa nak sediakan makanan nak masak balik kerja. Ummi student pun timing macam orang kerja ofis hour dan balik malam tak free lagi, ada assingment. Dan anak kecil bukan penghalang untuk sediakan makanan yang sihat untuk suami dan anak . Yang penting usaha.
Tip Masak Cepat Dengan Mudah Untuk Suami Dan Anak
Guna ziplock plastik dan potong sayur
Ummi back to school nextweek, so macam biasa ummi akan guna ziplock plastic bag. Ziplock plastic bag comel ni brand simplyliving beli dekat giant Setapak. Harga sama dengan brand Giant punya RM 6.95 satu. Simply living semua saiz sama harga. Sayur-sayur ummi potong dan simpan dalam plastik ni. Yang jumlah kecil guna mini saiz plastik. Sayur-sayur yang dah siap cantik paket plastik ummi tak usik sebab boleh susun elok. Basuh ringkas dan tos sayur. Dah nak guna baru basuh dan potong. Dan terus masak. Peti ais, biasa 3 minggu sayur elok lagi. Nak lagi tahan lapik tisu dalam setiap plastik. Biasanya akan kerap guna sayur2 ni.. Sayur yg jenis cpt layu akan guna dulu.Ibu bekerja boleh siapkan sayur macam ni.
2.Tomato paste Memudahkan ibu nak masak pelbagai menu ,bukan untuk baby je untuk seisi keluarga.
Bahan-bahan
2 biji tomato masak 1 biji capsicum merah
1 batang carrot
1/2 batang celery
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Cara-cara
i) Kisar semua bahan dengan air yang cukup. Masak sehingga hilang air dan agak pekat pesnya.
ii) Sejukkan pes tomato yang dah siap dan dan boleh terus bekukan dalam ice tray.
Kalau simpan dalam chiller boleh tahan 5 hari, dan kalau dalam freezer tahan 3 bulan.
3. Chicken Feet Stock
(buat penambah rasa makanan baby. Untuk masakan keluarga pun boleh)
1. Kaki ayam sepaket 2. Kayu manis bunga lawang 3. Bawang besar 1biji 4. Bawang putih setengah labu 5. Halia beberapa hiris
6. Celery
7. Tomato sebiji-Rebus kesemuanya, ummi guna pressure cooker 1-2jam tulang kaki telerai.
-1/2 jam sebelum masak masukkan tomato bagi tujuan mengeluarkan khasiat dr tulang kaki.
4. Santan fresh frozen
Masakan kita mesti lebih sedap kalau pakai santan asli kan? Tapi sayangnya jangka hayat santan asli ni taklah lama dibandingkan dengan santan serbuk atau santan dalam kotak.
Jadi, saya lebih suka simpan santan fresh ni dalam kiub ais macam dalam gambar. Bila nak guna, ambillah seketul dua, ikut banyak mana lauk tu supaya bersesuaian dengan kuantiti yang kita perlukan.
Cara membuatnya
-Gaulkan sebati kesemuanya.
-Ratakan didalam loyang dan kukus seketika.
-Setelah sejuk boleh la dipotong mengikut kreativiti ibu ibu dan sedia digoreng.
6. French Fries homemade lagi sihat.
Bahan-bahan
Kentang (dipotong panjang)
Tepung jagung
Mixed herb
1. Kentang russet di potong panjang2
2. Rebus setengah masak, cucuk dgn garfu sudah lembut boleh diangkat, tak perlu sehingga kentang lembik ya.
3. Toskan kentang, gaul bersama tepung jagung dan mix herb. ( nak goreng baru letak tepung jagung pun boleh) ?
4. Siap simpan didalam freezer.
Sangat bagus info ini untuk membantu ibu-ibu terutama yang bekerja. Mudah untuk memasak makanan. Selamat mencuba!
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
Seorang guru pra perasan murid yang sampai ke sekolah setiap hari berpeluh-peluh. Sedangkan sebelum ini tak begitu.
Anak itu biasanya dihantar oleh kedua ibubapanya. Semua mereka berpeluh di awal pagi.
Setelah diselidik, rupanya mereka berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Sekitar 2km juga jaraknya.
Motor si ayah kena tarik beberapa minggu lepas akibat tertunggak 4 bulan. Masa tu dia tengah buat job grab. Sumber pendapatan utama keluarga.
Lepas hantar barang, pergi tempat parking motor, motor hilang. Ada brader bagi surat tunggakan AEON beribu jumlahnya.
Terduduk si ayah. Motor kenderaan utama untuk cari makan kena tarik. Menung panjang jugalah.
Namun dia bapa yang bertanggungjawab. Motor tak ada, anak pula minat nak pergi sekolah, setiap hari dia teman anak dengan berjalan kaki.
2km pergi, 2km balik. Kemudian masa pulang kena jalan lagi 2km pergi, 2km balik. 8km ulang alik jalan kaki semata-mata untuk anak dapat ilmu.
Kelmarin, anak dia dapat Anugerah Cemerlang pra sekolah. Masa tu aku dikenalkan dengan si ayah yang tabah ini oleh guru pra.
Hari ini, Hari Orientasi Tahun 1 anak dia. Datang hantar anak bersama isterinya. Dengar taklimat dan tunggu sampai habis program.
Tak ramai ayah yang sanggup datang hari orientasi ni. Biasanya wakil kat ibu je. Ni dua-dua datang. Bagus semangat si ayah walau dia sendiri tak ada SPM.
Dia dari keluarga susah 10 orang adik-beradik. Terpaksa berkorban tinggalkan bangku persekolahan di Tingkatan 4 kerana keluarga kurang mampu.
Dan hari ini, dia masih berkata pada aku memang dia suka belajar. Dia dulu nak jadi cikgu. Namun nasib keluarganya tidak menyebelahi cita-citanya. Namun dia akan pastikan anak-anak dia dapat pendidikan sempurna.
Bagus sungguh semangat si ayah. Aku cukup suka orang seperti ini. Menjaga hak anak-anak dan pentingkan pelajaran.
BELI MOTOR BARU
Habis program tadi, aku suruh dia tunggu depan pagar sekolah. Aku hantar keluarga mereka pulang, sebaik dia nak turun aku tahan.
“Abang ikut saya. Kakak dan anak naik rumah lah”.
Pelik si ayah. Namun dia patuh saja. Aku bawa ke kedai motor di Batu Caves.
“Bang. Nak motor mana?”
“Eh cikgu. Apa ni?”
“Pilih motor. Nak motor mana?”
“Cikgu nak belikan untuk saya ke?”
Aku angguk kepala. Bergenang terus mata dia. Dalam sebak dia berkata,
“Cikgu pilih yang mana-mana pun. Saya okey je”.
“Abang la pilih. Abang yang nak guna”.
“Eh tak cikgu. Saya tak mampu nak memilih. Apa yang cikgu pilih, saya terima saja”.
Aku pertimbangkan 2 biji motor tadi. Satu Honda Dash tahun 2015, harga RM3100. Satu lagi motor baru, SM Sport, harga RM3600.
Seller syorkan SM Sport. Enjin ex5. Senang spare part dan murah. Lagi pun motor baru. Tak ada banyak masalah.
So kami proceed ambil SM Sport. InsyaAllah Selasa or Rabu ni setel la urusan JPJ dan boleh ambil motor.
Masa pulang tadi, berkali-kali dia ucap terima kasih.
“Cikgu. Saya tak tahu nak balas budi cikgu macamana. Saya doakan cikgu terus murah rezeki”.
“Budi ini bukan untuk dibalas. Budi ini untuk abang kembalikan pada orang lain bila abang senang sikit di hari akan datang. Dan sumbangan ini bukan dari poket saya seorang. Doakan semua penyumbang ya”.
“InsyaAllah cikgu. Terima kasih banyak-banyak”.
Dan dia melangkah keluar kereta menuju ke rumahnya dengan pelbagai rasa.
Yang pasti, mesti dia tak sabar nak cerita kat anak isteri,
“Minggu depan kakak dah tak perlu pergi sekolah jalan kaki. Ayah hantar naik motor baru”.
Mesti anak tersenyum gembira. Isteri hati berbunga. Satu masalah besar yang menimpa, satu bebanan berat yang mengusut kepala, satu punca pendapatan utama yang pudar sinarnya, kembali bercahaya.
Sebuah motor yang disyukuri dan InsyaAllah membantu menaikkan semula ekonomi keluarga ini.
Terus gigih usaha tanpa tinggalkan doa bang. Solat jangan tinggal. Buat baik pada sesiapa sahaja selalu.
InsyaAllah suatu masa nanti akan banyak kesenangan akan datang.
Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.