Jika ingat, sebelum ini pernah tular video seorang wanita yang memandu menggunakan kaki sehingga membuatkan netizen kagum dengannya. Kisah Norfarrah Syahirah sentiasa menjadi perhatian ramai berikutan kecekalan dan semangatnya dalam menjalani kehidupan seharian sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Baru-baru ini, wanita yang kudung kedua belah tangan sejak lahir atau nama penuhnya Norfarrah Syahirah Shaari selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka dikenali sebagai Zul Roy di kediamannya di Bagan Datuk, Perak.
Perkara ini dikongsikannya sendiri di laman Instagram miliknya dengan berkongsikan beberapa gambar sekitar majlis berlangsung dan sekaligus meluahkan kesyukuran semuanya berjalan lancar dan seterusnya melangkah ke alam perkahwinan tidak lama lagi.
“Alhamdulillah.. selesai majlis pertunangan,” tulisnya yang memuat naik foto memaparkan seorang wanita dipercayai bakal ibu mentuanya memakaikan gelang kaki sebagai simbolik sudah mengikat tali pertunangan.
Dalam perkongsian lain, wanita berumur 34 tahun ini terdapat juga foto Norfarrah Syahirah dan pasangan duduk di atas pelamin yang mengenakan persalinan sedondon berwarna hijau lembut dengan kapsyen ‘One step closer’.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah susulan berita gembira itu selain mendoakan dipermudahkan segala urusan untuk ke jenjang pelamin.
Sumber : Norfarrah Syahirah Shaari Instagram & Facebook Norfarrah Syahirah