Offer Diri Jadi ‘Jenazah’, Fazley Raih Pujian Ramai! “Nanti Nak Kena Buat Betul-Betul Juga Kan?”

Share

Selagi kita hidup ni, selagi itulah kita dituntut untuk menimba ilmu. Untuk anak-anak, bukan sahaja ilmu di sekolah yang perlu mereka pelajari. Ilmu fardu kifayah juga dituntut untuk dipelajari. Misalnya dalam pengurusan jenazah.

Menurut syarak, apabila seseorang yang beragama Islam itu meninggal dunia, maka jenazahnya wajib untuk dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Menurut syarak ia adalah wajib dan kewajipannya adalah Fardu Kifayah kepada mereka yang masih hidup.

Dalam situasi begini, biasanya ahli keluarga atau sanak saudara yang berkenaan perlu tahu apakah yang sepatutnya dilakukan agar pengurusan jenazah ini berjalan dengan lebih lancar dan teratur.

Kesediaan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menjadi jenazah untuk kelas pengurusan jenazah anak anaknya di sekolah menerima pujian wargamaya.

Memuat naik perkara ini di laman Instagram miliknya, kata Fazley, dia secara sukarela menawarkan dirinya untuk menjadi jenazah saat ditanyakan oleh ustaz yang mengajar anak-anaknya. Malah jelasnya, suatu hari nanti pasti dia juga akan berdepan situasi yang sebenar.

“Ramai pula tanya saya, yes betul. Saya tak tipu. Petang ni kelas praktikal #Mandijenazah anak-anak saya dengan ustaz diaorang.

“Ustaz tanya sama ada nak tengok video atau penerangan sahaja. Saya cakap, buat je latihan betul-betul, kemudian ustaz tanya jenazah kita buat macam mana? Patung ke? Saya cakap, Takpe, biar saya jadi jenazahnya, satu hari nanti nak kena buat betul-betul jugak kan?” tulisnya di ruangan kapsyen.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen yang singgah ke ruangan balas memuji keberanian yang ditunjukan Fazley. Malah tidak kurang juga yang menganggap ia adalah satu tindakan yang baik untuk memberi pendedahan kepada anak-anak.

Sumber : Instagram Fazleyyaakob