
Selagi kita hidup ni, selagi itulah kita dituntut untuk menimba ilmu. Untuk anak-anak, bukan sahaja ilmu di sekolah yang perlu mereka pelajari. Ilmu fardu kifayah juga dituntut untuk dipelajari. Misalnya dalam pengurusan jenazah.
Menurut syarak, apabila seseorang yang beragama Islam itu meninggal dunia, maka jenazahnya wajib untuk dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Menurut syarak ia adalah wajib dan kewajipannya adalah Fardu Kifayah kepada mereka yang masih hidup.
Dalam situasi begini, biasanya ahli keluarga atau sanak saudara yang berkenaan perlu tahu apakah yang sepatutnya dilakukan agar pengurusan jenazah ini berjalan dengan lebih lancar dan teratur.
Kesediaan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menjadi jenazah untuk kelas pengurusan jenazah anak anaknya di sekolah menerima pujian wargamaya.
Memuat naik perkara ini di laman Instagram miliknya, kata Fazley, dia secara sukarela menawarkan dirinya untuk menjadi jenazah saat ditanyakan oleh ustaz yang mengajar anak-anaknya. Malah jelasnya, suatu hari nanti pasti dia juga akan berdepan situasi yang sebenar.
“Ramai pula tanya saya, yes betul. Saya tak tipu. Petang ni kelas praktikal #Mandijenazah anak-anak saya dengan ustaz diaorang.
“Ustaz tanya sama ada nak tengok video atau penerangan sahaja. Saya cakap, buat je latihan betul-betul, kemudian ustaz tanya jenazah kita buat macam mana? Patung ke? Saya cakap, Takpe, biar saya jadi jenazahnya, satu hari nanti nak kena buat betul-betul jugak kan?” tulisnya di ruangan kapsyen.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen yang singgah ke ruangan balas memuji keberanian yang ditunjukan Fazley. Malah tidak kurang juga yang menganggap ia adalah satu tindakan yang baik untuk memberi pendedahan kepada anak-anak.
Sumber : Instagram Fazleyyaakob
https://www.youtube.com/watch?v=Yb_zk_ekL2M&t=199s
Kalahkan 50 Peserta lain, Lukisan Anak Malaysia Terpilih Jadi Maskot Rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022!

Seorang gadis cilik kelahiran Malaysia, Emma Lou telah menempa nama di persada antarabangsa apabila lukisannya dipilih untuk menjadi maskot rasmi Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Emma Lou yang baru berusia 10 tahun itu telah mereka bentuk maskot yang digelar Perry the Bull dalam sebuah pertandingan kebangsaan pada musim panas 2020.
Gadis cilik itu, telah dinobatkan sebagai juara pertandingan malah lukisannya terpilih untuk diinspirasikan menjadi maskot rasmi Temasya Komanwel Birmingham yang akan dianjurkan pada 28 Julai ini.
Pencapaian gadis cilik kelahiran tanah air itu turut dikongsikan oleh akaun Twitter rasmi milik Olympic Malaysia.
Selamat Pagi Malaysia! 🌅🇲🇾💂
Tahukah anda? Lukisan kanak-kanak kelahiran Malaysia 🇲🇾🇬🇧 yang menetap di Britain 🇬🇧 dipilih menjadi maskot rasmi Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.#MalaysiaBoleh 🇲🇾#B2022 pic.twitter.com/fjAeVgm4nm
— Olympic Malaysia 🇲🇾🥇 (@olympicmas) July 26, 2022
Menurut sumber, Emma Lou telah berjaya mengatasi 50 kanak-kanak lain untuk dinobatkan sebagai juara pertandingan.
Pencapaian itu turut menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.
Sumber: Twitter Olympic Malaysia
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini
“Muhammad Nak Tahu Papa Di Mana.” 5 Tahun Kehilangan MH370, Isteri Pramugara Kongsi Luahan Hati Anak Rindukan Ayah. Sebaknya Baca!

Pejam celik rupanya tahun ini genap 5 tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Yang pasti banyak air mata, jerih payah pengorbanan mahupun tekanan psikologi yang terpaksa dilalui terutamanya waris keluarga MH370 yang tidak pernah putus harap memburu jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Kisah di sebalik kehilangan MH370 melalui kaca mata seorang isteri bernama Intan Maizura Othman, 38 tahun yang merupakan isteri kepada Mohd Hazrin Hasnan, kru pesawat berkenaan.
View this post on InstagramA post shared by AIRBNB HOST & LADY BOZZ (@intanmaizuraothaman) on
Tabah dan redha sejak kejadian itu membuatkan Intan terus memujuk dirinya supaya kuat meneruskan kehidupan, meskipun persoalan di benak fikirannya belum bertemu noktah. Menerusi laman instagramnya, Intan berkongsi momen bersama suaminya sebelum ini.
View this post on InstagramA post shared by AIRBNB HOST & LADY BOZZ (@intanmaizuraothaman) on
Selain itu, Intan juga turut berkongsi video anak lelakinya, Muhammad 5 tahun yang nyata menjentik emosi bagi mereka yang menontonnya.
Menerusi laman sosial Instagram pada awal pagi Jumaat, Intan memuat naik video perbualannya bersama Muhammad mengenai Mohd Hazrin dengan panggilan Papa.
Intan: Muhammad kalau jumpa Papa, Muhammad nak cakap apa?
Muhammad: Muhammad sayang Papa, Muhammad nak tahu Muhammad punya Papa mana.
Intan:Sekarang Papa dekat mana?
Muhammad:Papa dekat kubur.
Intan: Kubur Papa dekat mana?
Muhammad:Dekat Shah Alam.
Intan:Mana Mama tahu kubur Papa dekat Shah Alam.
Demikian perbualan dua beranak itu menerusi video yang diakhiri dengan Muhammad membaca surah al-Fatihah.
Lebih memilukan, anak kedua Intan itu tidak pernah berjumpa bapanya sejak dilahirkan. Yang hanya mampu dilakukan adalah dengan melihat gambar Hazrin, membolehkan kerinduan Muhammad terubat seketika.
Menurut Intan, Muhammad sering bertanya kepadanya: “Mama, Papa dah meninggal ke?”, namun tiada jawapan jelas dapat diberikan kepadanya.
Mendoakan suaminya setiap hari, Intan memberitahu, Yang Maha Esa mengetahui segala-galanya dan sebaik-baik perancangan adalah daripadaNya.
“Kamu tidak pernah lenyap daripada ingatan saya B. Kamu dan kenangan manis kamu selamanya akan bersama kami selama-lamanya. Assalamualaikum B…. kami merindui kamu B, amat merindu kamu,” katanya.
Mohd Hazrin merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370, yang hilang kira-kira sejam selepas pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam penerbangan ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014.
Sumber: Instagram intanmaizuraothaman
Lelaki Ni Kongsi Pengalaman ‘Getir’ Sebagai Bapa Kepada Anak Yang Mengambil Result UPSR. Jadikan Panduan!

Ya! Esok 23 November adalah hari yang cukup mendebarkan buat anak-anak yang telah mengambil keputusan UPSR pada tahun ini. Ibu bapa juga terkesan hebat terganggu emosinya. Bimbang hingga tidak tidur lena dibuatnya malah ada juga hingga detik ini kian berasa gugup dan gementar untuk menanti apakah keputusan UPSR yang bakal diraih oleh anak mereka.
Oleh itu ikuti perkongsian pengalaman Encik Ammar Kamilin yang juga merupakan seorang penulis buku yang hebat. Beliau melalui detik tersebut pada tahun yang lalu dan perkongsiannya kali ini cukup menyentuh jiwa dan diharapkan membuka minda kita semua.
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan,
“Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa.
Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.”
Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut.
“Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa sederhana saja di sekolah. Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri.
Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
>>>
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini. Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka. Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
sumber : Ammar Kamilin