Nur Farah Kartini, anak bongsu dari 7 beradik, “Dia seorang sahaja anak perempuan dalam keluarganya.” Misteri kehilangan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan akhirnya terjawab.
Mayat gadis berusia 25 tahun itu ditemukan tidak bernyawa dan hampir di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Susulan penemuan mayat berkenaan, Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari.
“Ketika mayat mangsa ditemukan, keadaannya sudah hampir reput kerana telah meninggal dunia beberapa hari. Jadi, belum dapat dipastikan kecederaan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan, masih terlalu awal pihaknya untuk membuat sebarang kesimpulan motif kejadian selain tiada sebarang rampasan senjata di lokasi penemuan mayat termasuklah dakwaan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
“Proses bedah siasat masih lagi berjalan (hari ini) bagi mengetahui punca kematiannya,” ujarnya.
Sebelum itu, suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal polis mendapati tempat penemuan mayat merupakan lokasi kejadian utama.
Allahyarhamah, Nur Farah Kartini, adalah anak bongsu dan seorang yang amat bertanggungjawab, kata kakak ipar Allahyarhamah, Nor Amidah Mohd Ali, 36, yang jelas terkejut dengan kejadian tragis yang menimpa mangsa.
“Dia seorang sahaja anak perempuan dalam keluarganya dan dia seorang yang sangat bertanggungjawab.
Selepas tamat pengajian tahun lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Menurutnya, kerana Allahyarhamah merupakan satu-satunya adik perempuan dan merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik justeru hubungan mereka kekal rapat walaupun dia sudah berpisah dengan abang mangsa.
Nor Amidah berkata, kali terakhir mereka berhubung adalah pada 5 Jun lalu di mana ketika itu Allahyarhamah memaklumkan bahawa dompetnya tercicir.
“Saya tidak tahu (apa-apa mengenai) hubungan antara arwah adik dan suspek yang ditahan,” kata abang kepada Nur Farah Kartini Abdullah, Mohd Farriza Azmi, 28.
Mohd Farriza Azmi berkata, adik bongsunya itu sangat rapat dengan keluarga, terutama ibu mereka namun jarang berkongsi hal peribadi.
Menurutnya, kali terakhir Nur Farah Kartini, 25, pulang ke kampung di Miri, Sarawak adalah pada sambutan hari raya, baru-baru ini.
“Dia seorang yang ceria, tak pernah nampak seperti dia ada masalah mungkin kerana dia tidak cerita pada saya.
“Dia memang rapat dengan mak dan abang-abang dia tetapi pasal lelaki itu (suspek), saya tidak tahu apa-apa,” katanya ketika bercakap kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu kakak ipar mangsa, Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, meminta semua pihak terutama media supaya tidak menyiarkan berita yang boleh mengganggu perasaan keluarga mereka.
Katanya, keluarga menyerahkan kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan tugas bagi mendapatkan keadilan buat Nur Farah Kartini.
“Saya mohon pihak media memberi ruang kepada kami untuk fokus urusan bedah siasat dan pengurusan jenazah. Kami sendiri tidak pasti bila bedah siasat akan selesai.
“Kami belum ada apa-apa maklumat, buat masa ini itu sahaja yang kami dapat kongsikan,” katanya.
Sumber: Berita Harian Harian Metro Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Rakan Nur Farah Kartini Sedih Sampaikan Berita Kematian, Sebak, Tapi Saya Kena Teruskan Juga
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my