Boleh kata musim cuti raya yang panjang ramai antara kita akan ambil kesempatan untuk mengadakan majlis reunion kawan-kawan sekolah. Maklumlah ketika raya inilah semua orang akan balik ke kampung dan mudahlah untuk menjayakan majlis reunion yang julung-julung kalinya dapat diadakan.
Terasa teruja sungguh untuk bertemu kawan lama bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Pun begitu tidak dinafikan ramai juga yang mengatakan majlis reunion sekolah ni banyak juga mengundang musibahnya.
Untuk itu, apa kata kita baca salah satu petikan teks yang telah disiarkan di dalam majalah Keluarga yang ditulis oleh Datuk Abd Jalil Ali. Memang menarik perkongsiannya!
SAYA percaya ‘reunion’ boleh membangkitkan kenangan silam. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa pertemuan teman-teman lama itu boleh meruntuhkan rumah tangga.
Memang menghairankan apabila ada tanggapan kononnya pertemuan semula teman sekolah, atau teman sekampus, boleh merenggangkan hubungan suami-isteri.
Harap-harap ada kajian ilmiah dilakukan dalam waktu terdekat ini untuk menolak tanggapan seperti ini. Kalau tidak mungkin ramai tidak berani menghadirkan diri pada majlis ‘reunion’, bimbang rumah tangga berantakan.
Ada yang bertanya saya, salah siapa sekiranya hubungan suami-isteri menjadi semakin dingin setelah pulang dari pertemuan dengan teman-teman lama.
Salah lelaki atau salah perempuan? Apakah lelaki yang terlalu emo? Atau, apakah perempuan yang terlebih jiwa-jiwang?
Lebih baik jangan menyalahkan sesiapa. Tidak kira lelaki atau perempuan, apabila terlalu terbawa-bawa dengan kisah-kisah indah zaman sekolah, memang boleh angau dibuatnya.
Almaklumlah, zaman persekolahan memang penuh seribu keindahan. Kalaulah jarum jam boleh diputar ke belakang, rasanya saya hendak kembali semula ke zaman itu!
Menoleh ke belakang, menelusuri lorong-lorong kenangan, tempoh lima atau enam tahun di sekolah menengah, memang semuanya indah. Hatta, kena rotan guru disiplin pun kini terasa amat nostalgik.
Kalau kena rotan pun satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, inikan pula kisah cinta-cintan sepanjang berada di tingkatan empat atau lima.
Maka teringat seorang gadis bertocang ekor kuda yang mula saya kenali ketika di tingkatan lima. Dia pelajar baharu, berpindah dari sekolah lain.
Sejak hari pertama terserempak dia di kantin, tertarik betul saya pada ekor kudanya yang diikat dengan reben biru. Tidak ada kata-kata, hanya senyuman ketika sama-sama meninggalkan kantin sebab loceng sudah berbunyi.
Dan, malam itu saya tidak dapat menumpukan perhatian pada buku teks geografi, sebab setiap halaman yang saya buka, yang terlihat hanyalah senyuman manisnya di kantin siang tadi.
Saya terlentang di katil, terkebil-kebil dalam gelap, sebelum akhirnya terlena, dengan satu soalan yang belum dijawab: Siapakah gadis itu?
Pagi-pagi esoknya, di kantin sekolah, saya bertemu dengannya, saling berbalas senyum, dan tanpa malu-malu terus saya tanyakan namanya.
Ads
Namanya S. Sengaja saya rahsiakan nama sebenarnya, bimbang akan menimbulkan syak kepada suaminya, juga kepada isteri saya sendiri.
Bermula di kantin, kerap pula saya bertemunya di perpustakaan, di padang ketika latihan sukan. Malah, sesakali pada hujung minggu, kami makan ais kacang di pekan.
Walaupun tidak pernah dinyatakan dengan perkataan, saya sedar telah terperangkap dalam cinta. Saya pasti – dari gerak geri dan reaksinya – dia juga telah terjerat dalam babak filem Hindustan yang mengasyikkan ini.
Cinta monyet itu amat indah. Kami tidak berselindung-selindung lagi. Ke mana-mana bersama. Kalau sehari tidak berjumpa, saya tidak boleh belajar.
Satu sekolah heboh orang bergossip mengenai kami. Ada aku kisah? Kami berjanji ingin bersama, sehidup semati. Engkaulah gunung, engkaulah intan, engkaulah payung, fullamak.
Tetapi, namapun cinta monyet. Sumpah dan janji monyet tidak boleh dipegang. Lepas keputusan SPM, dia disambar oleh monyet lain.
Ketika berkelana di KL, membawa sebuah kedukaan, saya menerima perkhabaran dari kampung S akan berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga.
Mula-mula menangis juga. Sampai hati kau mengkhianati cinta ku. Rasa hendak terjun lombong, atau minum racun tikus, lebih-lebih lagi setiap kali mendengar lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ oleh A. Ramlie yang amat populat ketika itu.
Tetapi, lama-lama monyet desa itu hilang dari ingatan. Rupanya di kota pun ada sekian banyak monyet…
Sejak habis sekolah, saya tidak pernah bertemu dengan S. Setiap kali pulang beraya dan bertemu dengan geng-geng sekolah, selalu juga kita bercerita tengang cinta-cintan zaman remaja.
Secara kebetulan rumah saya betul-betul sebelah Sekolah Menangan Kebangsaan Bukit Gambir. Setiap kali balik Kampung Sungai Jaya, Muar, saya melintasi sekolah, dan terasa kelakar pula teringat zaman monyet-monyetan
Ads
Walaupun selalu bertemu geng ketika pulang kampung, sampai sekarang saya belum berkesempatan ber‘reunion’ dengan kawan-kawan lama sekolah.
Saya tidak pasti jika bertemu ramai-ramai dengan geng sekolah apakah cinta boleh bersemi semula? Tidak dapat dipastikan apakah reunion boleh menjejaskan hubungan saya dengan isteri.
Hatta, tidak juga dapat saya pastikan apakah S, si tocang ekor kuda itu masih mengenang detik jeling-menjeling di kantin, juga keseronokan berlatih sukan di padang sekolah.
Hanya satu perkara yang pasti: semuanya tidak seperti dulu-dulu. Hakikatnya ialah kenangan bermonyet-monyetan yang indah itu terjadi kira-kira setengah abad lalu.
Melihat diri dan wajah sendiri dalam cermin, saya tidak lagi sekiut (cute) zaman awal remaja. Waktu itu saya baru 18, kini sudah 63 tahun!
Dulu zaman teruna sunti, rambut hitam lebat, disisir rapi dengan ‘suak’ terjuntai di dahi. Sekarang rambut sudah semakin jarang, tidak ada lagi yang hitam, semua putih macam bunga lalang.
Rambut semakin jarang, gigi banyak bergoyang, jalan pun sudah terhuyung-hayang. Perut gendut semacam, pandangan tidak lagi tajam, hatta suara pun semakin kedam. Dulu saya sentiasa bertenaga untuk lari 100 meter, sebab saya tahu dia ada di tepi padang memberi tepukan dan sokongan. Kini, jangankan 100 meter, berjalan sepuluh langkah pun saya sudah separuh mati.
Saya sudah tua!
Maka saya tidak fikir dia masih secantik dulu-dulu. Tocang ekor kuda agaknya sudah tidak ada; kalau ada pun pasti telah disembunyikan di dalam tudung kepala, hanya untuk tontonan suami.
Mungkin juga rambutnya tidak hitam lagi, sudah berubah warna matelic perak. sama seperti rambut saya. Dia bukan lagi gadis pingatan dengan keayuan dan kesucian kesucian desa seperti zaman sekolah dulu.
Tidak lagi saya bayangkan senyuman semanis dulu. Tidak juga pipinya yang gebu, atau jari-jemarinya yang halus lembut itu. Malah, suaranya pun pasti tidak semanja masa silam.
Ads
Dia pun sudah seperti saya, sudah meninggalkan usia remaja. Sudah beranak-pinak, bercucu-cicit. Pasti orang panggil dia opah atau tok wan.
Maka, kalau ditakdirkan saya dipertemukan dengannya dalam reunion musim raya nanti – biasanya reunion sekolah dibuat semasa cuti raya – saya tidak fikir suaminya, juga isteri saya, akan cemburu.
Memang, kita akan bercerita mengenai zaman sekolah. Dia pasti akan menceritakan kenakalan saya mengorat dia. Saya pula akan mengungkit kisah dia didenda kerana lewat memulangkan buku perpustakaan.
Memang, cerita-cerita seperti itu boleh mengembalikan nostalgia. Tetapi saya tidak fikir itu boleh mendarahkan kembali luka lama. Tidak mungkin cinta monyet akan bersemi lagi. Kelakar gila!
Sebab itu tidak masuk di akal saya apabila ada teman memberitahu hidupnya tidak tenteram setelah bertemu semula dengan kekasih lama yang ditemui semula pada satu reunion raya tahun lalu.
“Hang percaya tak, dia masih cun macam dulu!” katanya beriya-iya, dan menambah: “Dia pun kata aku masih maco macam zaman tingkatan lima. Ni yang aku tak boleh tidur!”
Sudah sama-sama tua, sama-sama ada keluarga, tiba-tiba keduanya dilanda angau zaman lampau, gara-gara bertemu pada reunion sekolah. Sudah setahun mereka bercinta di maya.
Tentu sekali saya menyokong cinta silam itu dihangatkan semula, jika keduanya sudah kematian atau kehilangan pasangan hidup. Tetapi, yang satu masih isteri, yang seorang lagi masih suami. Sebab itu saya menentang zaman monyet itu dihidupkan kembali.
Kesimpulannya, tidak salah – malah digalakkan – mengadakan reunion sekolah Aidilfitri ini. Tidak salah juga mengimbau kembali zaman remaja di bilik darjah, atau di kantin.
Tetapi, jangan terlalu terbawa-bawa dengan jiwang dan emo lampau hingga merenggangkan keintiman suami-istri.
Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Orang Kelainan Upaya (OKU) selalunya dikaitkan dengan pelbagai kekurangan dan dilihat seperti tidak mampu menandingi manusia normal.
Hebatnya anugerah Allah. Bergelar OKU bukan alasan untuk tidak melakukan apa-apa dalam kehidupan.
Sebagaimana perkongsian seorang isteri kepada suami OKU menerusi facebook milikinya, Farah Roslan di grup Berkebun D Rumah menunjukan hasil tanaman hasil daripada kebun suaminya.
Suaminya dikenali sebagai Ayie Suarafm. merupakan OKU yang berdikari yang melakukan sendiri tanaman di kebunya. Nyata, kekurangan pada diri bukan bererti tersekat segala jalan untuk maju ke depan.
Berkongsi beberapa keping gambar dan video, telah menarik perhatian warganet.
Malah ramai yang meluahkan rasa kagum melihat cara suaminya menguruskan kebun. Hasilnya pun kelihatan subur.
Semoga menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa sebegini supaya mereka juga akn menjalani kehidupan sama seperti orang lain.
Selamat berkebun. Berzikir sambil berkebun. Penenang semula jadi yg Allah beri. Doa tawakal supaya Allah hidupkan pokok kita dengan subur dan dapat memberi manfaat kepada orang lain juga.
Ayah adalah seorang insan yang sangat bermakna selain ibu, tanpa lelaki bergelar ayah siapalah kita didunia ini. Tanpa ayah kita tidak akan lahir ke dunia ini.
Luahan hati seorang ayah dalam satu progarm Hadith Open Mic begitu menyentuh hati pada mereka yang hadir.
Pak cik Bani ada 7 orang anak, 4 lelaki 3 perempuan. Masa anak-anak beliau masih kecil, Pak Cik Bani manjakan anak-anak selayaknya seorang bapa yg sayangkan anak, Tapi anak-anak…bila ayah dah tua, tak mahu jaga ayah, hantar ayah ke rumah orang tua.
Tidak sedar diri dihantar ke rumah tersebut. Biarpun sedih namun dia gembira kerana ada insan lain yang prihatin dan menjaga dirinya dengan baik. Dan kawan-kawan pun ramai.
“saya datang ke sini tak pasti,tiba-tiba sampai ke bangunan ini. Tengok rumah ni cantik, macam mana boleh sampai ke sini?
“Di sini alhamdulilah semua ada makan minum, pakaian dan kawan-kawan pun baik. Isteri sudah meninggal dunia. keluarga saya ada di Kuala Lumpur.
“Anak saya sebenarnya 7 orang 4 lelaki dan 3 perempuan. Kecik-kecik saya manjakan semua, bawa dan hantar pergi kerja.
“Diorang tu takde tengok pon saya di sini, anak-anak saya tu buat tak tahu. Ini yang saya sedih dalam hidup saya ini. Tapi di sini ada kawan kawan yang baik hati semua.
“Jaga saya, pegang saya bila tak nampak. Banyak kali terlanggar tiang, saya dah tak kisah dah. Sebab biasa dah. Ustaz pun ada cakap sabar dengan hidup ini. Kita akan pergi juga suatu hari nanti. Anak-anak tu biarlah…– luah Allahyarham Sabani Bin Sabari.
Lebih memilukan apabila Pak Cik Bani meninggal dunia usia program tersebut. Al-Fatihah buat arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat selalu.
Semoga jadi pengajaran buat kita semua. Ibu bapa sebenarnya rindu. Tapi tak sebut sebab tak nak kecilkan hati sendiri bila anak kata tak dapat menjenguk dengan alasan sibuk.
Kini yang tinggal hanya batu nisan sahaja yang mampu ditatap. Itupun jika anak-anak sudi datang untuk bacakan yasin atau bersihkan sedikit kubur arwah. tiada lagi kenikmatan untuk merasai hangatnya genggaman tangan ibu bapa. Justeru, hargai mereka selagi masih ada.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Kasih ayah sepanjang masa, naluri seorang lelaki bergelar ayah pasti akan sentiasa memberi nasihat dan sentiasa mengutamakan keluarga lebih dari segalanya.
Begitulah juga apa yang tular di media sosial kini berkenaan ‘nota terakhir’ yang ditulis oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang ditinggalkan di atas meja untuk keluarganya.
Peninggalan nota terakahir tersebut dikongsikan di laman Facebook rasminya yang dipercayai ditaip semula oleh pihak pentadbir (admin).
Dalam mesej panjang tersebut Najib mengimbas kembali perjalanan dunia politiknya yang telah 46 tahun lamanya.
Berikut adalah mesej penuh nota tersebut seperti yang dikongsikan di laman Facebook.
Keluargaku, Anak cucuku.
My family. My love.
Dari tahun 1976 Daddy mula aktif dalam politik dan perkhidmatan awam sepenuh masa.
Ke hari ini, 46 tahun lamanya. 46 years is a long time.
Daddy memilih mewarisi legasi nenda, meneruskan usaha nenda.
Daddy memilih kerja.
Dunia politik dan perkhidmatan awam ada kelebihan dan kekurangannya.
Merancang pembangunan. Menggubal dasar kebajikan. Mengurus ekonomi. Mengukuhkan hubungan antarabangsa. Menyelesaikan krisis.
Cabaran-cabaran ini dengan hasilnya yang baik membawa senyuman kepada Daddy.
Adakalanya hasil yang diharapkan tidak sebaik yang diinginkan. Tetapi cuba lagi dan lagi.
Melihat kembali, ia satu pengorbanan besar.
Tahun-tahun dan masa-masa yang ada datang dan berlalu begitu sahaja.
Dari subuh ke larut malam, ada saja urusan yang perlukan perhatian.
Masa makan pun bermesyuarat, berjumpa tetamu, tidak bersama you all.
My years have gone by dedicated to people, public service, politics.
A sacrifice I chose and I made.
A journey that was joyous with your presence but unfortunately I overlooked and could not always be there for you.
Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh Daddy.
My family. My love.
Setakat ini sahaja yang Daddy dapat bersama.
Daddy pegang teguh kepada ajaran agama Islam.
Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT.
Apalah daya Daddy manusia dan hambaNya.
Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat.
Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana.
Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati keluarga kita sentiasa dengan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan.
Love you all.
Daddy
(Mesej yang ditinggalkan daddy atas mejanya untuk kami sekeluarga)
Meninjau di ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh rakyat Malaysia terkesan setelah membacanya. Perasaan simpati, sedih dan sebak dirasakan saat membaca satu persatu luahan hati dari seorang ketua kelauarga. Malah tidak dinafikan ramai juga mendoakan untuk diberi kesabaran dan ketabahan kepada DS Najib dan ahli keluarga beliau dalam menempuh ujian kali ini.
Ektra info : Kecoh semalam apabila rakyat Malaysia masing-masing menantikan keputusan mengenai isu penyelewengan dana Syarikat SRC International Shd Bhd yang membabitkan bekas Perdana Menteri ke 6 Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa menolak rayuan akhir beliau untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung isu ini.
Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.
Susulan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta.
kronologi tentang kes SCR
4 Julai 2018 – Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
8 Ogos 2018 – Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International) yang merupakan hasil kegiatan haram.
3 April 2019 – Perbicaraan bermula selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai tidak sempurna.
27 Ogos, 2019 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 58 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 57 saksi.
11 Nov 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan terdapat unsur menggunakan kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
3 Dis 2019 – Najib memberi keterangan membela diri di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pembelaan bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.
11 Mac 2020 – Selepas 19 saksi memberi keterangan sepanjang 33 hari, pembelaan menutup kesnya.
28 Julai 2020 – Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan.
19 Okt 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi 307 alasan beliau sepatutnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.
5 April 2021 – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman bermula di Mahkamah Rayuan.
18 Mei 2021 – Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang ditetapkan kelak selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak yang berlangsung selama 15 hari.
23 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan itu. Najib memfailkan permohonan supaya ditangguhkan keputusan rayuannya kerana perlu menjalani kuantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis setelah kembali dari Singapura dan hanya boleh hadir di mahkamah atau perhimpunan awam mulai 13 Dis.
24 Nov 2021 – Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya.
2 Dis 2021 – Najib Tun Razak memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan supaya membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya termasuk daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.
3 Dis 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan memasukkan bukti baharu.
7 Dis 2021 – Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding permohonannya dan keputusan rayuan yang ditetapkan pada 8 Dis berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual dengan individu yang disahkan positif COVID-19.
8 Dis 2021 – Keputusan rayuan Najib dijalankan secara dalam talian kerana Najib dan peguamnya menjalani kuarantin. Pada hari sama, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
7 Jan 2022 – Najib memohon Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya bagi mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC terlebih dahulu.
25 Jan 2022 – Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah menyerahkan surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai hasrat Najib untuk melantik Peguam Diraja dari UK bagi membantu bekas Perdana Menteri itu dalam isu rumit dan persoalan undang-undang dalam rayuan kes SRC International beliau di Mahkamah Persekutuan.
2 Mac 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengosongkan tarikh pendengaran rayuan kes itu susulan dakwaan terdapat bukti baharu dalam usaha beliau untuk mengetepikan sabitan dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac.
16 Mac 2022 – Najib gagal buat kali kedua untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan kes SRC.
11 April 2022 – Najib melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.
25 April 2022 – Najib memfailkan petisyen rayuan dan mengemukakan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan dalam kes SRC International.
29 April 2022 – Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.funds.
31 Mei 2022 – Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja dari United Kingdom memfailkan notis usul saman pemula bagi mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.
7 Jun 2022 – Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes SRC International.
13 Jun 2022 – Pendakwaan memfailkan afidavit bagi membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan kes SRC International.
16 Jun 2022 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib.
27 Jun 2022 – Majlis Peguam memfailkan afidavit membantah permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International.
21 Julai 2022 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir kes SRC International.
26 Julai 2022 – Najib telah menggugurkan serta-merta perkhidmatan Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan terakhir kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan pada masa sama, peguam Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama untuk mewakili Najib.
15 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.
16 Ogos 2022 – Najib gagal dalam permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu pada rayuan terakhir kes SRC International.
16 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan bagi kes SRC International dan menetapkan 18 Ogos untuk mendengar rayuan itu.
18 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan terakhir Najib dalam kes SRC International.
18 Ogos 2022 – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib Tun Razak dalam rayuan akhir.
19 Ogos 2022 – Pihak pendakwaan selesai mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan.
19 Ogos 2022 – Najib menamatkan khidmat peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), daripada mewakilinya dalam rayuan akhir.
23 Ogos, 2022 – Najib memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kesnya membabitkan dana SRC International.
23 Ogos 2022 – Muhammad Shafee gagal menangguhkan hujahan bagi prosiding agar Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan Najib.
Bila kita dipukul, apa tindakan yang perlu kita buat. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.