Inspirasi

Nora Danish Berjaya Khatam Al-Quran Dalam 10 Hari, “Pengalaman Luar Biasa Bagi Saya”

Share

Pelakon jelita, Nora Danish menyifatkan hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-43 pada Jumaat lalu adalah berjaya khatam al-Quran dalam tempoh 10 hari pada Ramadan ini.

Menurut Nora, ini adalah kali pertama dia menyertai sesi tadarus secara berkumpulan dan bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk melakukannya.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai tadarus, yang mana kami berjaya khatam dalam tempoh 10 hari.

“Setiap hari, kami membaca lebih daripada 50 muka surat al-Quran. Saya kira ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam hidup saya, sekali gus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran saya tahun ini,” ujarnya.

Pengalaman luar biasa

Tambah Nora lagi, ia adalah pengalaman cukup luar biasa dalam hidupnya sepanjang bergelar anak seni malah dia bersyukur kerana Allah membuka hatinya.

Menurut perkongsian Nora lagi, dia dan rakan tadarusnya membawa sebanyak 50 muka surat sehari bagi menyudahkan bacaan 30 juzuk mereka.

“Kami memulakan bacaan pada hari pertama Ramadan bersama seorang ustaz hafiz dan kira-kira 30 orang sahabat lain. Ia benar-benar satu pengalaman yang luar biasa buat saya.

“Walaupun usia sudah menjengah 40-an, namun belum terlambat untuk kita memaksa diri melakukan kebaikan, termasuk membaca al-Quran.

“Dalam kes saya, saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya sebelum saya meninggalkan dunia ini. Betul, memang belum terlambat untuk kita berusaha menjadi insan yang lebih baik.

“Saya sendiri mengaku, dahulu saya jahil, tetapi saya tetap berusaha untuk menjadi lebih baik. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Baik. Jangan sesekali rasa sudah terlambat atau berputus asa.

“Seeloknya kita segera bertaubat kerana pengakhiran kita itu yang lebih penting,” katanya.