Sudah lebih seminggu Emma Maembong melahirkan anak lelakinya, akhirnya suaminya, Muhammad Shazli Azhar berkongsi mengenai kelahiran itu di Instagramnya menerusi rakaman video pendek gambar mereka bersama cahaya mata.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail ketika dihubungi memaklumkan yang dia melahirkan anaknya itu secara normal pada 8 November lalu jam 2.38 pagi
“Selama ini hanya melihat kenikmatan jadi ibu daripada orang lain, tapi sekarang saya pula melaluinya. Ia memang sesuatu yang sangat indah. Rasa tak nak berenggang dengan anak
“Kalau boleh memang nak dekat dengannya selalu. Suami pun teruja. Maklumlah anak sulung kami.
“Segala galanya dipermudahkan. Proses kelahiran pun senang,” kata Emma lagi.
Menurut Emma, dia bersyukur suaminya, Muhammad Shazli Azhar sentiasa berada di sisi dan banyak memberikan kata-kata semangat.
“Alhamdulillah suami saya banyak memberi semangat dan ada di sisi saya sepanjang waktu. Saya kini menjalani tempoh berpantang di rumah dengan dibantu seorang pekerja dari pusat penjagaan yang menawarkan perkhidmatan berpantang untuk membantu saya yang baru bersalin serta merawat bayi.
“Setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik. Saya dan anak dijaga dengan rapi apabila saya tidak perlu risau soal makan, urutan atau apa saja perkara yang boleh dan tidak selepas bersalin.
Pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu bagaimanapun memaklumkan nama masih dirahsiakan dulu.
“Nanti suami akan kongsi nama anak kami,” katanya.
Pasangan ini bernikah pada 20 Februari lalu. Baru baru ini, Emma dan suami turut mewujudkan akaun Instagram istimewa di bawah nama @eslovestory yang berkongsi perjalanan kelahiran anak mereka.