
Tragedi menyayat hati berlaku di Kampung Tasek Bakong pada Ahad apabila seorang warga emas, Bahrum Ismail, 64, ditemui maut selepas terjatuh ke dalam perigi semasa mengambil wuduk.
Insiden yang berlaku sekitar jam 6.30 pagi itu menyaksikan mangsa terkorban di dalam perigi sedalam empat meter.
Memetik laporan Sinar Harian. menurut jiran mangsa, Mohd Shamsudin Pa’Sar, 50, keluarga memaklumkan bahawa arwah sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh ketika kejadian malang itu berlaku.
“Perkara itu menjadi rutin mangsa setiap kali mahu keluar menoreh. Masa kejadian saya dalam perjalanan ke kedai untuk menjual ayam segar sebelum berhenti di hadapan rumah Bahrum kerana melihat anak-anaknya dalam keresahan.
“Sejurus tiba, anak mangsa memberitahu bapa mereka telah terjatuh ke dalam perigi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurutnya, dia sempat membantu dengan menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 untuk mendapatkan bantuan.
Mohd Shamsudin berkata, salah seorang anak Bahrum memberitahu dia terdengar suara bapanya ada meminta bantuan dan sempat menghulurkan tali.
Bagaimanapun katanya, mangsa sudah lemah dan akhirnya tenggelam.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.
“Apabila tiba di lokasi kami mendapati mangsa tenggelam di dasar perigi. Seorang anggota telah turun ke dalam perigi tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk membawa keluar mayat menggunakan kaedah ikatan tali,” katanya.
Menurut beliau, jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian
Trend Tarik Kerusi Bertukar Tragedi “Adik Boleh Lumpuh”

Trend tarik kerusi semakin menjadi sekarang. Lumrah buat kanak-kanak untuk bergurau sesama mereka tidak kira di rumah mahupun di sekolah. Ini antara gurauan ‘kasar’ yang sering dilakukan dengan menarik kerusi ketika rakan hendak mereka hendak duduk membuatkan mereka terjatuh. Namun ia bahaya, sehingga boleh menyebabkan kecederaan serius antaranya kecederaan tulang belakang dan saraf tunjang adalah kebas serta kelumpuhan anggota.
Begitulah yang terjadi kepada keluarga ini. Memetik laporan Harian Metro, Shahirah Shah, 20, seorang pekerja swasta, menyatakan rasa terkilan apabila seorang guru memperlekehkan keadaan adiknya dengan menganggap kejadian yang menyebabkan tulang pinggulnya patah sebagai satu takdir.
“Kami terkilan apabila seorang guru memperlekehkan nasib adik dengan menyatakan kejadian yang berlaku hingga mengakibatkan tulang pinggulnya patah sebagai takdir,” kata pekerja swasta, Shahirah Shah, 20.
Shahirah berkata, kejadian berlaku pada 17 November lalu di sebuah sekolah di Batu Pahat apabila kerusi adik perempuannya dalam kelas dialihkan seorang pelajar hingga mengakibatkan mangsa terjatuh.
Menurutnya, selepas tamat waktu persekolahan, adiknya yang juga pelajar tingkatan satu mengadu sakit punggung kepada ibu ketika menaiki kereta dan menceritakan kejadian itu.
Katanya, pada hari sama, keluarga membawa adiknya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat selepas mengadu kesakitannya semakin teruk.
“Apabila ibu membawanya ke hospital, doktor mencadangkannya untuk menjalani X-ray dan selepas mendapat keputusan, doktor memaklumkan kecederaan adik saya amat bahaya sehingga boleh menyebabkan lumpuh atau masalah kesihatan pada masa hadapan dan mengesahkan tulang pinggul patah.
“Pada 18 November lalu, kami sekeluarga ke sekolah bagi memaklumkan kecederaan dialami adik dan ketika itu seorang guru menyatakan kejadian berkenaan tidak disengajakan dan meminta kami menganggapnya sebagai takdir,” katanya.
Shahirah berkata, pihaknya difahamkan pengetua sekolah tidak dimaklumkan berkaitan kejadian itu dengan segera ia menggambarkan sikap acuh tidak acuh guru.
Menurutnya, keluarganya juga keliru dengan kenyataan seorang guru yang mendakwa menjadi saksi kejadian sebaliknya adiknya menyatakan guru berkenaan tidak berada dalam kelas ketika itu.
Katanya, pihaknya juga tidak menerima maklum balas yang diharapkan daripada guru terbabit berkaitan rayuan keluarganya untuk memindahkan kelas adiknya di tingkat bawah mulai tahun depan atas faktor kesihatan.
“Guru berkenaan memperlekehkan laporan perubatan adik saya dengan menyatakan anaknya juga seorang doktor dan apa yang dialami adik adalah tidak serius.
“Tambahan pula kami keliru apabila adik saya seperti diboikot apabila tiba-tiba disingkir daripada kumpulan WhatsApp kelas.
“Adik saya jenis pelajar yang tidak bermasalah, sehingga kini dia juga tidak pernah menimbulkan masalah disiplin.
“Kejadian seumpama ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menimbulkan masalah lebih serius,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini pergerakan adiknya masih terbatas dan tidak mampu tunduk dan duduk seperti biasa.
Ibu bapa mangsa juga membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat pada 19 November lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin ketika dihubungi berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian berkenaan.
Sumber : Harian Metro
Ipar Duai Bila Tinggal Serumah, Buka Ruang Curang Dalam Rumah Tangga

Ipar duai bila tinggal serumah, buka ruang curang dalam rumah tangga. Kehidupan berumah tangga adalah satu ikatan suci yang memerlukan kepercayaan, kesetiaan, dan komitmen yang teguh antara suami isteri.
Ipar Duai Bila Tinggal Serumah, Buka Ruang Curang Dalam Rumah Tangga
Namun, apabila ada anggota keluarga lain seperti ipar tinggal serumah, situasi ini boleh menimbulkan beberapa cabaran dan risiko, termasuk membuka ruang bagi masalah curang dalam rumah tangga. Meskipun tidak semua situasi akan berakhir dengan konflik, kes curang atau rasa cemburu, namun ada beberapa perkara penting yang perlu difikirkan apabila berkongsi rumah dengan ipar duai.
Walaupun ipar adalah sebahagian dari keluarga, namun sebagai individu dewasa, terdapat batasan yang perlu dijaga, terutama dalam menjaga aurat dan etika sosial. Tinggal serumah boleh membuka ruang untuk interaksi yang mungkin tidak sesuai, seperti perbualan yang terlalu intim atau pergaulan yang terlampau bebas. Tanpa batasan yang jelas, kemungkinan untuk berlakunya hubungan tidak sihat semakin tinggi.
Baca perkongsian daripada Ustazah Nazirah Abu Bakar ini.
Semalam kebetulan lapang, buka TV ada cerita Ipar Adalah Maut. Mulanya tengok cerita apa ini nombor satu pilihan untuk carta filem di Malaysia. Berdasarkan kisah benar, dan tajuknya itu petikan hadis Nabi, jadi saya tekan butang “play.”
Baik point dia apa?
1) Pengajaran filem sangat bagus, tapi tak sesuai untuk anak-anak tengok bersama. Ada babak kelamin yang bukan sepatut dibiasakan tayangannya walau atas tujuan pelajaran.
2) Ipar adalah maut. Kenapa maut? Sebab maut ini datangnya tanpa diduga. Bak nasihat temannya Nisa (watak utama), taufan paling bahaya datang secara tiba-tiba. Maut boleh sapa sesiapa saja tak kira walau orang yang berdekatan dengan kita. Kalau nak berlaku, akhirnya terjadi juga. Siapa nak sangka adik ipar menjadi fitnah yang hanya bermula dengan “alah adik ipar saja, eh tu abang ipar saya”. Benar kata Pak Junaedi.
3) Ada orang kata Rani itu yang bersalah, dia yang sengaja menggoda-goda, ada yang kata Nisa dan emaknya yang bersalah kerana membuka ruang fitnah itu bekerja, ada yang feminis menyalahkan Aris sebagai jantan durjana, punya isteri eh tapi masih gatal telurnya.
Baik jom kita tengok macam mana hukum bagi panduan.
HUKUM IPAR-DUAI TINGGAL SERUMAH YANG KETIADAAN MAHRAM ADALAH HARAM DAN PERLU DIJAUHI BAGI MENUTUP PINTU FITNAH (SADD AL-DZARI’AH). LARANGAN TERSEBUT SEBAGAI LANGKAH BERJAGA-JAGA DARIPADA TIMBULNYA SEBARANG KEROSAKAN YANG BESAR PADA MASA AKAN DATANG. ADAPUN, TIDAK MENGAPA IPAR-DUAI TUMPANG TIDUR BERMALAM YANG BERASINGAN BILIK SELAGI ADANYA MAHRAM DISISI IPAR DUAI DAN AMAN DARIPADA FITNAH. MAHRAM YANG WAJIB ADA IALAH MAHRAM DARI PIHAK PEREMPUAN BUKAN LELAKI.
4) Kesimpulannya. Setelah kita bicarakan tentang ruang fitnah yang harus ditutupkan, maka akhirnya kita hanya boleh sebutkan kasihan, inilah sebahagian dari ujian niat baik nak menolong darah daging sendiri.
Bermula dari niat baik ibu nak menjaga anak, bermula dari niat seorang abang ipar untuk melindungi. Dek kerana salah pilihan akhirnya rumah tangga yang baik, berantakan dan tinggal menjadi pelajaran.
Kehidupan berumah tangga menuntut suami isteri untuk berusaha mengekalkan kepercayaan dan kesetiaan antara satu sama lain. Apabila tinggal serumah dengan ipar, cabaran yang timbul boleh menjadi ruang kepada masalah curang jika tidak ditangani dengan bijak.
Namun, dengan komunikasi terbuka, batasan yang jelas, dan penjagaan adab serta etika pergaulan, suami isteri dapat mengelakkan risiko ini dan mengekalkan keharmonian dalam perkahwinan mereka. Kepercayaan dan kesefahaman adalah asas yang paling penting dalam menghadapi apa jua cabaran dalam rumah tangga.
Sumber: Ustazah Nazirah Abu Bakar
Baca artikel lain juga: Jangan Pandang Remeh Hubungan Adik Beradik Ipar. Ada Had Perhubungan Kena Jaga
“Lepaskan, Jika Dia Minta Cerai.” Ustazah Dedah Lelaki Korporat 10 Kali Curang
Jangan Pandang Remeh Hubungan Adik Beradik Ipar. Ada Had Perhubungan Kena Jaga
Fattah Fokus Kerja, Curang Itu Tuduhan Berat Perkin Ibrahim Dedah Sikap Sebenar Fattah Amin
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Baru Bersalin Di Hospital

Imam maut kemalangan jalan raya lepas lawat isteri bersalin di hospital. Seorang Imam masjid maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 211.8, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Sitiawan pada Selasa.
Imam Maut Kemalangan Jalan Raya Lepas Lawat Isteri Bersalin Di Hospital
Mangsa dikenali Nurul Kamal Zulkarnain, berusia 37, bertugas sebagai Imam Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa baru melawat isterinya, Nur Firdaus Salwa Mohd Zamrin yang baru sahaja melahirkan cahaya mata yang ketiga mereka di Hospital Seri Manjung pada hari Isnin.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib memaklumkan mangsa juga turut bertugas sebagai Guru Takmir di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar.
“Dengan rasa penuh dukacita saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau yang terlibat dalam kemalangan di lebuh raya WCE.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat setempat kerana beliau dikenali sebagai insan yang berwibawa dalam memimpin serta membimbing umat Islam terutamanya melalui peranannya sebagai imam masjid.
“Jasanya dalam mendidik dan menyumbang kepada pembangunan rohani masyarakat amat dihargai dan akan dikenang selamanya,” katanya menerusi akaun Facebooknya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.35 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit dan terdapat mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan pegawai perubatan,” katanya.
Menurut beliau, operasi diteruskan untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa dibawa keluar dengan menggunakan pengusung dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba diketuai oleh Komander Operasi, Muhammad Arif Irfan Mokhtar dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5.37 petang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Pernah Tular Enam Ahli Keluarga Terkorban Kemalangan Jalan Raya, Abdur Rahman Kini Sambung Pengajian
Dua Kanak-Kanak 10 & 9 Tahun Pandu Kereta Sampai Kemalangan!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my