Pelakon Wawa Zainal menggalakkan agar suaminya, aktor Aeril Zafrel membina sebuah masjid yang akan didirikan di kampung halaman Aeril terletak di Rengit, Batu Pahat, Johor.
Menurut Wawa, idea itu datang selepas mendengar ceramah ustaz Abdul Somad tentang andai ingin menempa nama di syurga, jika mempunyai wang lebih maka binalah masjid.
“Kami telah membeli sebuah lot tanah dan Aeril berhasrat mahu membina sebuah rumah banglo.
“Namun begitu, saya memikirkan yang ada baiknya jika kami membina masjid. Idea ini datang selepas saya mendengar ceramah seorang ustaz.
“Saya memberi galakkan kepada Aeril membina masjid untuk saham akhirat kami. Akhirnya, keputusan telah dibuat dan kami membina masjid di sana.
“Jadi, lepas berbincang dengan ketua kampung di Rengit, Johor dan kami bersetuju untuk menghulur dana sekitar RM1.2 juta hasil semua keuntungan produk terbaharu kami, Muslim Bukhari.
“Proses pembinaan dijangka bermula tahun depan… doakan semoga urusan kami ini dipermudahkan,” ujar Wawa.
Sementara itu, pelakon drama Cari Aku Di Syurga ini berkata perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bersikap riak.
“Memang bukan berniat nak riak atau menunjuk-nunjuk… tapi ini adalah saham akhirat bersama pelanggan kami.
“Mereka yang membeli turut menjadi penyumbang kepada dana masjid ini dan bukan hanya pada nama saya atau Wawa sahaja.
“Kami juga tidak bercadang menukar nama masjid… apa yang kami harap sumbangan ini memberi manfaat kepada penduduk kampung,” ujarnya.
Wawa dan Aeril berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5 dan Aya Soffya kini berusia 7 bulan
Dianggarkan bernilai RM1.2 juta dan bakal memuatkan seramai 700 orang jemaah, wang terbabit akan dikumpulkan menerusi keuntungan jualan koleksi terbaru Wawa Cosmetics, Bukhari dan Muslim.
“Segala keuntungan dua koleksi kosmetik ini akan digunakan untuk pembinaan masjid terbabit.
“Harga untuk satu kotak berharga RM79 dan dua kotak hanya RM150 sahaja. Koleksi ini akan dikeluarkan sebanyak 80,000 set sahaja.
“Untuk keluaran kali ini, memang kami tidak akan mengambil keuntungan langsung terhadap dua koleksi terbabit.
“Team Wawa Cosmetics dan pembeli yang bakal membeli menjadi penyumbang untuk masjid ini,” kata Aeril pula.
Koleksi Wawa Cosmetics edisi Bukhari dan Muslim ini akan dua pengilat bibir, set solekan serta wangian dan mula dijual hari ini.