Minat mendalam pada bisnes sudah bercambah lebih awal, namun dia masih tidak mendapat rentak dan petunjuk bidang mana yang menjadi pilihannya. Justeru, hasrat tersebut dipendam terlebih dahulu.
Setahun bekerja dalam sebuah syarikat pembangunan, dia mengambil keputusan untuk berhenti. Usai mendirikan rumah tangga, dia memilih untuk membantu suaminya di pejabat. Namun minat dalam bidang bisnes membuatkan empunya diri yang dikenali sebagai Zurin Zakaria nekad untuk membuka bisnes sendiri.
Sedar persaingan dalam bidang ini bukan semudah yang disangka, sementelah dia sudah punya kerjaya tetap. Namun alah bisa tegal biasa, dek kerana minat dia teruskan jua.
Jujur mengakui butik yang dibuka ini ibarat ‘anak sulungnya. Jelas Zurin, sudah lama dia mengidam untuk memiliki anak perempuan, justeru nama Carrisa menjadi pilihan untuk butiknya.
“Dah lama saya mengidam nak anak perempuan, tetapi belum ada rezeki. Justeru, saya abadikan nama tersebut pada butik. Ia juga ibarat baby saya yang ‘sulung’.
“Awalnya saya tercari-cari apa bisnes yang mahu diceburi. Sehinggalah saya pulang dari mengerjakan umrah, tergerak hati untuk memakai hijab dan suami turut memberi sokongan.
“Jadi saya terfikir ada baiknya jika saya membuka butik menjual tudung dan pakaian. Alhamdulillah suami menyokong pilihan saya ini. Dia banyak membantu terutama dalam pengurusan dan juga modal. Kebetulan saya tidak membuat sebarang pinjaman, segala modal adalah hasil simpanan saya sendiri dan bantuan suami,” jelas Zurin lagi.
Selama 6 bulan dia memulakan bisnes secara online dan dalam masa yang sama turut mencari tapak untuk membuka butik. Cita-cita itu akhirnya terlaksana apabila butik yang diimpikan selama ini berjaya dimiliki pada tahun 2015. Kini Zurin Zakaria mampu tersenyum lebar dengan kejayaan butiknya yang kini terletak di The Strand, Kota Damansara yang menyajikan pilihan buat pelanggannya.
“Walaupun sudah bertapak dalam bidang ini, namun saya mahu pastikan bisnes ini bertapak lama. Saya mahu pastikan apabila sudah naik, saya akan berada di atas. Namun dalam masa yang sama, saya tetap ‘pandang ke belakang’ untuk melihat apa yang terkurang atau perlu diperbaiki.
Perancangan saya, mahu melebarkan sayap sehingga ke luar negara. Dalam masa yang sama, saya pastikan kualiti produk terjamin supaya pelanggan berpuas hati. Harga juga mampu milik dan konsisten setara dengan kualiti yang kami tawarkan.
“Boleh dikatakan kami lengkap dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kami ada segala-galanya di bawah satu bumbung. Selain hijab, pakaian, kami juga menawarkan kosmetik. Bahkan, staf kami boleh membantu mencadangkan apa jenis kosmetik yang sesuai dengan pilihan busana. Jadi, pelanggan tak perlu pergi ke dua tiga tempat kerana di sini sudah ada segala-galanya,” jelas Zurin yang cukup cerewet dan sentiasa memastikan bahan yang digunakan tidak mendatangkan kesan buruk pada pelanggan.
Ditanya berkenaan pengusaha produk lain yang banyak menggunakan selebriti, akui Zurin mereka juga bakal berbuat demikian. Namun masih dalam proses memilih dan setakat ini dia memilih untuk berkolaborasi dengan juru mekap profesional dalam menggunakan produk Carrisa.
Memiliki staf seramai 5 orang untuk butik, manakala untuk kosmetik pula 3 orang. Selain itu, Carrisa juga memberi fokus kepada online dan website. Terbaru, dia turut membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen mahupun stokis bagi produk berkenaan. Selain memberi fokus pada ready to wear, Butik Carrisa turut menyediakan blaus, palazo, skirt dan pelbagai jenis selendang yang boleh disuai padan dengan gaya harian wanita. Biarpun setiap rekaan diberi sentuhan, moden namun tidak keterlaluan. Itu yang dititikberatkan oleh Zurin supaya sesuai dengan cita rasa pelanggan.
“Sejujurnya, saya tidak mahir dalam rekaan fesyen kerana latar belakang dalam perniagaan namun minat mendalam menyebabkan saya berusaha untuk belajar. Pengalaman mengendalikan bisnes suami menjadi panduan kepada saya dalam menguruskan bisnes ini. Dalam masa yang sama, saya turut mendapatkan pendapat dan pandangan daripada kawan-kawan yang lebih awal terbabit dalam bidang ini,”ungkap Zurin sebelum mengakhiri perbualan.