Tidak lama lagi anak-anak kita akan kembali ke sekolah setelah puas “bercuti” sekian lama, apabila sekolah diarahkan tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik COVID-19.
Jadi tidak hairanlah mungkin ada antara anak-anak kita sudah lama menyimpan rindu untuk bertemu kawan-kawan dan ingin kembali merasai suasana kemeriahan dan keseronokan berada di sekolah seperti dulu-dulu.
Bermacam-macam kenangan dapat dicipta selain belajar bersama kawan-kawan yang tentunya tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Contohnya apa yang dibuat ketika waktu rehat, masa cikgu tidak masuk kelas sebab ada mesyuarat dan bermacam-macam lagi.
Bercerita tentang keseronokan di zaman sekolah, kita sendiri pun ada memori indah dan kenangan manis zaman persekolahan. Biar sudah puluhan tahun meninggalkan bangku sekolah, namun kenangan itu tidak pernah pudar dari ingatan.
Jadi jom kita imbas kembali antara kenangan zaman sekolah yang paling best yang kita telah lalui bersama.
1. Susu Kotak
Ingat lagi tak dengan susu kotak yang ada diberikan secara percuma untuk kawan-kawan kita yang turut mendapat bantuan RMT, dan untuk pelajar lain boleh beli susu tersebut dengan harga yang sangat murah, tidak silap RM0.30 sekotak. Sebelum beli kita kena isi borang dekat cikgu dan masa nak dapat susu tersebut seronoknya bukan main lagi. Maklumlah cikgu panggil nama sorang-sorang yang beli untuk ambil susu, bila sudah dapat minum sama-sama dengan kawan-kawan.
2. Lori Milo
Bila dapat tahu daripada cikgu kata esok lori Milo datang sekolah, memang bersemangat pagi tu nak pergi sekolah. Maklumlah dapat air Milo percuma, siapa tak nak kan. Rasanya pula memang sedap, sejuk dan pekat. Kalau boleh lepas minum secawan rasa nak lagi dan lagi. Tapi cikgu kata seorang sekali je boleh ambil air milo tu. Tapi ada sahaja dikalangan kawan-kawan yang buat-buat tak tahu je, tetap beratur sekali lagi walau pun terpaksa beratur panjang.
3. Bawa Bekal Makan Ramai-ramai
Bila dengar sahaja loceng rehat berbunyi, berlari semua orang sebab nak ‘cop’ tempat makan. Lokasi paling menjadi ‘buruan’ bawah pokok. Biasanya kita akan bawa bekal masing-masing dan makan bersama kawan-kawan rapat. Bila lihat bekal makanan yang dibawa oleh kawan nampak sedap, mulalah ada yang mengendeng nak rasa. Memang bestlah makan kongsi-kongsi.
4. Cikgu tak masuk kelas
Boleh dikatakan waktu paling seronok adalah waktu bila semua cikgu ada mesyuarat tak masuk kelas. Jadi pengawas dan ketua kelas akan jaga kelas dan duduk di tempat guru. Siapa buat bising namanya akan ditulis atas kertas, konon akan bagi pada guru disiplin untuk tindakan. Pengawas ni siap pegang bulu ayam lagi dan ketuk meja konon nak tunjuk garang. Tapi ada juga pengawas yang sekepala, dia pun ikut sama main. Habis bising satu kelas jadinya.
5. Projek Nilam
Siapa rajin membaca mesti pernah dapat sijil Nilam ni. Tapi betul ke baca tu? Nak penuhkan buku Nilam pergi perpustakaan cari buku yang ada sinopsis kemudian salin bulat-bulat sinopsis tu. Semua pernah buat kan?
Paling seronok bila nama kena panggil untuk dapat hadiah, maklumlah buku nilam kita yang paling penuh, bukan satu tapi dua tiga buku Nilam!
6. Check gigi
Dalam ramai-ramai kawan kita mesti ada yang takut sampai menangis bila nampak doktor dan jururawat datang sekolah untuk check gigi. Ingat lagi, terasa sejuk tangan dan jantung berdebar sahaja ketika tunggu giliran untuk nama dipanggil. Lagi-lagi bila nampak ada kawan yang berdarah mulut sebab cabut gigi, memang kalau boleh nak lari balik rumah je rasanya masa itu.
7. Pertandingan Hias Kelas
Setiap minggu akan ada pemenang kelas terbersih. Jadi berlumba-lumba hias kelas untuk pastikan kelas kita jadi juara. Cikgu pun tak kurang juga bagi semangat, pasang langsir cantik, meja mesti ada skirting, kat belakang akan ada board untuk setiap subjek dan paling penting duty roaster siapa yang bertugas. Bila cikgu yang check markah datang kalau boleh semua sampah sumbat dalam meja sebab takut markah sikit.
8. Rombongan Sekolah
Memang seronok ikut rombongan sekolah ini tapi yang kelakarnya, malam sebelum bertolak mesti tidak boleh tidur. Punyalah semangat hendak bercuti dengan kawan-kawan. Selalunya rombongan sekolah ni rombongan sambil belajar. Kita akan pergi Pusat Sains Negara, Muzium,Tugu Negara dan macam-macam lagi.
Sumber Foto : Lakar Media
ARTIKEL MENARIK:“Niat Asal Cuma Cuci Mata, ‘End Up’ Ada Juga Beli Barang Tak Perlu…” -Elak Boros Begini Boleh Buat!
LAGI ARTIKEL MENARIK :“Rumah Persaraan Sebaiknya Kecil & Setingkat Sahaja”-Dr Azizul Azli Jelaskan Cara Nak Persiapkan Rumah Persaraan!
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!
Yuran hanya RM30.00 sahaja terhad untuk 50 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club