Nekad Berhenti Kerja & Kini Jual Kek Demi Jaga Mak Sedang Sakit, Kisah Lelaki Ini Sangat Berinspirasi!

Share

Berkorban apa sahaja, demi yang tersayang. Demikian juga dengan lelaki ini. Dek kerana keadaan kesihatan ibunya, Fatimah Ariffin, 64, yang menghidap penyakit buah pinggang semakin merosot sejak tiga tahun lalu, Azrul Nizam Azali, 27, mengambil keputusan berhenti kerja.

 

 

Dia yang dari Kampung Tengah Kuala Sungai, pernah bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak di Terengganu. Namun memilih untuk  meletakkan jawatan dan tinggal di kampung demi menjaga ibunya.

Menurutnya, sejak itu dia belajar cara membuat kek dan biskut melalui Internet selain mengikuti kelas masakan bagi menjana pendapatan.

“Apabila mahir, saya mempromosikan perniagaan kek secara dalam talian walaupun pada mulanya malu kerana bimbang tiada pelanggan.

“Alhamdulillah kini saya mampu menjadikan perniagaan kek sebagai punca pendapatan bagi membiayai perubatan emak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya lagi.

Anak keenam dari tujuh beradik itu berkata, dia menjadikan bilik di tingkat bawah rumahnya sebagai tempat simpanan ubat ibunya yang kelihatan seperti mini klinik.

Dalam pada itu, abang abang kelimanya, Azmaruddin, 29, juga tidak sihat apabila menghidap kencing manis kronik. Kini, Azmaruddin terlantar selepas terjatuh ketika memasang langsir sekitar Oktober tahun lalu.

Menurut Azrull lagi, kakak iparnya, Siti Aminah Ishak, 28, tidak bekerja dan ada dua anak, Muhammad Adiy Wafii, 8, dan Muhammad Azam Qhalif, 5, yang bersekolah.

Menurutnya, adik-beradiknya yang lain sudah berkeluarga dan hanya membantu mengikut kemampuan, manakala adik bongsu masih belajar.

“Saya tak sanggup lihat penderitaan abang yang sebelum ini menyara keluarga dengan berniaga aksesori telefon bimbit secara bergerak.

“Sejak dia sakit, mereka hilang sumber pendapatan. Jadi saya berkorban membantu keperluan rawatan mereka mencecah RM1,000 sebulan,” katanya.

Azrul Nizam berkata, ketika abangnya mula-mula sakit, doktor membuang lapan liter nanah di paha dan kaki kiri selain tangan kanan akibat diabetes di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Katanya, abangnya perlu menjalani rawatan susulan secara mingguan di HSAH serta rawatan fisioterapi di Hospital Yan untuk memulihkan pergerakannya.

“Abang bergerak dengan kerusi roda dan perlu penjagaan rapi untuk menguruskannya.

“Saya harap menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk meringankan beban kerana ayah ( Azali Md Zain, 68) juga tidak lagi bekerja,” katanya.

Dari luaran mungkin tampak biasa. Dalaman hanya Allah yang tahu apa isinya, Akui Azrul dia cukup bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusannya.

“Saya sangat bersyukur dengan limpah kurnianya selain terharu sangat ada beberapa pihak yang datang membantu meringankan beban saya selama ini selain hantar beberapa wakil untuk dengar keluhan isi hati saya selama ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik anda… Insyallah…

“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kesihatan saya untuk terus sihat menjaga ibu serta  abang  saya yang kini terlantar sakit. 

“Airmata akan berbicara saat mulut tak mampu lagi menjelaskan semua rasa sakit . tuhan itu lebih tahu apa yang diinginkan oleh hamba-nya dan kita meminta kepada-nya,” ujar Azrul lagi menerusi laman facebooknya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menghubungi Azrul Nizam di talian 017-4264852 atau akaun Maybank miliknya, 152125185346.

Sumber: Harian Metro & Facebook Azrul Nizam Azali.