Nasihat Tak Nak Dengar! Isteri Kasi Kek Berbentuk Kubur Pada Ulang Tahun Suami Yang Suka Memandu Laju

Share

Setiap pasangan pasti akan meraikan hari bersejarah pasangan untuk dijadikan sebagai momen terindah dalam diari kehidupan. Ada yang meraikannya dengan pelbagai cara, malah ada yang sanggup keluar ribuan ringgit bagi memastikan majlis tersebut disusun indah.

Sambutan hari ulang tahun insan tersayang biasanya disambut dengan pelbagai cara penuh bermakna. Tetapi lain orang lain caranya. Ada yang suka disambut sederhana dan ada juga mahu disambut meriah.

Terbaharu, seorang wanita telah meraih perhatian warga TikTok apabila memuatnaik video sambutan hari lahir suaminya.

Apa yang menjadi perhatian ramai apabila dia menempah sebiji kek berbentuk binaan kubur dihiasi sebuah kereta bersama replika buku Yasin bagi menyambut ulang tahun kelahiran suaminya Muhammad Faris Mohd Kahni yang ke-27.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Cikna atau Nur Nadhirah Syuhadat Rahmat, 24, menceritakan semula kisah di sebalik video yang mencuri tumpuan warga TikTok.

Rupanya-rupanya hadiah kek seperti itu ada kaitan dengan minat suaminya yang gemar menyertai aktiviti lumba kereta.

“Hari lahir suami jatuh pada hujung tahun (26 Disember). Jadi untuk tahun ni saya bagi kek tu sebab dia banyak sangat modified kereta nak bagi laju dan suka race (lumba kereta).

“Nasihat saya dia tak dengar, alang-alang nak bagi kek hari jadi, saya pun tempah kek macam tu supaya dia beringat. Bahaya pandu kereta laju-laju sebab mati tak kira muda atau tua,” ujarnya.

Menurut Cikna yang memiliki empat cahaya mata ini, kek tersebut ditempah khas dengan memberikan gambar-gambar contoh kepada pembuat kek, Farah Wahida.

Namun, dia sendiri tidak menyangka bakal menerima kek dengan sebuah kubur sangat besar berbanding objek lain yang ada sebagai hiasan.

“Saya bagi gambar contoh biasa saja tapi tak tahu pula bila siap kubur tu besar. Terkejut juga masa dia hantar kek tu. Tapi cantik dan sangat kemas hasil tangan dia.

“Masa minta Farah buatkan kek tu dia ikutkan saja sebab semua kek dia mampu buat. Saya suka sangat berurusan dengan dia. Lagipun kek dia semua sedap,” ujarnya.

Kata Cikna, kek yang dianggap menyeramkan ini diberikan kepada Faris sebagai kejutan pada hari lahirnya.

Tujuannya, dia memilih kek berbentuk kubur ini sebagai peringatan kepada suaminya yang mempunyai hobi merbahaya ini supaya ingat tentang nasib isteri dan anak-anak.

Nampak macam kasar dan kelakar tapi cukup kami saja yang tahu tujuannya.

Imbasnya yang menetap di Marang, Terengganu itu lagi, dia berasa lega apabila suaminya tidak menganggap hadiah tersebut sebagai sindiran malah sebaliknya.

“Saya minta suami tutup mata masa nak keluarkan kek tu. Lepas buka mata dan nampak kek tu dia terkejut lepas tu ketawa.

“Dia okey saja terima dengan hati terbuka tengok kek tu sebab tahu apa yang isteri dia nak ingatkan. Saya pun bukan nak minta bukan-bukan terjadi dekat dia, cuma bagi peringatan saja.

“Dia cakap ‘Eh lawanya kek kubur ni sayang. Wow sekali ada kereta’. Saya pun gelak tengok reaksi dia. Tapi dalam seronok tu kami seram juga tengok kek tu sebab terus ingat kematian. Masa nak potong tu suami siap baca surah al-Fatihah,” ujarnya.

Tambah wanita yang sudah berumah tangga lebih 10 tahun itu, kek berperisa pandan itu habis dimakan ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang turut meraikan hari ulang tahun suaminya.

Sumber : Tiktok Cikna / MStar

Mesti Baca :