Bagi sesetengah orang, umur mungkin sekadar angka. Namun realitinya, angka tersebut saban tahun berubah dan bertambah. Seiring dengan pertambahan tersebut, kena ada perubahan dalam diri. Nak nak lagi apabila sudah memasuki separuh abad.
Mencecah usia 50 tahun, anda akan memasuki fasa usia tua atau warga emas. Berada pada separuh abad, mungkin juga tahap saki baki usia maka setiap waktu dalam fasa ini seharusnya digunakan dengan bermanfaat.
Yang dah 50 tahun tu mula-mulalah berlatih. Yang dah hampir 50 tahun boleh bersedia. Yang lambat lagi nak ke umur 50 tahun boleh kongsi dan bantu mak ayah jika masih ada.
Berikut adalah beberapa nasihat berguna daripada Pakar Runding Obstetriks dan Ginekologi (O&G), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj untuk yang bakal atau sudah memasuki usia 50 tahun. Bukan tentang kesihatan tapi hidup secara keseluruhannya.
1. Masa mengumpul harta sudah habis.
Fokus sekarang untuk gembirakan orang lain. Sekarang bukan masa untuk cari harta saja.
2. Jangan tinggalkan apa-apa untuk anak-anak.
Mereka perlu usaha dan cari sendiri . Rancang bagaimana belanjakan duit simpanan. Anda patut gembira kan hidup anda dan ganti apa yang tak dapat buat sebelum ini. Kalau mampu pergilah melancong.
Jangan tinggalkan apa-apa kepada anak-anak yang boleh buatkan anak-anak bergaduh. Dengan meninggalkan sesuatu akan bawa masalah bila anda sudah tiada nanti.
3. Buat kerja jangan bertangguh
Lakukan pada saat ini dan sekarang, bukan semalam dan esok. Hanya hari ini sahaja yang anda boleh kawal. Semalam telah pergi dan esok mungkin takkan berlaku.
4. Didiklah anak cucu dengan agama
Bergembira dengan cucu-cucu (jika ada) tapi jangan jadi “full time baby sitter”. Itu bukan tanggungjawab anda untuk jaga mereka. Jangan rasa bersalah kerana tidak menjaga anak sesiapapun termasuk cucu sendiri.
Tanggung jawab anda adalah terhadap anak-anak anda. Selepas mereka dewasa dan menjadi ibu bapa tugas awak telah tamat. Biarkan anak-anak anda sendiri yang jaga anak-anak mereka.
5. Kalau sakit bersabarlah
Terimalah sakit dan lain-lain kelemahan fizikal. Ia adalah sebahagian daripada proses meningkatnya umur. Bersyukur dengan keupayaan kesihatan yang anda ada.
6. Dunia bukan tempat kamu dapat apa yang kamu hendak
Kenali siapa diri anda dan apa yang anda ada sekarang. Jika anda tidak mendapat apa yang anda mahu, ketahuilah itu semua sudah terlambat.
7. Bersamalah dengan mereka yang ikhlas menyayangi anda
Berbahagialah dengan pasangan anda, anak-cucu dan sahabat-sahabat anda. Merekalah yang betul-betul sayangkan anda, sayang anda seadanya.
8. Berlapang dadalah
Memaafkan dan terima kemaafan. Maafkan diri sendiri dan orang lain. Lapangkan minda dan hati.
9. Segeralah membina akhirat anda.
Berkawanlah dengan kematian. Ia kitaran semula jadi dalam kehidupan. Jangan takut akan ia. Kematian ialah permulaan hidup yg lebih baik. Jadi bersedialah! Bukan untuk mati tetapi untuk bertemu Yang Maha Esa Allah Swt.
10. Bayangkanlah kegembiraan hidup di syurga yang kekal.
Hiduplah dengan aman bersama Yang Maha Esa. Untuk Dialah yang anda ada setelah anda meninggalkan dunia ini.
Petikan:
PROFDR. HARLINA SHIRAJ.