Sebelum ini pernah tular telefon bimbit yang dicas ketika tidur meletup. Namun siapa sangka, selagi tak kena batang hidung sendiri selagi tu la akan buat kan? Betul tak?
Itulah yang dialami sendiri oleh seorang pengguna Tiktok yang memuat naik gambar telefon bimbitnya yang terbakar akibat meletup ketika cas semasa tidur.
Menerusi perkongsian itu, jelas menunjukkan keadaan telefon bimbit telefon hangus sehingga membuatkan pemiliknya, Muhammad Irfan Aiman Mohd Sobri serik untuk mengecas ketika tidur.
Malah, peristiwa itu telah membuatkan remaja berkenaan tidak berani untuk tidur dalam bilik berkenaan sambil menceritakan kejadian sebenar.
“Saya sudah serik untuk mengecas telefon bimbit ketika tidur dan buat masa ini tak berani nak tidur dalam bilik berkenaan kerana teringat apa yang berlaku.
“Saya memang tak sedar apa yang berlaku sehingga 5 pagi, itu pun selepas kakak kejut untuk bangun.
“Waktu itu, bilik sudah dipenuhi asap jadi saya pun segera keluar untuk selamatkan diri dan mengelak sesak nafas,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Irfan Aiman memanjatkan kesyukuran kerana dirinya selamat dan masih dipanjangkan usia selain tidak berlaku kebakaran besar akibat insiden melibatkan telefon bimbitnya yang telah digunakan sejak dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, Allah lindungi saya cuma apa yang berlaku itu akan beri pengajaran buat saya untuk tidak mengecas telefon bimbit ketika tidur atau bermain dengannya ketika proses pengecasan,”luahnya.
Sementara itu, kakaknya, Nurain Najihah tidak menyangka video yang dimuat naiknya menerusi TikTok miliknya tular, sedangkan niatnya hanya sekadar mahu memberi peringatan kepada orang ramai.
“Tak sangka boleh tular kerana saya kongsikan video itu supaya ramai lebih berhati-hati.
“Ia kerana insiden itu sudah berlaku kepada adik saya sendiri jadi tak nak ia terjadi kepada orang lain.
“Setakat ini, tiada yang kecam sebaliknya ramai kongsi ada tabiat sama (mengecas telefon ketika tidur) dan mahu mengubahnya (tabiat) demi kebaikan kerana bimbang berlaku kejadian tak diingini,” katanya.
@nurain.najiiha allah 😭😭,first & last jadikn pengajaran 🙏🏾#fypシ゚viral #foryou #overnightcas #meletopkebaboo ♬ Syi’ir Tawasul Al-Rifa’ie – Al-Rifa’ie Satu
Meninjau di ruangan komen Tiktok tersebut, ada yang mencadangkan untuk memakai wayar USB yang auto cut bila bateri sudah penuh. Tidak kurang juga ada yang menasihatkan jangan letak di atas katil khuatiri kejadian seperti ini akan berulang.
Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam), TikTok @nurain.najiha