Pernah tak mengalami masalah pendengaran apabila menghidapi selesema. Sebenarnya ia ada kaitan dengan saluran hidung dan telinga.
Nak tahu lebih lanjut, ikuti perkongsian oleh seorang doktor pakar ENT, Dr Ezairy M.Sallih
“Doktor, kenapa setiap kali saya selesema sahaja, mesti telinga jadi tak dengar? Tak lama lepas itu, tekak pula rasa tak selesa?”
Soalan seperti ini bukanlah jarang untuk saya temui di mana-mana. Sama ada di media sosial atau di hospital. Ramai pesakit saya sering alami masalah ini. Bukan anda sahaja.
Gambar ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa tekak, leher, hidung, mulut dan telinga kita ini sebenarnya saling berhubung dan berkait antara satu sama lain.
Maknanya, sekiranya anda, pasangan atau anak anda ada alami masalah pada salah satu sistem ini, besar kemungkinan tak lama selepas itu, bahagian lain pula akan alami masalah. Ini boleh berlaku, jadi jangan jadi terlalu terkejut.
Hidung kita contohnya, ia bersambung dengan telinga melalui suatu bukaan saluran yang dipanggil sebagai ‘Eustachian tube’ (boleh rujuk pada gambar).
Oleh itu, apabila berlaku sebarang masalah atau jangkitan pada hidung, ia akan mudah untuk pergi ke telinga.
Sebab itu, apabila kita selesema atau hidung tersumbat, tak lama lepas itu telinga juga boleh jadi rasa tak dengar dan macam ‘block’.
Sebab itu juga apabila lama sangat sakit tekak dan selesema, telinga juga boleh jadi sakit lepas itu. Pernah rasa kan?
Semoga perkongsian kali ini ada sedikit manfaat untuk kalian. Sila kongsi kepada mereka yang anda sayang. InsyaAllah ada kebaikan untuk lebih ramai orang.
Kredit: Dr Ezairy M.Sallih
Bercerita tentang ciptaan Tuhan