“Nak Yang Terbaik Untuk Anak.” Liza Abdullah Urus Majlis Kahwin Anak Bersama Bekas Suami, Terkilan Tak Dapat Jemput Ramai!

Share

Meskipun sudah berpisah sejak 2014, hubungan pelakon era 1980-an, Liza Abdullah dengan bekas suami tetap baik.

Malah kemanisan antara keluarga Liza dan bekas suami jelas terserlah ketika meraikan perkahwinan anak keduanya itu.
“Hubungan saya dengan keluarga bekas suami masih macam dulu. Keluarga saya dan bekas suami sama sama nak yang terbaik untuk anak kedua biarpun semuanya berlangsung dalam serba sederhana.

“Ada yang sudi membantu dan menaja. Biarpun anak kedua saya tak bertunang dan hanya diadakan majlis merisik sebelum ini, saya sebagai ibu bersyukur dan berharap jodohnya akan sampai ke jannah.

“InsyaAllah bulan Disember ini, anak lelaki sulung, Zulhaffiz Zariq pula akan berkahwin,” katanya.
Menerusi perkahwinannya dengan Zolkefli, Liza dikurniakan empat anak. Tiga daripadanya lelaki termasuk Zulsyahmi Naqib dan Zulsyahmi Afiq

Pelakon yang kini sedang hot dengan drama 7 Hari Mencintaiku 2 menerima menantu sulungnya apabila anak perempuan tunggal kedua, Nurnaffiz Syahiddah Zolkefli, 27, melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Syahidan Rosli.
Majlis berlangsung di rumah ibu saudara pengantin perempuan di Shah Alam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Malah di majlis pernikahan itu, pemilik nama penuh Norliza Abdullah itu tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak dan bercampur baur.
“Perancangan asal memang nak buat majlis di dewan besar. Berangan nak buat majlis serba meriah. Tanpa diduga kita diuji dengan pandemik Covid 19. Jadi agak kucar kacir perancangan yang ingin dibuat.

“Malah dengan keterbatasan dan ujian melanda banyak perkara yang tak dapat dipenuhi. Nak jemput ramai tetamu pun tak boleh. Memang ada yang terasa hati dan ralat tak dapat undangan. Tapi saya harap mereka semua dapat memahami situasi kita kini.

“Namun saya tetap bersyukur majlis berlangsung dengan seadanya. Malah teman rapat seperti Datuk Shah Rezza dan Datuk Ziela Jalil serta kenalan lain ada hadir dan menyokong,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Liza bersyukur kerana ukhuwahnya dengan teman baik seperti Shah Rezza dan Ziela Jalil bertahan hingga hari ini.

“Usia persahabatan kami sudah mencecah lebih 30 tahun. Merekalah teman saya berkongsi suka duka, bergaduh manja, bertekak sampai baik balik. Dari zaman saya solo, berkahwin, berpisah hingga ke mahkamah, Shah Rezza dan Zielalah yang setia menemani.

“Shah Rezza sendiri antara teman yang selalu buat majlis atau acara untuk menyatukan kami dengan kawan lain,” kata.

Liza hingga kini juga terus aktif berlakon dan diberikan watak. Malah katanya, jadual berlakonnya sampai bulan November depan sudah penuh. Beliau juga mempunyai kelab peminat di bawah akaun Instagram @lizzaabdullah_fc

Liza juga memaklumkan dia dan Ziela akan memasarkan produk susu kambing mereka di bawah jenama Lala (gabungan nama mereka, Ziela (La) dan akronim Liza Abdullah (La) tak lama lagi.

Sumber gambar: lizzaabdullah_fc