Bila dah ada keluarga sendiri, nak balik kampung ramai yang memilih untuk duduk di homestay atau hotel untuk keselesaan keluarga kecil mereka. Manakan tidak, mesti adik beradik kita akan balik juga dan jika ruang di rumah agak sempit, boleh timbul ketidakkeselesaan pada semua. Belum lagi dikira lagi tentang aurat, kena sentiasa terjaga bertudung jika ada ipar lelaki.
Tapi… Kena lah maklum pada orang tua. Jangan biarkan mereka kecil hati jika baru dapat tahu niat anda tidur di tempat lain selain rumah mereka itu.
Ini yang berkeluarga besar, yang mana anak tunggal tu, jika tidak selesa di kampung, anda adalah individu penting untuk cari keselesaan itu. Seperti mana pengajaran yang dibawakan oleh arwah cikgu Abd Ghani Haron melalui hantaran yang dibuat oleh seorang Admin di laman Facebooknya ini mungkin boleh dijadikan iktibar buat semua yang bakal pulang ke kampung untuk bercuti raya.
Seorang wanita yang lebih tua dari saya yang berjemaah solat, berbual lepas solat ketika saya berada di motor untuk balik. Saya bertanya tentang sambutan raya dan hal anak tunggalnya. Air mukanya berubah.
Katanya, “Dia sampai balik pagi raya dengan anak bini. Katanya tak cuti dan jalan jem. Takpalah, asal dia balik. Petang raya, dia kata nak pi rumah mentua dan tidoq di sana, di Kg Tongplu, dekat Pedu.
“Saya tak kata apa. Tapi masa depa nak naik kereta, cucu saya bertanya mak dia, kita nak tidur di hotel semalam ka? Mak dan bapa dia diam tetapi saya sempat melihat menantu saya membeliak mata pada anaknya.”
Sampai di sini dia berhenti bercakap. Dia tunduk dan mula mengesat air mata dengan hujung telekung yang masih dipakai. Saya faham anaknya sebenarnya bermalam di hotel dan pagi itu baru balik ke rumah orang tuanya. Kes pecah tembelang.
Ads
“Hinanya kami mak bapa dia. Bapa yang membesaqkan dia, yang mendodoikan dia dalam kain sentung, menepuk hingga lena dalam kelambu takut digigit nyamuk. Hinanya emak dia yang dia gonggong susunya hingga bertahun, disuap nasi hingga membesaq, hinakah kami yang beri dia sekolah dengan titik peluh kami.
“Saya tahu, depa jijik tengok dapur saya, jijik bilik ayaq dan jambannya, jijik bilik tidur yang panas bertilam kabu. Tapi depa tak sedaq mereka membesaq dengan keadaan itu, tapi hari ini depa pandang jijik.
“Itu sebab depa tak mau tidok rumah ibu bapa sendiri, mereka tidok hotel. Bukan tak ada tempat di rumah tu, kerana dia anak tunggal. Tergamak dia.” Kesedihannya makin berlarutan.
Wahai anak, bukanlah perkataan dari lidahmu sahaja boleh melukakan hati ayah bondamu, bukanlah tingkah lakumu sahaja boleh mengguris hati emak ayahmu, tetapi tindakanmu juga boleh merobek hati kecil mereka.
Jika biasa dengan kemewahan di rumah sendiri, jangan mengharap yang sama di rumah ayah bonda. Kita dibesar dengan kepayahan ayah bonda, sesekali laluilah kembali.
Ads
Jika kita rasa tidak selesa di rumah ibu bapa, kenapa kita biar mereka hidup tidak selesa, kenapa tidak diupgrade rumah ibubapa seperti rumah kita.
Ingat kekayaan yang kita miliki sebenarnya berpunca dari pengorbanan ayah ibu yang menyekolahkan kita. Maka sepatutnya mereka hidup lebih selesa dari diri kita kerana mereka yang melabur harta dan tenaga untuk mencipta kejayaan kita, tetapi hasilnya kita kaut semuanya, meninggalkan ayah ibu dengan hidup di rumah tuanya.
Apa juga perkara yang kita rasa jijik pada kehidupan ibu ayah kita, sepatutnya dibeban kepada diri kita, bukan melarikan diri dari keadaan itu. Dalam kes ini, tidur di hotel kerana tak sanggup tidur di rumah ayah yang penuh geli geleman pada kita.
Jika anak-anak tidak dididik untuk merasa kepayahan orang lain, suatu hari mereka tidak akan mampu hidup bila ditimpa kepayahan. Jika anak dididik merasa jijik dengan apa yang orang lain lalui, apa lagi keturunannya, suatu hari nanti, mereka akan memandang jijik kepada seluruh mereka yang miskin.
Ads
Betapa ibu ayah mengharap anak yang pulang sesekali, menghidupkan kembali suasana rumah yang sunyi setelah anak berkeluarga. Tidurlah semalam dua, makan bersama, berkongsi bilik air dan bilik tidur dan sebagainya.
Jika terasa payah pun, biarlah demi menjaga hati emak ayah, janganlah merungut tidak sempurna itu ini. Mungkin emak ayah teringin naik kereta baru kita, bawalah mengunjung saudara mara, mungkin mereka sedikit ingin berbangga dengan kejayaan anak, bawalah bertandang, bershopping.
Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang baik kerana berkunjung mengerat silaturrahim, menggembirakan ayah ibu.
Jangan jadikan kunjungan beraya ke kampung menjadi gurisan tajam ke hati ibu ayah yang akan memahat dosa yang besar.
Tidak salah tidur di hotel atau homestay jika keadaan rumah tidak muat kerana ramai, mohon izin dengan baik pada ibu ayah. Mereka tentu memahami.
Menipu itu ibarat bangkai, yang amat mudah tercium busuknya, apa lagi bila Allah hendak membukanya. Bertindaklah dengan rasional, ibu ayah itu keutamaan.
Ingat suatu hari nanti kita juga akan berada di situasi ibu ayah kita.
Anaklah adalah penyeri buat rumahtangga. Gelak tawa anak-anak sudah tentu memberi kegembiraan buat setiap pasangan suami isteri. Malah sejak lahir anak dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh.
Malah hinggakan setiap permintaan anak dipenuhi akibat terlalu sayang. Apa yang anak minta diberi tanda kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Namun kadang kala, kita alpa bahawa kasih sayang terlalu berlebih-lebihan akan menjejaskan jati diri anak itu. Bahkan anak memberi kesan kepada masa depannya.
Begitulah yang diperkatakan oleh DrShukri Abdullah yang menegaskan apabila terlebih sayang pada anak, ibu bapa hilang pertimbangan.
Apa yang disentuh oleh beliau pastinya berlaku dalam masyarakat kita yang kita anggap biasa-biasa aje tetapi sebenarnya bakal memberi impak kepada diri anak itu.
Moga muhasabah diri dalam mendidik anak-anak.
______________________________________
Terlebih Sayang Anak Sehingga Hilang Pertimbangan.
– Minta hphone belikan tanpa banyak soal – Tonton TV hingga tgh mlm dibiarkan – Tak pernah tolong bantu mak ayah buat kerja di rumah pun tak kisah – Nak keluar dgn bf/gf tidak dipersoalkan – Rumah dekat minta nak beli motorsikal ke sekolah sutuju aja – Main game hingga lewat tengah malam tegur gitu-gitu saja – Abaikan solat sekadar menegur tetapi tidak serius bertindak . Kenapa ? TERLALU SAYANGKAN ANAK !
Itu kita kesihan tengok karenah mak-ayah begini yang terlalu manjakan anak, beri semua apa yang anak nak, ikut orang kebanyakan dalam mendidik anak, langsung tidak tegas dengan anak … dan tidak sedar mereka sedang mengumpul pelbagai masalah ibarat “api dalam sekam” untuk mereka sendiri tangani sampai akhir hayat. Menyesal kemudian tidak berguna. . Biar anak marah kita sekarang. Malah biar mereka benci kita sekarang. Percayalah sekiranya kita tegas (bukan garang tidak bertempat) nescaya mereka akan berterima kasih pada kita apabila mereka besar nanti, lebih-lebih lagi apabila mereka ada anak sendiri nanti.
Bagi pasangan yang telah berkahwin, sudah semestinya mahukan anak sebagai penyambung warisan dan sekali gus menyempurnakan dan menceriakan lagi rumah tangga yang dibina.
Pun begitu, rezeki setiap antara kita berbeza. Ada yang dikurniakan anak dalam tempuh yang cepat dan tidak kurang pula ada yang perlu menunggu dalam tempoh yang lama untuk menimang cahaya mata.
Umpamanya bagi Mohd Saiful Azmi Shamsudin Khan yang dianugerahkan anak sulung ketika berusia 43 tahun setelah 15 tahun menanti.
Kehadiran Putri Edreehana Masyael yang kini berusia dua bulan disifatkan hadiah teristimewa dalam hidup pemandu lori itu hasil perkahwinan keduanya selama tiga tahun bersama isteri, Mastura Pin, 46.
Kisah pasangan ini viral bila mana video dikongsikan oleh isterinya di akaun tiktok memperlihatkan Mohd Saiful Azmi yang sebak saat pertama kali melihat dan mendukung anak sulungnya itu meraih perhatian wargamaya.
Memetik berita di Harian Metro, Mohd Saiful Azmi berkata, dia tidak menyangka diberikan rezeki terindah itu ketika usianya mencapai 43 tahun, sementara isteri berusia 46 tahun.
Menurutnya, seperti lelaki lain dia juga mengimpikan zuriat daripada keturunannya, namun reda apabila rezeki itu tidak diberikan sebelum ini.
“Perkahwinan pertama selama 12 tahun berakhir kerana sudah tiada jodoh dan takdir menentukan saya tiada zuriat daripada ikatan itu sebelum bertemu jodoh dengan Mastura, ibu tunggal lima anak tiga tahun lalu.
“Ketika itu saya tidak fikirkan sangat soal anak kerana usia kami tidak muda lagi, malah sangat bersyukur dapat menumpang kasih anak tiri yang dianggap seperti anak sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, saat diberitahu isteri mengenai berita kehamilan itu, dia seolah-olah tidak percaya namun mengakui ia adalah hari terindah dalam hidupnya.
“Ini perkara teristimewa dalam hidup saya dan saat pertama kali melihat dan mendukung anak perasaan itu bercampur baur ada sebak, sedih, terharu dan gembira.
“Tak sangka selepas melalui pelbagai dugaan hidup Allah SWT hadirkan ‘puteri’ untuk saya. Apa yang Allah berikan ini mengingatkan saya kesabaran itu berakhir dengan sesuatu yang manis dan setiap perancangan ada hikmah-Nya,” katanya yang tinggal di Taman Pinji Mewah, di sini.
Menurut Mohd Saiful Azmi, kehadiran Putri Edreehana Masyael memberinya semangat untuk terus kuat mencari rezeki buat keluarga mereka, malah mengakui ‘sindrom’ bapa yang baru menimang cahaya mata juga sedang dilaluinya.
“Saya rindu bau ‘baby’, setiap hari perlu buat panggilan video dan saya akan cuba balik rumah juga untuk melihat anak kerana sebagai pemandu lori kontena dari Ipoh ke Klang saya selalu menghabiskan masa di jalan,” katanya.
“Lucu juga apabila di usia begini ada anak kecil..”
Berhubung videonya, Mohd Saiful Azmi berkata, pada mulanya dia agak malu kerana ia mendapat perhatian ramai, namun dia terharu selepas membaca semua komen positif yang turut gembira dan mendoakan mereka sekeluarga.
“Lucu juga apabila di usia begini ada anak kecil, malah ketika keluar ada yang tanya ‘baby’ anak atau cucu kerana janggut saya sudah beruban tetapi saya dengan senang hati beritahu itu anak,” katanya.
Sementara itu, Mastura berkata, hatinya tersentuh melihat reaksi suami yang melihat anak mereka di hospital, namun mengakui video itu dikongsi di TikTok hanya untuk menyimpan memori keluarga kerana bimbang video akan hilang di telefon.
Katanya, sepanjang tiga tahun melayari perkahwinan bersama, suaminya itu melayani lima anak serta empat cucunya dengan baik seperti keluarga kandung.
“Riak kegembiraan dan sebak memang jelas terpancar di wajah suami dan saya tahu dia sangat teruja kerana memegang zuriatnya sendiri.
“Sebenarnya saya takut juga hamil di usia 46 tahun tetapi saya tahu ini rezeki untuk kami terutama suami.
“Alhamdulillah proses melahirkan puteri kami berjalan lancar dan ini hadiah saya untuk suami,” katanya.
Hati mana tak sedih, jiwa mana tak pilu bila tak dapat peluang meraikan hari bahagia bersama orang yang tersayang. Saban tahun, kepulangan nak di hari raya adalah cukup dinantikan oleh ibu bapa di kampung.
Tahun ini merupakan tahun kedua semua umat Islam menyambut raya tanpa dapat pulang beraya di kampung.
Bagi yang tinggal bersama ibu bapa pasti tiada masalah, namun bagi anak-anak yang tinggal diperantauan, sekali lagi emosi cukup meruntun jiwa. Semuanya dek perintah pihak kerajaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi angkasawan negara, Dato Dr Sheikh Muszaphar, situasi ini turut dirasi. Namun dia dan keluarga mengambil langkah awal dengan pulang ke rumah ibunya lebih awal untuk bertemu dan bermaaf-maafan sempena raya yang bakal menjelang tak lama lagi.
Beraya tanpa Ibu. Malam terakhir bersama Ibu. Sebak di dada hanya Allah yang tahu. Tanpa Ibu tiada hala tuju. Walaupun rumah hanya berbatu, namun terasa sukar buat diriku.
Tabahlah wahai Ibu. Ia hanya untuk sementara waktu. Semoga Allah permudahkan dirimu. Ku panjat doa buatmu. InsyaAllah akan ketemu. Amiinn Ya Rabb.
Dalam perkongsiannya, beliau akui rasa sebak kerana tidak dapat beraya bersama ibu tercinta meskipun rumah mereka tidak jauh.
Sebagai anak, dia berharap semua ibu di luar sana tabah dengan apa yang berlaku.
Di samping itu, Dr Sheikh Muszaphar turut mengucapkan salam Ramadan buat keluarga mentuanya yang dipercayai menetap di Seremban.
Jelas Dr Sheikh Muszaphar dan isteri sudah setahun tidak pulang ke sana. Justeru, hanya doa dititipkan supaya keluarga di sana berada dalam keadaan sihat dan dipanjangkan usia.
Bak kata perpatah, kasih ayah sepanjang masa inilah yang membuatkan anak-anak manja dengan ayahnya. Tidak kira lelaki atau perempuan, mesti ada yang 'melekat' aje...