Nak Tempoyak Sedap & Tahan Lama, Ada Caranya Yang Ibu Patut Tahu!

Share

Musim durian kini sudah sampai ke penghujungnya. Maka tidak hairanlah jika dilihat di sana sini semakin berkurangan tidak semeriah awal bulan Julai yang lalu. Dan pastinya juga buat peminat durian sudah puas menikmati durian dengan pelbagai rasa dan jenisnya.

Selain durian enak dimakan begitu sahaja, tidak dinafikan menikmati tempoyak juga menjadi kesukaan ramai antara kita. Lebih-lebih jika dibuat sambal tempoyak, aroma dan rasanya cukup menyelerakan.

Istimewanya tempoyak yang dihasilkan daripada isi durian ini, ianya boleh disimpan hingga bertahun lamanya. Jadi peminat tempoyak tidak akan bimbang bila terasa teringin makan tempoyak walaupun bukan di musim durian.

Memandangkan masih ada saki baki musim durian, dan tidak menyukarkan ibu-ibu mendapatkan durian, ayuh kita buat tempoyak untuk simpanan sendiri.

Menurut Pak Tam ni cara buat tempoyak di rumah yang sering dibuat untuk pastikan bertahan lama.

1. Pilih isi durian yang molek sahaja.
2. Masukkan isi durian itu ke dalam bekas.
3. Gaul rata dengan sedikit garam.
4. Setelah siap, simpan di dalam peti sejuk. Ini proses peram.
5. Sekurang-kurangnya selepas 2 hari, tempoyak sudah boleh dimakan.

Dan ini pula cara yang lebih detail yang dikongsikan oleh Nielay Husna dan dikatakan inilah rahsia untuk lebih sedap rasa tempoyaknya. Jom semak.

Langkah pertama :

Nak buat Tempoyak kena guna durian. Durian paling baik ialah durian tuang, durian daun @ hijau dan durian berduri panjang. Payah dah nak dapat durian jenis itu. Nak guna durian kampung seperti durian kunyit, durian kucing tidur, durian pangsa atau durian hutan boleh jugalah. Cuma tidaklah sesedap durian kelompok pertama tadi. Nak guna durian klon seperti klon D24 atau Musang King boleh juga. Yang penting durian yang dipilih itu durian segar bukan durian buruk bontot atau durian yang sudah masam baunya.

Langkah kedua :

Bila dah dapat durian segar, berus dulu kulit luar dengan berus. Buang semua hana, pasir dan habuk. Bila dah bersih, baru dikopak pangsa durian. Keluarkan isi durian menggunakan sudu yang bersih dan letakkan ke dalam besen yang kering.

Langkah ketiga : 

Asingkan isi durian dari biji durian menggunakan sudu dan garfu. Jangan tujah garfu ke biji durian. Ini mengelakkan air pahit dari biji durian meresap ke isi durian. Kikis isi durian dari biji durian dengan cermat. Jangan asingkan usi durian dari biji durian menggunakan jari jemari kerana boleh memasamkan isi durian. Setiap jari jemari mengeluarkan enzim penghadaman.

Langkah ke empat :

Isi durian yang selesai diasing dari biji dimasukkan ke tapis plastik. Tabur sedikit garam kasar atas isi durian itu. Tapis itu diletakkan ke dalam besen. Perap semalaman @ 10 jam supaya air masam turun ke besen.

Langkah ke lima:

Selesai diperap, masukkan isi durian ke dalam balang botol. Setiap tiga inci ketinggian isi durian di balang botol itu, taburkan secubit garam kasar. Pada kadar dua inci sebelum penuh balang botol itu, berhenti mengisi isi durian. Tabur secubit garam kasar di atas isi durian. Jika isi durian dimasukkan separas mulut balang, isi durian akan meleleh keluar akibat tekanan gas dari dalam bakang botol.

Langkah ke enam :

Tudung balang botol biarkan sahaja pada mulut botol selama 10 jam. Usah ditutup kemas. Biarkan gas durian keluar perlahan-lahan. Selepas sepuluh jam, tutup kemas tudung balang botol itu dan simpan dalam peti ais.

Ekstra Tip

Apabila menggulai tempoyak ikan, ayam, ikan sadin, daging; masukkan secukup cili api, kunyit dan daun kesom. Reneh gulai itu dengan api yang sederhana. Gulai asam tempoyak perlu dirampai dengan terung, ubi atau petai. Gulai itu pula lebih sedap dimakan setelah sejuk.

Begini pula cara puan Sarina Mohd Som menghasilkan tempoyak dan ianya juga turut dikongsi di fb Via MAHN. Katanya,  “Lain orang lain caranya, lain negeri lain juga kaedahnya. Asalkan jadi tempoyak, mana-mana pun boleh.”

Proses pembuatan tempoyak. 


1. Keluarkan durian dari ruangnya.


2. Keluarkan isi dari biji, campurkan dengan sedikit garam kasar.


3. Tapis semalam. Tutup elak semut dan lalat.


4. Proses penapisan untuk mengelakkan tempoyak menjadi masam.

5. Selepas semalaman, masukkan dalam botol. Jangan tutup rapat khuatir meletup.

6. Jika isi durian tidak lagi menggebu seperti seolah-olah dicampur dengan yis. Boleh tutup rapat botol dan simpan dalam peti sejuk.