Nak Tegur Anak Kena Sentuh Hatinya Pada 3 Waktu Utama Ni. Memang Berhasil Bagi Yang Dah Praktikkannya!

Share

Tidak mudah menjadi ibu bapa pada zaman sekarang ini, begitu banyak cabarannya. Yalah, sedangkan bila kita asyik menegur anak atas apa tindakan yang telah dilakukan dengan itu tidak kena, ini salah , itu betul, mulalah anak-anak akan tarik muka dan ada juga yang pandai melawan cakap.

Jadi bagaimana sebenarnya cara terbaik untuk kita mendekati anak-anak kita agar hatinya lembut menerima teguran yang kita berikan?

Andai ibu dan ayah belum bertemu jawapannya, melalui perkongsian daripada Puan Siti Aminah ini diharapkan dapat membantu anda mencari solusinya. Jom semak.


Rebutlah 3 waktu ini. Waktu yang paling AFDAL untuk kita sentuh hati anak-anak 3 waktu ini diajar oleh Baginda SAW sebagai waktu yang paling sesuai untuk nasihati anak.

Tugas mendidik dan menegur anak bukan kerja yang mudah, Silap tegur anak jadi lagi melawan dan memberontak pulak..Alhamdulillah saya sendiri sudah mencuba kaedah nasihati anak dalam 3 keadaan waktu ini dan terbukti BERKESAN!

Sungguh benarlah Rasullulah SAW dihantar sebagai rahmat bagi sekalian alam. Inilah 3 waktu yang TERBAIK untuk kita nasihati anak:

1) DALAM PERJALANAN /TRAVELLING / BERMUSAFIR

Elok sangat dan kena pula masa cuti sekolah ni, pasti ramai yang merancang bercuti dengan anak-anak. Gunakanlah detik yang berharga ini. Kenapa sesuai untuk nasihati anak ketika dalam perjalanan?

Kerana hati anak sedang GEMBIRA dan TERBUKA untuk terima nasihat.

Pengalaman saya yang terbaru ini ketika kami travel ke Ipoh, saya memang sudah rancang dari awal untuk tegur cara solat anak saya. Saya berniat nak tegur cara dia bersolat,
kerana dia selalu solat dengan laju.

Cara saya ialah mulakan dengan PUJIAN:

” Terima kasih tadi Muiz sebab tolong mak kutip mainan atas lantai..(sambil urut-urut belakang anak) Allah sayang anak yang rajin tolong mak”

Tengok muka anak dan mula senyum lebar kena puji, saya sambung dengan teguran:

” Muiz, nanti bila solat, baca Fatihah perlahan-lahan tau..Jangan laju sangat, kita nak Allah dengar apa yang kita baca masa solat..”

Saya lihat muka anak jernih sekali dan dia mengangguk faham. Kemudian saya sambung dengan cadangan untuk tambah baik solat anak:

“oh..Mak ada idea. Jom kita tengok video Tafseer Surah Al Fatihah nak?”

Lalu sepanjang perjalanan ke Ipoh kami tonton bersama video Tafseer Ustaz Nouman Ali Khan. MasyaAllah, saya nampak perubahan dalam solat anak saya sejak dari travelling yang lepas.

2) WAKTU MAKAN

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Umar bin Abi Salamah r.a yang bermaksud:

“Aku masih kecil ketika berada dalam pengawasan Rasulullah SAW. Tanganku bergerak ke sana ke mari di hadapan makanan.
Lalu sabda Baginda SAW: Hai anak kecil, ucapkanlah basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang ada dihadapanmu.. Sejak itu, begitulah caraku makan.”

Dalam buku Prophetic Parenting tulisan Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, untuk mengenal peribadi asli anak, lihatlah dia waktu makan dan minum.

Anak akan tonjolkan sifat aslinya. Kadang anak lapar hingga tak dapat kawal diri, hingga makan guna tangan kiri, tak kunyah dengan betul atau berebut dengan adik beradik lain.

Di sinilah pentingnya kita sebagai ibu bapa untuk duduk makan bersama.

Ajarkan anak tertib makan. Alhamdulillah, anak saya Muiz seorang Left Handed (kidal),pada awalnya sukar untuk makan guna tangan kanan. Berkat sabar dan nasihat berulang kali , dia boleh makan dengan tangan kanan.

Biarlah perlu ingatkan anak berulang kali pun, jangan pernah jemu. Ingatkan anak untuk baca Bismillah sebelum jamah makanan, duduk bila minum air dan sunnah lain.

Paling penting kita sediri perlu tunjuk adab makan yang betul, baru mudah anak nak ikut.

3) KETIKA ANAK SAKIT

Hadis riwayat Bukhari dari Anas r.a yang bermaksud:

“Seorang anak Yahudi yang menjadi pelayan Nabi SAW sakit. Baginda SAW datang menjenguknya. Baginda duduk di dekat kepalanya dan bersabda kepadanya, ‘Masuk Islamlah engkau’. Dia melihat ke arah bapanya yang saat itu berada di sana. Si bapa berkata, ‘Turutilah Abu Qasim’.  Maka, dia pun masuk Islam. Nabi SAW pergi sambil berdoa, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari api neraka”.

Sebak hati saya bila baca hadith ni, halus sungguh peribadi Nabi Muhammad SAW. Dakwah pada anak kecil dengan begitu lemah lembut sekali. Sakit yang dialami anak menjadikan hatinya lembut dan lunak. Masih saya teringat nasihat saya pada anak kedua ketika dia demam batuk baru-baru ni.

” Nanti adik jangan makan lagi aiskrim warna warni tu. Mak dah cakap ‘colouring’ tak bagus untuk badan. Dia jadikan badan kita lemah, antibodi jadi tak kuat..”

Penangan nasihat masa sakit ni, sampai sekarang anak tak berani lagi cuba makan ais krim. Itulah kali pertama dan terakhir dia mencuba. Sama juga dengan anakanda Muiz, ketika sakit dia selalu bertanya kenapa dia sakit?

Jawab saya: ” Syukur Allah beri kita rasa sakit, kita sedar kita manusia. Firaun tak pernah sakit, dia jadi sombong dan mengaku dia Tuhan..”

Banyak lagi nasihat yang boleh kita selitkan bila anak sakit, dengan Izin Allah mereka akan dengar.

Fuhh..Bukan mudah nak didik anak-anak ni. Kerana itu penting kita rebut 3 waktu yang AFDAL supaya nasihat lebih meninggalkan kesan dalam hati anak-anak.

Saya doakan setiap ibu ayah yang membaca post ini diberikan kesabaran dan hikmah dalam menasihati anak-anak.

sumber : Siti Aminah Sulaiman