Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan hubungan penuh kasih sayang hingga ke akhir usia selepas diijabkabulkan. Namun ia tidak akan tercapai jika dua-dua pihak tidak saling bekerjasama dan saling membantu ke arah tersebut
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” al-Rum: 21.
Justeru, dalam membantu suami isteri mengecap kebahagiaan dan keindahan hidup berkeluarga 10 ‘S’ berikut boleh dipraktikkan. Belum terlewat juga untuk diamalkan buat pasangan yang sudah lama berumah tangga.
1. SALAM
Membudayakan ucapan salam adalah salah satu sunnah Rasulullah. Lebih-lebih lagi ucapan itu di antara suami dan isteri. Di dalamnya ada terkandung doa untuk kesejahteraan yang boleh membawa kepada kebahagiaan.
2. SENYUM
Perbuatan yang tidak memerlukan kata-kata, tetapi difahami oleh pasangan kita apabila kita melakukannya. Jelas menunjukkan kita sentiasa berada dalam keadaan positif apabila kita melakukan sedemikian.
3. SAPA
Sewajarnya kita perlu saling bertanya khabar tentang pasangan kita termasuklah kesihatan, pekerjaan atau soal anak-anak, walaupun setiap hari tinggal sebumbung. Apatah lagi sekiranya berjauhan disebabkan tugasan yang terpaksa dilaksanakan.
4. SABAR
Pastinya dalam setiap kelebihan yang ada pada pasangan kita, ada pula kekurangan pada dirinya. Belajarlah dengan penuh sabar untuk menerima kekurangan itu agar kita dapat menjalani kehidupan dengan penuh bermakna.
5. SAYANG
Sifat ini perlu sentiasa dipupuk. Sayang bukan hanya terletak di bibir, tetapi perlu dibuktikan melalui perbuatan. Suami jangan hanya sibuk mengucapkan sayang pada isterinya sehingga nafkah yang menjadi kewajipan untuk diberikan turut diabaikan.
6. SUKA
Apa yang telah disediakan untuk suami seperti makanan umpamanya, walaupun kurang enak daripada sudut rasanya tetapi tunjukkanlah bahawa kita menyukainya. Jangan terus kritik dengan perkataan kurang sedap kerana isteri pula akan menunjukkan reaksi tidak suka.
7. SIMPATI
Sekiranya ditimpa kesusahan, masalah, musibah, sakit atau seumpamanya maka berikanlah sepenuh perhatian pada pasangan kita. Waktu itu masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain untuk membina kekuatan agar mampu bangkit kembali. Simpati sebeginilah yang amat diharapkan dalam rumah tangga.
8. SPONTAN
Sering kali kita melihat, isteri yang melakukan kerja rumah. Apalah salahnya kalau suami juga turut membantu. Tanpa menawarkan diri untuk menolong, adalah lebih cantik sekiranya dilakukan dengan cara spontan tanpa diminta. Sikap ini akan menyebabkan isteri bertambah sayang.
9. SEGAK
Penampilan diri yang baik akan menyebabkan pasangan kita senang. Walaupun hanya berada di rumah, tidak salah untuk suami atau isteri memperelok kemasan pada pakaian. Apatah lagi sekiranya ditambah dengan sedikit wangian. Barulah akan sentiasa segak di mata pasangan.
10. SIMPLE
Semua pasangan mengimpikan keharmonian dalam rumah tangga. Walaupun tidak mewah tetapi cukuplah sekadar semua kelengkapan asas tersedia tetapi bahagia. Inilah yang terbaik. Kekayaan bukan jaminan kebahagiaan, walaupun di mata manusia nampak senang. Tetapi apa maknanya kemewahan sekiranya tidak disulami dengan kebahagiaan.