“Macam mana nak buat sambal bilis yang sedap”. Pertanyaan sebegini selalu kita dengar kan?. Sebenarnya memasak sambal asasnya adalah sama sahaja. Tetapi kenapa sambal yang dimasak orang lain rasanya lebih sedap daripada yang kita masak. Mungkin cara dan bahan yang digunakan berbeza membuatkan sambal yang kita buat tak sama rasanya.

Sebarang aneka masakan bersambal memang enak dijadikan menu utama setiap hari. Tambah lagi dimakan bersama nasi mahupun dicicah dengan lempeng mahupun dimakan dengan lontong. Bagaimana menjadikan rasa sambal bilis yang lebih sedap?

Ibu Sambal Bilis Wangi

IKLAN

Jom ikut petua yang dikongsikan oleh cikgu Afy AL Habibi ini.

Masaklah berulang kali pun, hanya cara ini cikgu suka untuk rasa sambal yang istimewa. Wangiiii. Sekali cikgu buat mesti banyak. Sebab selain dimakan bersama dengan nasi lemak, cikgu akan buat jadi sambal sotong,udang, ikan, telur, paru dan banyak lagilah. Cicah cekodok panas-panas juga sedap. Regu dengan lontong pun terangkat!

Ikutlah resepi cikgu. Kalau isteri yang masak untuk suami dan anak-anak mesti mereka puji terlebih.

Tahan lama untuk stok
Rupa sambal maroon cantik
Setiap suapan pasti teringat
Bahan-bahan asas:
– tiga genggam cili kering saiz besar
(Direbus dan dibuang biji)
– 1 tangkai cili padi merah @ guna cili kering kerinting
(Tambah rasa pedas)
– 2 ulas bawang merah saiz besar
– 1 ulas bawang putih
– 1/4 bawang holland
– 1/2 genggam ikan bilis direndam
– 2 genggam ikan bilis digoreng rangup
– 1 inci belacan
– 2 sudu besar udang kering direndam
– 1 batang serai
– 1 simpul daun pandan
– dua kerek nisse

Cara membuat:
Kisar terlebih dahulu bawang dengan sedikit air.
Panaskan minyak lebihan gorengan ikan bilis tadi. Ini rahsia penting pembuatan sambal wangi cikgu kali ini. Masukkan simpulan daun pandan dan sebatang serai yang diketuk. Bahan pewangi lain yang juga perlu dimasukkan ialah sehiris halia. Selepas naik bau, masukkan bawang kisar tadi. Tumis sehingga bawang sedikit garing.
Kemudian barulah masukkan cili kering yang telah dikisar lumat. Gunakan api perlahan. Kacau sesekali. Biarkan sehingga cili masak untuk menyedapkan rasa sambal.
Tumbuk lumat ikan bilis yang direndam tadi. Masukkan sekali ke dalam kuali.

Seterusnya tambahkan ikan bilis yang sudah digoreng.

Rahsia wangi seterusnya ialah tambahkan udang kering. Tambahan udang ini boleh memberikan kelainan rasa sambal dan bau sambal lebih menarik

Untuk warna sambal ‘maroon’ cantik, cikgu gunakan nisse viral iaitu nisse kerek Kelantan. Masukkan sebanyak dua keping. Jika tiada boleh gantikan dengan gula melaka.


Tambahkan juga gula dan garam. Ikut citarasa sendiri.

Bagi mengelakkan sambal cepat rosak, masukkan 1 sudu besar cuka.
Masaklah sambal sehingga betul-betul sebati rasanya dan pecah minyak cantik. Cikgu agak lebih kurang sejam atau lebih *Guna api perlahan sahaja*
Selepas dibiarkan lama, inilah rupa warna ibu sambal wangi. Terserlah cantik dan sungguh sedap rasanya!
Semoga bermanfaat untuk dicuba.

Nak guna untuk niaga pun cikgu halalkan.
Semoga bermanfaat.
#resepicikguafy