Kadang isteri tak perlukan kemewahan, cukup hanya beri perhatian dan membahagiakannya. Begitu lah yang dipaparkan oleh lelaki ini, menerusi facebooknya, Akhtar Syamir yang cuba memenuhi permintaan isterinya baru-baru ini.
Biarpun ia nampak biasa-biasa aje tapi perbuatan suami ini membuatkan isteri berasa dihargai suami. Ikuti selanjutnya perkongsiannya.
Kenapa saya sanggup berbuka puasa dengan kurma sahaja di saat orang di meja sekeliling sedang makan dengan berselera?
Kisahnya begini. Beberapa hari lepas adik saya di Seri Kembangan tidak sihat. Jadi, saya tolong hantar dia ke Hospital kerana dia demam dan batuk kuat.
Jadi di Hospital dia dinasihatkan buat Covid19 punya test. Jadi, dalam 2 jam baru dapat keputusan. Selesai urusan di Hospital, saya pun hantar dia pulang semula kerana keputusannya negatif dan Doktor kata tidak perlu masuk wad hanya diberi ubat dan antibiotik.
Sudah hampir jam 6 pada waktu itu. Saya pun singgah ke KFC belikan dia dan Umi untuk berbuka. Mereka berdua tinggal di rumah yang sama. Saya tinggal di Puchong.
Pada waktu itu saya berkejar juga sebenarnya kerana isteri saya teringin nak makan nasi Arab. Saya kalau bab isteri teringin nak makan apa-apa ni memang saya akan usahakan. Bukan sahaja masa mengandung saya jaga makan dia, masa biasa pun saya sentiasa cuba realisasikan keinginan dia.
Sebab makan ni boleh buat orang gembira dengan cepat. Terutamanya bila dapat apa yang diingini.
HARGAI ISTERI
Tapi kenapa saya bersungguh-sungguh walaupun dah lewat? Dia pun ada cakap, dah lewat, tak perlulah beli. “Sayang boleh masak nasik” katanya.
Kerana setiap hari dia sediakan makan untuk saya berbuka dan bersahur. Dia pun puasa juga. Dengan menjaga anak-anak di rumah dan buat kerja rumah. Sudah tentu ada masa dia penat dan tak larat nak masak.
Inilah sebabnya saya tetap usahakan jugak. Jam 6:30 saya di kedai nasi Arab dan mula order. Pada waktu itu, hanya ada 2 keluarga yang sudah duduk menunggu waktu berbuka.
Sedap pulak kurma kat depan mata masa tu. Selalunya saya makan sebiji je kurma untuk berbuka. Haritu sampai 5-6 biji habis. Nak order air rasa macam tak berbaloi pula sebab ingatkan order dah nak siap. Isteri saya rasa bersalah, tapi saya sebenarnya yang berkeras. Saya cakap jangan risau. Yang saya risaukan sebenarnya takut mereka yang lapar kat rumah.
Akhirnya dekat pukul 8 baru siap. Saya terus bergegas pulang, yang duduk makan tadi pun ramai yang dah selesai makan.
Sampai di rumah, terus saya bersihkan diri dan Solat Maghrib. Mereka dan makan sikit untuk alas perut. Lepas Isyak baru kami makan bersama.
Seronok tengok isteri dapat makan apa yang dia hajati. Sekurang-kurangnya hari itu dia tidak penat dan puas. Ini juga boleh dijadikan sebagai tanda terima kasih atas apa yang telah dilakukan untuk saya dan keluarga.
ISTERI TABUNG TENAGA DAN KEGEMBIRAAN
Saya selalu bayangkan yang isteri ini ada satu tabung tenaga dan kegembiraan. Semakin lama, ia akan semakin berkurang. Tugas suamilah untuk isi tabung itu supaya kembali penuh.
Saya pasti ramai para suami seperti ini. Kita kena perlu dengar. Ada kalanya mereka cakap sekali sahaja. Ada kalanya mereka selitkan hasrat di dalam perbualan. Rugi kalau kita tak perasan.
Tak semua isteri mampu atau mahu sentiasa berterus terang. Ada kalanya mereka malu. Ada kalanya mereka segan. Tapi yang sedihnya, ada kalanya mereka takut.
Janganlah kita sampai ke tahap yang terakhir itu.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Akhtar Syamir