Suami isteri bertengkar? Bukan perkara pelik tapi normal dalam sebuah rumah tangga. Bak kata sesetengah orang, ia adalah asam garam dalam membentuk hubungan lebih bermakna dan peluang mengenali pasangan lebih mendalam. Bagaimanapun, hal ini boleh membawa kepada satu situasi yang agak sukar apabila pertengkaran yang berlaku tidak ada sudahnya hingga menjejaskan keharmonian rumahtangga.
Bagaimana untuk jernihkan semula keadaan ini?
- Meminta maaf
Semua orang mengakui bahawa perkara paling mudah tapi sukar dilakukan adalah meminta maaf. Namun demi kebaikan bersama, tanpa mengira siapa yang bersalah, hulurkanlah kata maaf. Jika dia yang bersalah, pasti si dia akan berasa bersalah dan kesal setelah anda yang terlebih dahulu menghulukan salam kemaafan. Andai anda kurang yakin untuk meminta maaf secara berdepan, anda boleh juga melakukannya melalu sekeping nota atau kad ucapan. Pasti hubungan anda berdua akan kembali lancer selepas itu.
- Mengaku salah
Mengaku salah bukan bererti anda kalah. Rendahkan ego untuk melahirkan rasa kesal secara ikhlas atau kesalahan yang dilakukan andai ia benar-benar berpunca daripada anda. Ia adalah jalan terbaik untuk menjernihkan keadaan selepas terjadi pertengkaran. Tindakan itu juga pasti dapat menyejukkan hati pasangan dan membuat dia segera memaafkan anda.
- Bergurau
Gurau senda boleh menjadi penawar mujarab dalam apa jua keadaan. Selepas bertengkar dengan pasangan, biasanya anda memerlukan sedikit masa untuk bersendiri. Tetapi jangan ambil masa terlalu lama. Usah menunggu dia tegur anda dahulu walaupun pada mata anda dia yang bersalah. Tidak rugi anda yang memulakannya dulu demi kebaikan anda berdua. Cuba fikir, apa yang anak-anak fikirkan apabila melihat ibu dan ayah mereka tidak bertegur sapa dan bermasam muka? Tentu ia beri impak tidak baik kepada anak-anak bukan? Jadi, lebih elok jika anda cuba menjernih suasana tegang itu dengan gurauan. Ia akan mencairkan hati yang beku dan membuat anda berdua tersenyum semula.
- Solat
Alangkah baiknya jika selepas berlaku pertengkaran, redakan gejolak di hati dengan solat. Mandi dan berwuduk boleh mengurangan amarah. Pasti pasangan anda akan rasa tersentuh apabila melihat anda bersolat selepas bertengkar dengannya. Jangan lupa untuk berdoa agar hubungan anda berdua kembali harmoni.
- Nikmati secawan kopi
Kopi boleh memberikan rasa lega di hati yang sedang marah. Aroma kopi yang menyegarkan pasti menusuk deria bau ketika anda membancuhnya. Jangan bancuh untuk diri anda sahaja. Sebaliknya sediakan juga untuk pasangan anda. Perbuatan ini walaupun tanpa kata-kata boleh menjadi jambatan menjernihkan semula hubungan selepas pertengkaran.